Khamis, 19 Julai 2012

Dr. Mahathir : Diktator ?

APAKAH ada pada gelaran ? Dari panggilan Mahafiraun, Mahazalim dan seorang diktator telah dikaitkan dengan Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri ke 4.

Pada zaman Tunku Abdul Rahman beliau dicap sebagai ultra melayu dan ia tidak disukai kaum Cina. Tetapi setelah menjadi PM, kaum Cina adalah satu-satunya pengundi yang kuat menyokong beliau, terutamanya selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan.

Apakah beliau boleh disamakan dengan Marcos, Shah Iran, Hosni Mubarak dan beberapa pemimpin dunia lain yang memerintah secara kuku besi dan telah pun digulingkan oleh rakyatnya sendiri ?

Sudah tentulah ia tidak sama ibarat bumi dan langit dengan apa pemimpin tersebut lakukan dengan sumbangan dan jasa Dr. Mahathir selama 22 tahun menjadikan Malaysia kompetitif, berdaya maju dan mempunyai wawasan masa depan.

Kejayaannya yang paling utama ialah membuka mata dan menyedarkan seluruh rakyat bahawa negara BOLEH mencapai apa sahaja asalkan bekerja kuat. Dr. Mahathir sendiri telah buktikan bahawa beliau seorang berdisiplin dan tekun semasa menjalankan tugasnya.

Pada hakikatnya semasa era Tunku, Tun Razak dan Tun Hussein Onn, Malaysia masih dalam proses membangun dan agak ketinggalan serba serbi dibandingkan dengan negara ASEAN lain, lebih-lebih lagi jiran terdekat, Singapura. Namun setelah Dr. M mengambil alih teraju negara pada 1981, beliau telah berjaya menjadikan negara sebagai pesaing terdekat Singapura yang dikira paling maju.

Bekas PM  Singapura, Lee Kuan Yew pernah menyatakan bahawa negara itu perlu bekerja lebih keras kesan dari usaha dan dasar-dasar Dr. M yang aggresif memajukan Malaysia. Semasa era Dr. M perdagangan menerusi pelabuhan yang sebelum itu dikuasai Singapura di rantau ini dapat di atasi dengan berbagai pembaikan dan perubahan.

Dalam hubungan antarabangsa Dr. M berjaya meletakkan negara sebagai juara dan jurucakap bagi negara-negara kecil dan dunia ketiga dalam memperjuangkan isu-isu kepentingan bersama dari tindasan negara-negara maju. Tidak ada pemimpin di Asia yang begitu lantang dan berani secara terus terang dalam menyampaikan pendapat dan pandangan terhadap negara kuasa besar seperti Amerika dalam isu dunia ketiga.

Justeru itu telah menaikkan imej negara dan kualitinya sebagai pemimpin sebuah negara Islam yang progresif dan berdaya maju. Dalam konteks itu tempoh 22 tahun beliau berkuasa sebenarnya adalah terlalu singkat sekiranya dibandingkan dengan segala sumbangan yang diberikan. Dengan ketokohan beliau itu sebenarnya banyak lagi yang beliau boleh lakukan untuk bangsa dan negara.

Dr.M meletakkan jawatan sebagai PM dalam suasana parti dan negara di dalam keadaan tersusun dan tidak banyak masalah besar. Beliau berundur kerana mahu buktikan bahawa beliau bukanlah seorang yang gilakan kuasa. Sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh seorang yang bersifat diktator !









Tiada ulasan:

Catat Ulasan