Sabtu, 31 Januari 2015

Jualan akhbar Harakah semakin merosot

AKHBAR lidah rasmi Pas, Harakah diberitakan mengalami kemerosotan edaran dan jualannya. Dari 300 ribu nashkah setiap kali keluaran ia jatuh menjadi 150 ribu dan terkini jumlah tersebut terus menjunam hingga hanya 50 ribu setiap kali keluaran.

Justeru itu dilaporkan dua pengarangnya, Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid telah dipecat. Manakala Ketua Pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman digesa meletakkan jawatan. Nasib Ahmad Lutfi masih belum menentu kerana kedudukannya akan hanya diketahui pada Februari ini selepas mesyuarat ahli lembaga pengarah.

Ahmad Lutfi dikatakan sering cuti sakit kerana kesihatannya sering terganggu. Dia mengalami sakit kencing manis dan jantung. Lutfi sudah melalui dua pembedahan koronari dan kelihatan sering bertongkat. Satu keuzuran yang tidak sepadan dengan usianya yang relatif masih muda.

Nasib ketiga pengarang Harakah ini telah mendapat pembelaan ramai terutamanya salah seorang pengasas Harakah, Ishak Surin. Ishak membidas Pengerusi Harakah, Datuk Mustafa Ali sebagai zalim di atas tindakannya pada ketiga orang tersebut.

Namun dalam situasi apa pun pertukaran atau penyingkiran pengarang-pengarang akhbar di negara ini adalah lumrah dan ia satu proses biasa yang dialami oleh semua pihak baik dalam atau luar kerajaan.

Sebagai contoh, ketika Anwar Ibrahim berada dalam Umno dan kerajaan dan dia diberi kuasa penuh oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam urusan media; dia telah bertindak memecat Ketua Pengarang, Utusan Malaysia, Zainuddin Maidin dengan digantikan dengan calon pilihannya, Johan Jaafar, seorang yang tidak pernah bekerja di Utusan . Bahkan Johan tidak pernah menjadi wartawan di mana-mana akhbar tempatan.

Tetapi itulah yang berlaku. Ia adalah satu peralihan biasa daripada seorang yang berkuasa terhadap orang dibawahnya.

Sebagai Pengerusi Harakah merangkap Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa telah melakukan sesuatu di dalam bidang kuasanya.

Pada Ahmad Lutfi Othman yang telah melalui dua kali pembedahan jantung seharusnya tidak memaksa diri untuk terus memegang jawatan dalam keadaan keuzuran. Walau pun doktor kata dia semakin sihat tetapi sihat orang uzur dengan sihat orang biasa tentu tidak sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan