Pada Khamis, 23 Mei 1985 ada satu tulisan saya tersiar dalam ruangan Sastera dan Budaya di bawah tajuk ' Menjadi penulis tidak semudah menjadi pegawai tadbir' dan di tepi tulisan tersebut diletakkanya foto Pak Sako atau Dr. Ishak Haji Muhammad seorang tokoh pejuang kemerdekaan dan penulis yang terkenal.
Dalam tulisan tersebut saya menyentuh tentang kegiatan dan peranan para penulis muda. Bahan dalam tulisan tersebut agak ringan dan santai. Maklumlah pada masa itu saya baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan.
Cuma saya ada menyebut nama Kassim Ahmad, seorang penulis tersohor dan kontroversi secara sepintas lalu saja dan tidak serius. Tetapi reaksi dan kesan tulisan tersebut cukup mengejutkan.
Selang beberapa minggu iaitu pada Khamis, 13 Jun 1985 , saya terkejut bercampur kegembiraan bila Kassim Ahmad membalas tulisan saya itu di bawah tajuk 'Bilakah saya pandang rendah penulis muda?'.
Di sini biarlah saya petik antara kandungan reaksinya itu sebagai satu penghormatan saya terhadap beliau sebagai seorang penulis berpengalaman.
"" Sebuah rencananya dalam Berita Harian keluaran 23 Mei 1985, Sdr Taufiq Mubarak, ketika mengulas sebuah ucapan Dr.Ishak Haji Muhammad kepada bakal-bakal penulis Pahang di Raub baru-baru ini, telah menulis demikian: Bagi penulis-penulis yang 'established' seperti Kassim Ahmad atau Nahmar Jamil, umpamanya, tidak seharusnya mereka memandang rendah kepada penulis-penulis muda sekiranya tulisan mereka mempunyai kelemahan tertentu. Malah sebaliknya mereka hendaklah mengkritiknya secara positif tanpa merendah-rendahkan kebolehan penulis muda..."
Saya akan terhutang budi kepada Sdr Taufiq sekiranya beliau boleh membuktikan kata-kata beliau mengenai saya. Sepanjang ingatan saya, saya tidak pernah merendah-rendahkan penulis-penulis muda kita. Malah saya pernah mengatakan saya ingin melihat mereka berkembang dengan baik serta memberi sumbangan mereka kepada kesusasteraan moden kita.
Memang saya pernah mengkritik kelemahan--kelemahan setengah penulis kita, malah mengecam sifat buruk sangka mereka terhadap penulis-penulis lain dan keangkuhan mereka. Saya juga pernah mengkritik kekurangan komitmen moral dan sosial di kalangan penulis-penulis muda. Tetapi ini harus dibedakan dengan perbuatan merendah-rendahkan. Kelemahan-kelemahan dalam penulisan perlu dikritik dan dibetulkan, sama ada penulisan oleh penulis-penulis muda atau tua"".
Moral ceritanya ialah saya tabik dan kagum sikap beliau terhadap penulis ikan bilis seperti saya berbanding beliau seorang pengarang, kolumnis, penyair, politikus, bekas pensyarah di London School of Oriental and African Studies, Universiti London(1962-1966) dan bla... bla...bla...untuk membuat teguran dan nasihat kepada orang-orang muda seperti saya.
Jarang malah tidak ada pengarang yang tersohor 'mencemar duli' turun ke bawah melibatkan diri dengan golongan ikan bilis yang tidak mempunyai apa-apa.
Walaupun peristiwa ini berlaku pada tahun 1985 saya tidak pernah buat reaksi atau respon. Tetapi hari ini saya ingin ucapkan terima kasih pada Sdr Kassim Ahmad atas perhatian dan komitmen beliau.
Terima kasih. Tabik!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan