Jumaat, 27 Julai 2012

Jalan ke Putrajaya

INI cerita sahih dan fakta. Jauh sekali satu fitnah. Bekas Presiden Pas, Allahyarham Ustaz Fadhil Nor pernah membuat kenyataan sekiranya parti pembangkang berkuasa mereka akan melelong Putrajaya kerana dianggap sebagai satu projek membazir wang rakyat.

Lagi sahih kebenarannya ialah Putrajaya diilhamkan, diasaskan dan dibina oleh Mahafiraun, Mahazalim dan Mr. 10 persen.

Negara bernasib baik sepanjang Pas dibawah pimpinannya, Barisan Nasional terus memperolehi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum termasuklah semasa isu 'mata lebam' Anwar Ibrahim yang menjadi fokus utama dalam kempen. Kalau tidak mungkin hari ini Putrajaya sudah pun terlelong dan menjadi aset orang asing.

Apakah itu satu amanat bekas Presiden Pas untuk ahli-ahlinya ? Namun setelah pemergiannya, amanat itu sudah tidak terpakai lagi. Kini penggantinya Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat telah mengambil langkah bertahaluf siasi dengan DAP untuk menawan Putrajaya. Satu sikap yang bertentangan dengan pendirian Allahyarham.

Pimpinan Pas mencemuh dan menghina Mahafiraun dan Mahazalim. Tetapi mereka tidak tahu malu untuk merampas dan menawan sesuatu yang dibina dan diilhamkan oleh orang yang dicemuhnya.

Hakikat sahih lagi benar, Mahafiraun dan Mahazalim yang membina bandar pintar ini hanya sempat mendiaminya dalam waktu yang singkat sehingga beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003. Lebih singkat dari tempoh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak sendiri mendiami Sri Perdana di Putrajaya.

Justeru sahih lagi benar, Putrajaya dibina bukan untuk kepentingan Mahafiraun dan Mahazalim sebagaimana tuduhan parti pembangkang, terutama Pas.

Sahibul hikayat yang sahih dan benar hanya datang dari Pas ! Lain semuanya adalah fitnah !

Khamis, 19 Julai 2012

Dr. Mahathir : Diktator ?

APAKAH ada pada gelaran ? Dari panggilan Mahafiraun, Mahazalim dan seorang diktator telah dikaitkan dengan Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri ke 4.

Pada zaman Tunku Abdul Rahman beliau dicap sebagai ultra melayu dan ia tidak disukai kaum Cina. Tetapi setelah menjadi PM, kaum Cina adalah satu-satunya pengundi yang kuat menyokong beliau, terutamanya selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan.

Apakah beliau boleh disamakan dengan Marcos, Shah Iran, Hosni Mubarak dan beberapa pemimpin dunia lain yang memerintah secara kuku besi dan telah pun digulingkan oleh rakyatnya sendiri ?

Sudah tentulah ia tidak sama ibarat bumi dan langit dengan apa pemimpin tersebut lakukan dengan sumbangan dan jasa Dr. Mahathir selama 22 tahun menjadikan Malaysia kompetitif, berdaya maju dan mempunyai wawasan masa depan.

Kejayaannya yang paling utama ialah membuka mata dan menyedarkan seluruh rakyat bahawa negara BOLEH mencapai apa sahaja asalkan bekerja kuat. Dr. Mahathir sendiri telah buktikan bahawa beliau seorang berdisiplin dan tekun semasa menjalankan tugasnya.

Pada hakikatnya semasa era Tunku, Tun Razak dan Tun Hussein Onn, Malaysia masih dalam proses membangun dan agak ketinggalan serba serbi dibandingkan dengan negara ASEAN lain, lebih-lebih lagi jiran terdekat, Singapura. Namun setelah Dr. M mengambil alih teraju negara pada 1981, beliau telah berjaya menjadikan negara sebagai pesaing terdekat Singapura yang dikira paling maju.

Bekas PM  Singapura, Lee Kuan Yew pernah menyatakan bahawa negara itu perlu bekerja lebih keras kesan dari usaha dan dasar-dasar Dr. M yang aggresif memajukan Malaysia. Semasa era Dr. M perdagangan menerusi pelabuhan yang sebelum itu dikuasai Singapura di rantau ini dapat di atasi dengan berbagai pembaikan dan perubahan.

Dalam hubungan antarabangsa Dr. M berjaya meletakkan negara sebagai juara dan jurucakap bagi negara-negara kecil dan dunia ketiga dalam memperjuangkan isu-isu kepentingan bersama dari tindasan negara-negara maju. Tidak ada pemimpin di Asia yang begitu lantang dan berani secara terus terang dalam menyampaikan pendapat dan pandangan terhadap negara kuasa besar seperti Amerika dalam isu dunia ketiga.

Justeru itu telah menaikkan imej negara dan kualitinya sebagai pemimpin sebuah negara Islam yang progresif dan berdaya maju. Dalam konteks itu tempoh 22 tahun beliau berkuasa sebenarnya adalah terlalu singkat sekiranya dibandingkan dengan segala sumbangan yang diberikan. Dengan ketokohan beliau itu sebenarnya banyak lagi yang beliau boleh lakukan untuk bangsa dan negara.

Dr.M meletakkan jawatan sebagai PM dalam suasana parti dan negara di dalam keadaan tersusun dan tidak banyak masalah besar. Beliau berundur kerana mahu buktikan bahawa beliau bukanlah seorang yang gilakan kuasa. Sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh seorang yang bersifat diktator !









Krisis air di Selangor

Selasa, 17 Julai 2012

Isnin, 16 Julai 2012

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan yang setia
NAIB Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menganggap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sabar untuk menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Ini ekoran kenyataan TPM itu bahawa PRU 13 sebaiknya diadakan tahun ini juga.

Pada Mahfuz dalam PRU ini Barisan Nasional tidak akan memperolehi majoriti dua pertiga.

Justeru itu episod 2008 akan berulang di mana Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa berundur akibat BN kehilangan majoriti dua pertiga yang sering diperolehi dalam setiap pilihan raya sejak merdeka.

Ironinya, Tan Sri Muhyiddin adalah tokoh utama dalam kabinet mendesak Pak Lah bersara awal akibat kemerosotan Umno dan BN dalam PRU 12, 2008. Dalam konteks itu Mahfuz menjangka Muhyiddin akan melakukan perkara sama terhadap kepimpinan Najib sekiranya BN gagal kali ini.

Apakah Muhyiddin sanggup lakukan terhadap Najib ? Apa pun senario politik pada 2008 dan 2012 adalah jauh berbeza. Pada masa Pak Lah mengambil alih jawatan dari Tun Dr. Mahathir, beliau telah berjaya mendapat mandatnya yang pertama pada 2004 dengan kemenangan yang amat besar dan cemerlang buat BN.

Tetapi kekalahan dan malapetaka yang berlaku pada 2008 disebabkan banyak faktor termasuk dirinya sendiri sebagai PM. Pak Lah sendiri mengakui beliau adalah satu faktor kemerosotan prestasi BN pada 2008.

Bila Najib mengambil alih kepimpinan negara beliau telah mewarisi suasana politik Umno dan BN dalam kedudukan yang cukup parah. Banyak kelemahan dan kepincangan sebelum itu terpaksa diperbetulkan. Dan ini bukan satu tugas yang mudah. Banyak kerosakkan berlaku pada parti BN dan Umno, khususnya.

Setelah lebih tiga tahun menerajui parti dan negara, Najib telah berjaya melakukan apa yang terdaya membetulkan segala kelemahan dan kekurangan sejak tsunami 2008 itu. Pelan transformasi dan program SATU Malaysia berjalan dengan lancar dan berjaya.

Dengan hampirnya PRU 13 apakah ini semua akan diterjemahkan dalam peti undi ? Matlamat BN ialah untuk mendapatkan dua pertiga. Namun sekiranya tanpa dua pertiga BN terus berkuasa dengan kelebihan kerusi yang mencukupi untuk terus pertahankan Putrajaya adalah satu kejayaan.

Muhyiddin sebagai pemimpin rasional dan setia tentu dapat membezakan suasana sekarang dengan 2008. Hakikatnya, Umno tidak segagah semasa era Dr. Mahathir Mohamad. Muhyiddin tentunya tidak mahu mengulangi sejarah Umno - di mana dua bekas TPM dan Timbalan Presiden Umno mengalami krisis hubungan dengan pemimpin nombor satu negara seperti yang terjadi pada Tun Musa Hitam dan Anwar Ibrahim di era Dr. Mahathir.

Sekiranya TPM itu mahu menjaga masa depan politiknya berpanjangan beliau perlu mengambil ikhtibar apa yang berlaku pada Tun Musa dan Anwar. Beliau perlu menjadi Timbalan yang setia.

 

 





 





Jumaat, 13 Julai 2012

Pembangkang takut pada Mahathir

LEBIH lapan tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan Putrajaya dan jawatan Perdana Menteri. Namun bayangnya terus menghantui parti pembangkang, terutamanya parti DAP.

Berbagai tohmahan dan tuduhan dilemparkan pada bekas PM itu. Malah sampai Lim Kit Siang mengugut sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa mereka akan menyiasat dan membongkar sepanjang tempoh 22 tahun Dr. Mahathir berkuasa.

Yang terbaru Kit Siang dan para pemimpin DAP dari kalangan bangsa melayu menimbulkan isu "Mahathirisme" dalam kepimpinan Umno dan kerajaan.

Semua tuduhan dan tohmahan serta ugutan dari pimpinan DAP itu telah pun dijawab oleh Dr. Mahathir menerusi kenyataan akhbar dan blognya. Jelas semua itu tidak pernah menganggu tidurnya dan beliau bersedia menghadapi apa sahaja kerana tidak ada apa yang ditakutkan dan disembunyikan.

Namun hingga kini DAP lebih fokus menyerang Dr. Mahathir seolah beliau masih lagi menjadi Perdana Menteri. DAP tahu sejauh mana kekuatan dan pengaruh Dr. Mahathir yang mampu memainkan peranan yang boleh mengecewakan hasrat Pakatan Rakyat dalam PRU 13 ini.

Buktinya pada PRU 12 pada 2008 salah satu faktor kejayaan parti pembangkang menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional ialah tindakan Dr. Mahathir yang mengecam dan mengkritik hebat Umno dibawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Semua mengetahui dalam pilihanraya 2008 ramai ahli Umno tidak mengundi calon mereka sendiri akibat tidak puas hati dengan kepimpinan Pak Lah.

Dr. Mahathir sendiri mengakui sikap dan pendiriannya terhadap Pak Lah dan Umno masa itu telah mempengaruhi ahli-ahli parti. Dan bagi Dr. Mahathir alasan beliau melakukannya adalah semata-mata mahu menyelamatkan Umno dari terus menjadi lemah akibat kesan pimpinan Pak Lah yang tidak popular dan lemah di mata ahli-ahli Umno dan orang melayu. 

Hingga ada ketika Pengerusi DAP, Karpal Singh tampil membela dan mempertahankan Pak Lah dari serangan dan kritikan Dr. Mahathir. Nampak sangat DAP mahu Pak Lah terus kekal sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu. Kerana DAP tahu jika Pak Lah kekal harapan parti pembangkang menawan Putrajaya adalah lebih cerah.

Tindakan Dr. Mahathir yang disokong Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya memberi tekanan pada Pak Lah agar berundur lebih awal dari masa yang dikehendakinya. Bila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih teraju Umno dan negara kelihatan jelas segala kerosakkan pada 2008 telah kembali pulih seperti sediakala.

Justeru itu Kit Siang tahu setakat mana peranan dan pengaruh Dr. Mahathir dalam PRU 13 yang semakin hampir. Lantaran itulah beliau dan partinya terus menyerang peribadi negarawan itu kerana mereka takut ketokohan dan pengaruhnya dapat mempengaruhi banyak pengundi-pengundi melayu.



     

 

Khamis, 12 Julai 2012

Artis masuk Pas

PERIHAL para artis menyertai parti Pas. Terbaru pelakon Abby Abadi dan Hairie Othman yang kini sibuk menghadiri pentas-pentas ceramah parti itu.

Dalam sebuah negara bebas dan demokrasi sesiapa saja berhak memilih mana-mana parti politik yang diyakini. Tiada sekatan dan halangan.

Cuma yang kurang seronok ialah sikap artis-artis ini bila sudah jadi ahli Pas seolah mereka baru bertemu dengan agama Islam dan menghina serta mengutuk mereka yang berada di luar parti itu.

Kalau sebelum ini mereka begitu jahil dan tidak menutup aurat, tetapi setelah sedar dan insaf mereka berubah. Dan ini adalah satu perubahan yang sihat. Tetapi yang tidak sihat ialah sikap memandang rendah dan menganggap orang lain kurang Islam.

Pas hanyalah sebuah parti politik yang menganut amalan demokrasi barat dan turut membayar wang deposit dalam setiap pilihanraya. Ia juga turut terpalit dengan politik sekular dengan merubah-rubah dasar parti bersesuaian dengan suasana politik. Kalau dulu Pas kata memerintah bersama orang Cina adalah kafir. Kini mereka boleh bekerjasama dengan DAP. Kalau dulu hukum hudud wajib mahu dilaksanakan bila berkuasa, namun kini hukum hudud akan dilaksanakan setelah semua masalah sosial dapat di atasi.

Para artis ini bila bercakap tentang Islam mereka seolah mempunyai ilmu yang tinggi. Apakah mereka lupa pada tokoh-tokoh ilmuan yang telah meninggalkan perjuangan Pas seperti Ustaz Nakhaie Ahmad, Datuk Dr. Hasan Ali, Profesor Mohd Noor Deris dan ramai lagi. Mereka semua bertaraf ulama dan intelektual Islam dalam bidang masing-masing. Apakah kita masih ingat Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad yang turut menyertai Pas dan menjadi wakil rakyatnya di Kedah ? Di mana Shahnon sekarang ? Beliau kini mengutuk keras sikap Pas berpakat dengan DAP.

Pada para artis yang masuk Pas tidak menjadi kesalahan dan halangan. Tetapi tidak usahlah menganggap diri sudah Islam lebih dari orang di luar sana. Seolah-olah baru masuk Pas seperti baru menjadi penganut agama Islam yang sebenar.

Ramai lagi tokoh dan cendekiawan Islam dalam bidang falsafah dan berbagai cabang ilmu Islam tidak pun menjadi ahli Pas. Mereka tetap Islam dan menjadi penganut yang sentiasa memberi sumbangan idea dan fikiran bagi kepentingan ummah. Mereka tidak berceramah di pentas-pentas politik murahan. Kerana mereka tahu membezakan antara  politik dan agama.







Rabu, 11 Julai 2012

Kroni dan nepotisme


PARTI pembangkang sering menuduh Umno mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam urusan parti dan negara. Ini termasuklah segala projek dan tender yang diberikan pada pihak tertentu.

Segala tuduhan dilemparkan pada Umno seolah parti itu raja segala amalan kroni.

Tetapi setelah pihak pembangkang diberi peluang memerintah beberapa buah kerajaan negeri - mereka pun sama mengamalkannya, terutama di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Misalnya di Kelantan tidak lama dulu heboh tentang kedudukan menantu Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang memegang jawatan dalam sebuah syarikat kerajaan negeri. Sepatutnya Nik Aziz tidak membenarkan menantunya memegang apa-apa jawatan selagi dia sebagai MB bagi mengelak sebarang tuduhan. Tetapi ini berlaku di negeri pimpinan seorang ulama.  Di Selangor dan Pulau Pinang tidak payah ceritalah.

Dalam struktur organisasi parti seperti PKR dan DAP pula sudah jadi macam parti anak beranak. Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng serta menantunya, Betty Chew telah menjadi orang penting dalam parti. Begitu juga dengan Karpal Singh dan dua anak lelakinya.

Manakala dalam PKR pun sama dari Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah masing-masing memegang jawatan penting parti. Anwar Ibrahim sendiri bertungkus lumus memastikan Azmin Ali menjadi orang nombor dua parti dengan menyingkirkan Zaid Ibrahim yang hampir menumbangkan Azmin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR. Azmin boleh dianggap dalam keluarga Anwar juga.

Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Anwar paling banyak mengamalkan kronisme dan nepotisme dengan memberi saham, projek dan tender pada kuncu-kuncunya. Ada setengahnya menjadi jutawan korporat macam 'mee segera'. Dan semua orang tahu siapakah mereka.

Salah satu faktor penting kejayaannya menyingkirkan Tun Ghafar Baba dari jawatan Timbalan Presiden Umno ialah tindakan dan amalan kronismenya dengan pemberian wang dan projek kepada sebahagian besar para Ketua Bahagian Umno bagi memberi sokongan padanya untuk jawatan no.2 parti.

Jadi tidak usahlah parti pembangkang, terutamanya Anwar menuduh Umno sebagai parti kroni dan sebagainya. Cerminlah diri sendiri dulu sebelum mengata orang lain. Jangan lebih sudu dari kuah.





Isnin, 9 Julai 2012

Lim Kit Siang

Dinasti Lim
PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang menyatakan beliau tidak membenci Tun Dr. Mahathir, tetapi menentang pengaruh "Mahathirism" yang masih ada dalam Umno dan kerajaan.

Bagi Kit Siang seolah pimpinan parti dan kerajaan kini banyak dipengaruhi oleh Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir dalam blognya (9 Julai) menafikan segala tuduhan Kit Siang itu malah menegaskan bahawa "Mahathirism" yang dimaksudkan pemimpin DAP itu telah tamat pada 2003 lagi setelah beliau menyerahkan tugas Perdana Menteri pada Tun Abdullah Badawi.

Menurut Dr. Mahathir, sokongan dan peranan yang dimainkannya sekarang ini pada parti hanyalah sebagai ahli yang bertanggungjawab memberi sumbangan pada parti yang diwakilinya. Apatah lagi Umno telah banyak berjasa dan berbudi padanya sepanjang menjadi ahli. Sudah tentulah kini gilirannya pula membalas jasa parti dengan memberi apa saja khidmat pada parti.

Namun sikap Kit Siang ini agak pelik, ibarat "paku dulang paku serpih, mengata orang, kau yang lebih." Tidakkah beliau cermin dirinya terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan pada orang lain. Dalam partinya sendiri DAP jelas dikuasai dan dipengaruhi oleh "dinasti Lim" hingga kini. Nampaknya, tidak ada harapan calon lain dalam parti yang boleh memegang jawatan Setiausaha Agung DAP.

Dalam DAP bukan tidak ada pemimpin yang layak, namun mereka tidak diberi peluang. Lihat saja nasib bekas Timbalan Setiausaha Agung parti, Lee Lam Thye yang terpaksa keluar dari parti kerana dia tahu peluangnya untuk naik adalah tertutup. Lam Thye kini menjadi orang yang tidak berparti.

Begitu juga nasib menimpa pemimpin veteran parti, Dr. Tan Seng Giaw yang telah berkhidmat pada parti sejak Lim Guan Eng masih dibangku sekolah lagi. Apa jawatan Dr. Tan sekarang ? Paling tinggi jawatan yang dipegangnya ialah Naib Pengerusi parti.

Sedangkan dari segi pengalaman dan kelayakan, Dr. Tan lebih layak dan berhak menduduki kerusi yang dipegang Lim Guan Eng sekarang. Tetapi kerana Kit Siang ingin memastikan anak beranaknya sahaja menguasai parti, maka orang seperti Dr. Tan dan Lam Thye dipinggirkan begitu sahaja.

Dan kemungkinan besar anak-anak Karpal Singh pun tidak mempunyai harapan bagi memenuhi jawatan-jawatan penting dalam DAP pada masa depan. Inilah sikap Lim Kit Siang yang sebenarnya. Apa pula sibuknya beliau bercakap tentang orang lain sedangkan beliau sendiri lebih teruk.

Sebelum Kit Siang menuduh Dr. Mahathir, beliau sepatutnya terlebih dulu melihat diseberang Tambak betapa dinasti Lee terus menguasai republik itu hingga sekarang.











Sabtu, 7 Julai 2012

Langkah Dr. Mahathir

Beri kesan pada pembangkang
ADALAH satu perkara biasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak disukai oleh para pemimpin dan penyokong parti pembangkang.

Berbagai persepsi dan sudut pandangan diberikan terhadap ketokohan negarawan ini. Dalam parti Umno sendiri ada pihak yang tidak menyukainya.

Contoh jelas ialah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam sehingga kini tidak pernah sehaluan dan sependapat dengannya dalam banyak perkara. Tun Musa bukanlah tokoh sebarangan. Beliau adalah bekas pemimpin no. 2 negara.

Semasa Dr. Mahathir buat keputusan keluar dari Umno sebagai bantahan terhadap kepimpinan Tun Abdullah Badawi - Tun Musa telah menyambutnya dengan berkata, " sudah terkeluar duri dalam daging" dalam parti Umno. Ertinya, Tun Musa gembira dengan langkah Dr. Mahathir itu.

Tetapi ramai orang tidak dapat membaca langkah Dr. Mahathir yang berpandangan jauh itu. Kalau Tun Musa tidak dapat membacanya, apatah lagi para pemimpin pembangkang, terutama parti Pas.

Justeru langkah itulah memberi sedikit tekanan dan kesan terhadap kedudukan Tun Abdullah Badawi yang akhirnya terpaksa akur dan meletakkan jawatan sebagai PM. Keputusan Pak Lah berundur jelas tidak menggembirakan parti pembangkang, khususnya Pas.

Kerana parti pembangkang tahu sekiranya Pak Lah masih menjadi PM hingga kini, rancangan mereka untuk menawan Putrajaya menjadi lebih mudah. Ini lantaran terbukti kepimpinan Pak Lah yang tidak sampai dua penggal telah mendedahkan berbagai kelemahan dan kepincangan.

Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah mempertahankan kedudukan Pak Lah ketika ia diserang hebat Dr. Mahathir. Agak aneh seorang pemimpin pembangkang mempertahankan PM dan Presiden Umno !

Itulah senario politik ketika itu sebenarnya. Dr. Mahathir bukanlah pemimpin dan politikus seperti Tun Musa Hitam. Beliau adalah ahli Umno tulen yang mempunyai jangkauan jauh yang tidak ada pada pemimpin lain.

Tindakan Dr. Mahathir telah menyelamatkan Umno dari terus diperlemahkan dan diperlekeh oleh parti pembangkang. Kini jelas dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak, Umno telah kembali pulih dari keadaan yang dialami pada 2008.

Para pemimpin pembangkang terus mengutuk dan mengkritik Dr. Mahathir dengan berbagai tuduhan dan gelaran. Namun ia tidak memberi sebarang kesan. Yang nampak berkesan ialah tindakan Dr. Mahathir yang telah mempengaruhi kedudukan Pak Lah telah menyukarkan peluang pembangkang untuk menawan Putrajaya.

Rabu, 4 Julai 2012

Yasser Arafat diracun ?

Punca kematiannya disiasat kembali
AGENSI berita satelit Al Jazeera melaporkan isteri bekas pemimpin Palestin (PLO), Yasser Arafat, telah menggesa diadakan satu siasatan semula punca sebenar kematian suaminya.

Suha Arafat menyatakan demikian dalam satu wawancara dengan agensi berita tersebut.

Yasser Arafat meninggal dunia pada 2004 dan dikebumikan di Ramallah. Selepas lapan tahun kematiannya tiba-tiba timbul apakah punca kematiannya yang sebenar. Ada spekulasi mengatakan bahawa beliau mati diracun ?

Kini para saintis di Swiss sedang bersiap sedia mengadakan ujian dan siasatan di atas kematiannya. Isterinya, Suha pula bersedia meminta fatwa dari para alim ulamak bagi menggali kembali mayatnya untuk dilakukan kajian. Menurut Suha lagi, ia perlu dilakukan segera bagi memastikan segala bahan bukti dimayat pemimpin itu tidak lenyap.

Para pemimpin Palestin, terutamanya tokoh perunding, Saeb Erakat, bersedia memberi kerjasama dalam menjayakan siasatan tersebut. Namun persoalan timbul; mengapa isu ini berbangkit setelah lapan tahun lamanya ? Apakah ini semua mempunyai agenda tertentu pada mereka dibelakang tabir ?

Arafat sudah lama tiada. Apakah hasil siasatan tersebut relevan dengan suasana politik Palestin dan masa depannya dengan Israel ?







Ahad, 1 Julai 2012

Lim Guan Eng dan Pulau Pinang

Ingin terus kekal Ketua Menteri
SATU kenyataan yang perlu diterima bahawa harapan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali Pulau Pinang dari DAP dalam PRU 13 ini memang sukar.

Pulau Pinang yang majoriti terdiri dari kaum Cina kemungkinan besar ingin melihat Guan Eng dan DAP terus menguasai pulau mutiara itu untuk sepenggal lagi.

Seperti kata Tun Dr. Mahathir Mohamed, para pengundi Cina akan menjadi faktor penentu dalam PRU 13 nanti. Kalau diperingkat pusat para pengundi Cina memberi sokongan pada BN, namun mereka sebaliknya tetap akan mengekalkan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri.

Ini ditambah lagi dengan keadaan parti Gerakan yang kelihatan tidak bermaya dan bertenaga untuk menawan kembali pulau itu setelah DAP berjaya menarik sokongan kaum Cina. MCA pula setakat ini belum lagi berjaya membuktikan mereka mampu menjadi parti alternatif pada DAP di Pulau Pinang.

Lim Guan Eng sebenarnya mempunyai agenda dan rancangan jangka panjang di pulau itu. Ini terbukti bila beliau membuat kenyataan baru-baru ini bahawa ia tidak berminat untuk berada di Putrajaya sebaliknya mahu terus kekal di Pulau Pinang.

Guan Eng ingin terus mencengkam dan menguasai Pulau Pinang untuk jangka masa panjang. Beliau mahu menurut jejak langkah Lee Kuan Yew di Singapura. Kalau Lee berjaya melakukannya, mengapa dia tidak ! Kini pun Guan Eng telah mengambil model Mentor PAP itu dalam membangunkan Pulau Pinang.

Sudah ada laporan mengesahkan betapa ramainya kaum melayu terpaksa berhijrah keluar dari pulau itu akibat tekanan dan desakan ekonomi serta suasana kehidupan. Banyak projek pembangunan dan perumahan yang dirancang pihak kerajaan negeri terlalu berkos tinggi menyebabkan mereka terpaksa berundur.

Ada pula pihak pemodal yang menawarkan harga tinggi untuk mengambilalih rumah atau bangunan yang dimiliki kaum melayu agar mereka menjual hakmilik mereka serta berpindah. Gerai-gerai kecil bagi para peniaga kecil-kecilan diarah berpindah dan dirobohkan. Proses ini terus berjalan dengan teratur dan sistematik.

Sekiranya DAP terus kekal memerintah Pulau Pinang selepas PRU 13 ini, maka bukan mustahil akan ada "Singapura ke 2" disebelah utara pada masa hadapan. Apa lagi hubungan DAP dan PAP terus terjalin dalam berbagai bentuk. Lee Kuan Yew pernah melawat Pulau Pinang dan bertemu dengan Guan Eng dalam rangka hubungan dan kerjasama kedua pihak.

Impian Lim Guan Eng di Pulau Pinang bertambah cerah dan kukuh dengan sokongan kuat dari dua tokoh melayu yang berpengaruh. Mereka ialah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sokongan dari kedua mereka sudah cukup memberi laluan selesa pada Guan Eng mencapai impiannya di pulau mutiara itu.