Kita sudah lebih 53 tahun merdeka, tetapi masalah perkauman masih menjadi "duri dalam daging" dalam proses kita membina satu bangsa. Tidak perlu menuding jari atau mencari "kambing hitam" dalam mencari punca dan sebabnya. Semua kaum mesti mengkaji dan merenung kembali masa silam.
Tun Dr. Mahathir pernah merungut bahawa beliau tidak boleh lagi bercakap tentang melayu kerana bimbang akan di tuduh rasis. Sedangkan kaum Cina boleh bercakap dan membuat berbagai tuntutan atas nama "hak".
Suasana bertambah buruk bila akhbar-akhbar berbahasa Cina terus memainkan sentimen perkauman tanpa rasa takut. Ada yang merungut seolah-olah KDN memekakkan telinga, tanpa mengambil apa-apa tindakan.
Perkasa, Hindraf dan lain-lain tidak banyak membantu. Malah kehadiran mereka telah menaikkan lagi "suhu" yang sudahpun panas dan tinggi.
Terkini muncul pula slogan 1Melayu 1Bumi dari pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan. Semuanya bertambah kacau dan keliru.
Cuma saya sebagai "layman" ingin mengajak kita merenung kembali suatu episod.
Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam setiap pilihanraya umum. Dan yang paling penting sebagai rekod, UMNO telah berjaya mencapai 100 peratus bersih kemenangan di semua kawasan parlimen. UMNO hanya kalah kerusi DUN khususnya di Kelantan.
Kalau hendak dikira jumlah kerusi parlimen yang dimenangi UMNO pada masa itu, UMNO mampu dan boleh menubuhkan kerajaan persekutuan secara sendirian dengan majoriti mudah tanpa sokongan dari mana-mana parti komponen yang lain.
Tetapi apakah pilihan UMNO yang merupakan tunjang dalam Barisan Nasional saat itu? UMNO dibawah Dr. Mahathir telah memilih untuk berkongsi kuasa dengan kaum-kaum lain membentuk kerajaan. Kalau ia mahu, ia boleh membentuk kerajaan sendirian hatta PAS enggan menyertainya.
UMNO telah membuktikan bahawa ia bukan sebuah parti yang tamak dan gila kuasa. Walaupun UMNO mewakili orang-orang melayu, tetapi ia juga mewakili dan memperjuangkan kepentingan kaum-kaum lain dalam Barisan Nasional.
Tetapi ini cerita dulu. Kini UMNO tidak kuat seperti dulu lagi. Barisan Nasional bukan sahaja hilang dua pertiga, UMNO juga hampir hilang semua kerusi yang pernah dipegangnya.
Dan kini bila UMNO yang mewakili orang melayu berada dalam keadaan lemah dan bila mantan Presidennya sudah dituduh rasis- di mana harus mereka berdiri? Masa berbulan madu dengan parti-parti komponen dulu tinggal hampas begitu saja.
UMNO sebenarnya dalam persimpangan. Ia bukan saja menghadapi MCA, MIC, GERAKAN, DAP, PKR dan lain-lain tetapi juga PAS
UMNO- perjalananmu penuh duri..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan