Ahad, 25 Januari 2015

Cerita Zam dan Subky Latiff

TAN Sri Zainuddin Maidin yang lebih dikenali sebagai Zam telah mengambil keputusan tidak akan menulis lagi isu-isu politik dalam blognya mulai sekarang. Zam berbuat demikian setelah tidak lagi mahu menerima tekanan dan berbagai tuduhan yang tidak berasas ekoran dari ulasan dan penulisannya mengenai politik semasa negara.

Beliau mahu menghabiskan dalam usia pencennya ini dengan aman tanpa apa-apa gangguan yang tidak perlu.

Zam sebagai bekas menteri dan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu adalah seorang penulis dan kolumnis yang berpengaruh. Umum mengetahui sikap dan pendiriannya yang begitu tebal sebagai seorang nasionalis dan kebangsaan melayu serta seorang yang tidak pernah bertolak ansur dengan fahaman ekstremis agama.
ZAM

Tulisan-tulisan Zam dalam akhbar atau pun blognya (ZamKata) memang sentiasa dinanti para pembaca kerana ulasan dan pandangannya yang sentiasa tajam dan bercorak analitikal. Lebih-lebih lagi penulisannya agak berbeza sedikit dengan stail penulisan arus perdana yang lain.

Bila Zam kata dia tidak akan menulis isu politik lagi ia seolah janggal kerana sepanjang kariernya sebagai wartawan sejak tahun 1960 sebagai pemberita sambilan di Utusan Melayu, isu-isu politik sudah menjadi darah dagingnya.

Ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarang, Utusan Malaysia, Zam menulis saban minggu dalam kolum Awang Selamat dengan menyentuh berbagai topik semasa yang dihadapi negara.

Tetapi seperti kata Zam, keputusannya berhenti menulis tentang politik tidak bermakna dia akan terus berhenti menulis. Malah katanya, banyak lagi isu dan bahan yang boleh dijadikan penulisan. Dan ini ada kebenarannya.

Seperti contohnya kisah-kisah pengalamannya semasa menjadi Ketua Pemberita di Utusan pada awal 1960an. Masih banyak lagi cerita-cerita yang masih belum diketahui ramai dan Zam sendiri tidak pernah menceritakannya.
Subky Latiff

Barangkali ramai yang ingin tahu kisah hubungan Zam dengan bekas pengarang dan wartawan terkenal Subky Latiff yang sama-sama di Utusan namun mempunyai berlainan ideologi. Subky Latiff dalam memoirnya, Propagandis Zaman, ada mengisahkan sedikit perihal dia dan Zam pada 1960an di Utusan, di mana dia sebagai pemberita dan Zam selaku Ketua Pemberita. Ertinya, pada waktu itu Subky bekerja di bawah arahan Zam.

Dan ini tentunya banyak kisah-kisah menarik yang boleh diceritakan Zam dalam penulisannya. Zam dan Subky yang lahir dari Utusan tidak dapat dinafikan adalah dua tokoh wartawan yang disegani negara. Lebih ironi lagi mereka berdua lulusan Utusan Melayu kini berlainan ideologi.

Semasa di Utusan jugalah Zam dan Subky dihantar ke Jerman bagi mengikuti Kursus Diploma Kewartawanan di Institute of Journalism di Berlin selama enam bulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan