Rabu, 3 Julai 2013

Cadangan menghargai Nik Aziz

ADA seorang pemimpin Pas telah mencadangkan di Parlimen agar kerajaan pusat memberi penghormatan dan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat di atas segala sumbangan dan jasanya sepanjang 23 tahun menerajui Kelantan.

Menurutnya, apakah bentuk penghargaan itu terserah pada kerajaan sebagai satu pengikhtirafan ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin, ahli politik dan ulama. Ia mungkin berupa sebuah memorial atau sebuah Institiut Pemikiran atas namanya.
Datuk Nik Aziz Nik Mat

Ertinya, Datuk Nik Aziz Nik Mat seharusnya mendapat pengikhtirafan negara di samping bekas-bekas pemimpin negara yang terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mereka semua adalah negarawan. Apakah Nik Aziz juga bertaraf negarawan ?

Sebelum PRU13 diadakan Nik Aziz seolah memberi gambaran beliau akan terus menjadi Menteri Besar Kelantan dan tidak sekali-kali akan berundur dari JKR 10 dan Kota Darul Naim. Walaupun musuh-musuh politiknya mendesak agar dia berundur atas alasan kesihatannya yang sering uzur, dia tetap dengan pendiriannya tidak akan melepaskan jawatannya sebagai MB.

Tetapi menjelang beberapa hari PRU13 diadakan Nik Aziz buat kejutan mengumumkan dia akan lepaskan jawatannya sebagai MB dan dalam masa sama akan terus pertahankan kerusinya di DUN Cempaka.

Anehnya, berita itu disambut secara biasa dan dingin di kalangan ahli dan penyokong Pas. Tidak ada tangisan, tidak ada pujuk rayu dan tidak ada tunjuk perasaan atau perarakkan membantah keputusan itu. Semuanya seolah menerima seadanya.

Sedangkan bila Datuk Husam Musa, anak emas Nik Aziz, tidak terpilih menjadi Timbalan Menteri Besar, Kelantan dan tersenarai dalam exco kerajaan negeri para penyokongnya membantah dan berdemonstrasi meluahkan rasa tidak puas hati.

Apakah Husam lebih besar dan lebih sumbangan berbanding mentornya Nik Aziz ? Hanya ahli Pas sahaja dapat memberi penjelasannya. Apa pun reaksi dari dua peristiwa Nik Aziz dan Husam itu memberi maklum balas berbeza begitu ketara.

Adakah orang Pas lebih sayangkan Husam dari Nik Aziz ?

Namun cadangan agar kerajaan pusat mengikhtiraf kepimpinan dan ketokohan Nik Aziz tadi juga menimbulkan persoalan. Nik Aziz dan partinya Pas tidak menerima keputusan PRU13 lalu di atas alasan ia dijalankan secara penipuan oleh SPR.

Ertinya, Nik Aziz dan Pas tidak mengikhtiraf kemenangan Umno dan BN dalam PRU13 lalu. Ini juga bermakna kerajaan pusat tidak mendapat pengikhtirafan dari Nik Aziz dan Pas.

Tetapi peliknya dalam masa yang sama ada pemimpin Pas di Parlimen mahu sumbangan Nik Aziz diikhtiraf dan dihargai. Mana mungkin kerajaan yang tidak diikthtiraf oleh pihak berkenaan mahu pula ia diikhtiraf pihak yang tidak diikhtirafnya. Ia sudah jadi terbalik kuang.

Lebih lawak lagi dengan penghargaan kerajaan pusat terhadap Nik Aziz akan memberi laluan pada perdamaian nasional yang dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tidak mungkin ada perdamaian nasional tanpa Pas dan Pakatan Rakyat menerima keputusan PRU13, 5 Mei lalu. Terima dulu keputusan PRU13 dan lain-lain agenda akan menyusul dengan tertib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan