Khamis, 15 Ogos 2013

Datuk Seri Musa Aman ada peluang menang Naib Presiden

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akan bertanding merebut salah satu dari tiga jawatan Naib Presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno (PAU) Oktober ini.

Setakat ini hasrat Datuk Seri Musa itu mendapat reaksi dan sokongan positif dari kalangan pemimpin Umno negeri dan ahli akar umbi. Musa pernah menarik diri dari bertanding jawatan Naib Presiden dahulu dan hanya bertanding kerusi Ahli Majlis Tertinggi sahaja.
Datuk Seri Musa Aman

Tetapi kali ini dia pasti bertanding bagi jawatan Naib Presiden. Apatah lagi Umno/BN di Sabah bawah pimpinannya telah memberi kejayaan dan sumbangan besar pada parti menubuhkan kerajaan pusat pada PRU13 lalu.

Secara tradisinya para ahli Umno akan memberi ruang atau satu jawatan tertinggi parti untuk wakil dari Sabah sebagai satu pengiktirafan di atas sumbangan mereka. Dan ini terbukti bila Datuk Shafie Apdal adalah salah seorang penyandang Naib Presiden sekarang.

Dengan penyertaan Musa dalam jawatan Naib Presiden kali ini akan menjejaskan sedikit peluang Datuk Shafie dalam mempertahankan jawatannya. Adalah tidak mungkin dua wakil Sabah akan menduduki jawatan Naib Presiden sekaligus.

Dalam kontek ini Musa lebih berpeluang jika dibandingkan dengan Shafie. Shafie telah pun sepenggal menjadi Naib Presiden. Sudah tentu para perwakilan akan memberi peluang pada Musa pula yang boleh dianggap lebih berpengaruh di kalangan ahli Umno Sabah.

Datuk Shafie Apdal sepanjang menjadi Naib Presiden merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar bukannya tidak berjasa dan memberi sumbangan namun secara keseluruhan prestasinya adalah tahap biasa dan tidak ada apa yang luar biasa rekod kerjanya.
Datuk Seri Shafie Apdal

Datuk Seri Musa sekurang-kurangnya telah membuktikan keberkesanan kepimpinannya di Sabah dengan kemenangan majoriti dua pertiga di DUN dan memenangi 22 kerusi dari 25 kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU13 lalu serta memberi sumbangan besar pada Umno untuk terus kekal di Putrajaya.

Cuma mungkin kekurangan Musa ialah dia bukan ahli Parlimen. Seorang Naib Presiden yang bukan ahli Parlimen akan menutup peluangnya bagi mengisi jawatan nombor dua kerajaan pusat sekiranya berlaku kekosongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan