Selasa, 4 Disember 2012

Pas tidak mungkin ganti UMNO

Kerusi ditandingi tidak sampai separuh

TAN SRI Muhyiddin Yassin dalam ucapannya semasa merasmikan perhimpunan pergerakkan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2012 baru-baru ini menyebut betapa parti Pas tidak tahu mengira.

Beliau menyatakan sejak dahulu hingga sekarang jumlah kerusi parlimen yang ditandingi parti itu tidak pernah sampai separuh dari jumlah keseluruhan kerusi di parlimen. Jumlah kerusi semuanya kini 222.

Pas sering melaungkan bahawa ia akan ganti Umno. Bolehkah ia menggantikan Umno sedangkan kerusi yang akan ditandinginya paling banyak ialah antara 60 hingga 70 kerusi. Jumlah tersebut tidak sampai separuh jumlah 222 kerusi.

Umno adalah teras dan tunjang Barisan Nasional yang memerintah. Apakah Pas mampu menjadi parti utama dan dominan seperti Umno di dalam Pakatan Rakyat bersama dua rakannya PKR dan DAP ?

Seperti kata Muhyiddin, memang Pas tidak reti mengira. Kalau ia menang sebahagian besar kerusi itu sekalipun ia belum cukup kuat dan terpaksa tunduk pada PKR dan DAP. Sekarang ini pun Pas lebih banyak mengalah dan bertolak ansur pada dua rakannya itu semata-mata mahu menjaga kepentingan masing-masing.

Di Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan jelas Pas seperti penumpang dan diperkudakan di dalam urusan pentadbiran negeri. Dalam hal tertentu Pas tidak mampu bersuara pada rakan sekutunya, terutama DAP. Setiap kali ia bersuara tentang hukum Islam dan sebagainya, kepalanya akan diketuk oleh Karpal Singh.

Ini baru dalam pakatan pembangkang dan belum lagi mereka menguasai Putrajaya. Sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya tidak akan ada sesiapa, terutama Pas yang mampu menjadi teras dan dominan, malah akan berlaku percakaran dan perebutan kuasa antara mereka.

Pas mahu ganti Umno, namun apa yang akan berlaku nanti ialah PKR dan DAP memperkudakan Pas bagi mendapat sokongan kaum melayu. Sikap Pas bila berdepan dengan Umno ia ibarat seperti singa yang buas. Tetapi bila ia berdepan dengan DAP ia seperti tikus takutkan kucing.

Umno adalah teras dan tulang belakang dalam BN. Ia tetap dominan dan menjadi peneraju utama di kalangan parti komponen. Walaupun Umno parti orang melayu dalam masa yang sama ia turut menjaga kepentingan kaum-kaum lain.

Pas tidak mungkin dapat ganti Umno. Yang tentunya DAP ganti Pas !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan