Rabu, 27 April 2011

Pemilihan dalam parti PAS

MUKTAMAR PAS akan berlangsung pada bulan Jun ini dengan menyaksikan kemungkinan  berlakunya pertandingan dalam semua jawatan tertinggi. Setakat ini belum ada pengesahan, cuma ura-ura dan pencalonan dari bahagian-bahagian tertentu.

PAS Bukit Bintang telah mencalonkan Datuk Husam Musa bagi jawatan Presiden. Tetapi pencalonan ini telah ditolak Husam atas alasan kepimpinan Ustaz Hj.Hadi Awang masih diperlukan. Bagi jawatan no.2 pula ada yang mencalonkan Mohamad Sabu bertanding menentang Nasharuddin Mat Isa. Mat Sabu telah menyatakan yang beliau akan buat keputusan sebelum 16 Mei.

Naib Presiden sekarang, Tuan Ibrahim Tuan Man, telah menolak cadangan agar beliau bertanding jawatan no.2.

Sebenarnya, Husam dan Mat Sabu adalah calon yang kalah dalam pertandingan jawatan no.2 semasa muktamar yang lalu. Mereka berdua tewas kepada Nasharuddin Mat Isa dalam pertandingan tiga penjuru . Tetapi kali ini nama mereka muncul lagi.

Kadang-kadang terfikir juga tidak ada calon lainkah dalam PAS sekarang? Mereka berdua tidak keterlaluan sekiranya di cap sebagai calon "recycle". Ahli-ahli PAS sepatutnya mencalonkan tokoh-tokoh lain yang lebih berwibawa dan mempunyai imej yang sesuai dengan PAS sebagai parti harakah.

Tidak keterlaluan sekirannya saya katakan bahawa , Husam dan Mat Sabu tidak layak untuk duduk di kerusi no.2 parti. Mereka berdua hanya paling sesuai dan cocok untuk berada ditahap Naib Presiden sahaja.

Ramai lagi tokoh dalam PAS yang lebih layak. Sebagai contoh nama-nama seperti, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Ghani Shamsuddin, Ustaz Harun Taib , umpamanya, mereka lebih layak. Malah Dr. Harun Din pun lebih sesuai untuk jawatan no.2 parti. Jawatan Dr. Harun Din sekarang sebagai Timbalan Mursyidul tidak begitu terserlah kerana banyak dibayangi oleh Tok Guru Nik Aziz.

Dr. Harun Din sepatutnya diberi peranan yang lebih menonjol agar PAS dapat diberi nafas baru dan dinamik. Tidak tahu pula apa yang ada dalam fikiran ahli-ahli PAS. Kalau hendak dibuat perbandingan antara tokoh-tokoh yang disebut tadi dengan Husam dan Mat Sabu, ibarat jauh panggang dari api.

Maaf cakap, saya bukan ingin merendah-rendahkan kebolehan kedua calon tersebut. Realitinya, mereka belum lagi sampai ke peringkat Timbalan Presiden. Kalau dibuat ukuran secara kasar, Datuk Mustapha Ali, lebih layak berbanding Husam dan Mat Sabu.

Sekurang-kurangnya sebagai rekod, semasa PAS dalam Barisan Nasional, Datuk Mustapha Ali telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri. Sedangkan pada masa itu Datuk Husam Musa masih berada di bangku sekolah.

Semoga para ahli PAS dapat memilih calon yang lebih sesuai dan berwibawa- sesuai dengan imej parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan