Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya membenarkan kemasukan pemain import beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan. Keputusan ini memang ditunggu-tunggu semua peminat bolasepak tanahair.
Dengan kembalinya para pemain import Liga M akan kembali meriah dan suasana pertandingan akan semakin kompetitif. Di samping itu ianya akan menarik lebih ramai para penonton membanjiri semua stadium yang kini masih banyak ruang kosong,
Dalam rantau ASEAN hanya negara kita sahaja yang tidak menggunakan pemain import dalam Liga tempatan. Masa dahulu kita pernah membenarkan pemain import, tetapi setelah prestasi pasukan kebangsaan kita merosot begitu teruk, maka banyak pandangan mengatakan puncanya ialah dari kebanjiran para pemain import.
Kehadiran pemain import seolah-olah telah menutup peluang pemain tempatan. Berbagailah pro dan kontranya. Polemik isu ini terus berpanjangan tanpa kesudahan.
Siapa tidak lupa nama-nama seperti Karel Stromsik, bekas penjaga gol dunia pasukan Cechz, Tony Cotee, bekas penyerang West Ham, Ervin Boban, Abbas Saad, Juan Manuel Aristegui dan lain-lain. Kehadiran mereka telah memeriahkan lagi suasana pertandingan.
Kalau dikira pemain tempatan boleh banyak mempelajari dan menambah lagi ilmu dari para pemain berkenaan.
Cuma FAM dan persatuan negeri mesti berhati-hati dalam mengambil dan memilih pemain import. Jangan berulang peristiwa lalu di mana kebanyakannya ditipu oleh ejen-ejen yang membekalkan para pemain yang tidak berkualiti dan mempunyai masalah kecederaan. Akhirnya, persatuan negeri terpaksa menanggung segala risikonya.
Lebih teruk lagi ada persatuan negeri yang diperdaya oleh ejen dengan hanya menilai dan memilih pemain import berdasarkan rakaman video yang ditunjukkan para ejen. Kes ini berlaku dulu di negeri sebelah utara.
Kali ini semua persatuan negeri mestilah berhati-hati agar kes sedemikian tidak berulang. Dan tidak kurang penting, masalah gaji para pemain tidak tertunggak, sebagaimana pernah timbul masalah gaji pemain yang tidak dibayar akibat masalah kewangan persatuan negeri - menyebabkan FAM terpaksa masuk campur.
Pendek kata, semua persatuan negeri mestilah mencongak dulu kantong kewangan mereka sebelum mengambil mana-mana pemain import. Tidak ada gunanya membeli pemain import dan kemudiannya tidak dapat melunaskan elaun mereka dan sebagainya. Ini sudah tentu akan menjejaskan nama baik FAM dan negara khasnya
Semoga dengan kembalinya pemain import musim depan, Liga M akan semakin meriah, tajaan semakin bertambah dan para penonton pun semakin berlipatganda. Dan yang paling penting, mutu dan kualiti pasukan negara juga semakin baik dan cemerlang.
Ayuh... Harimau Malaya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan