SELAMA 30 tahun memerintah penuh dengan kebanggaan dan akhirnya tidak sampai sebulan krisis melanda, bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, tersungkur menyembah bumi.
Tidak terlintas di fikirannya dipenghujung tempoh pemerintahannya bala menimpa. Cita-citanya untuk melihat anak lelakinya, Gamal, sebagai pewaris pemerintahannya hancur luluh.
Sungguh malang dalam usia 80an, suatu peringkat penghujung saki baki usianya, beliau terpaksa menerima hakikat segala-galanya hancur musnah. Keluarga, harga diri dan maruah tidak lagi dapat dipertahankan.
Semuanya angkara lalai dan selesa selama 30 tahun sehingga rakyat lebih 80 juta itu diabaikan. Tidak ada perancangan ekonomi dan peluang pekerjaan disediakan. Rakyat terbanyak terus dicengkam kemiskinan dan pengangguran.
Sungguh tragis, Mesir adalah sebuah negara yang sumber kekayaan begitu banyak. Selain minyak dan gas, kutipan hasil dari kapal-kapal yang merentasi Terusan Suez dianggar berbillion dollar setahun. Semua hasilnya dibolot oleh sang pemerintah dan kroni-kroninya. Tidak cukup dengan itu, mereka mengumpul dan menimbun segala harta dalam dan luar negara.
Anehnya, setiap kali pilihanraya Presiden, Hosni, telah mencapai kejayaan hampir 98 peratus undi popular. Ada tuduhan setiap kali pemilihan berlaku penipuan.
Lebih mengecewakan rejim Mesir sentiasa tunduk dengan zionis Israel sehingga segala bantuan luar yang dihulurkan kepada Palestin disekat menghampiri sempadan Mesir. Terbongkar rahsia, Mesir mempunyai perjanjian dengan Israel menghantar gas melalui saluran paip ke negara zionis itu.
Kini Hosni tenat diserang sakit jantung dan berada di penjara . Anak lelakinya, Aala dan Gamal ditahan dipenjara tentera sementara menunggu perbicaraan di mahkamah atas tuduhan rasuah. Isterinya, Suzanne, terus derita dan sengsara melihat apa yang menimpa mereka yang suatu masa dulu begitu kebal dan terhormat.
Apa yang menarik tentang Hosni ialah beliau tidak melarikan diri ke luar negara seperti yang dilakukan oleh Zen Abiden Bin Ali di Tunisia. "Saya akan mati di bumi Mesir", katanya. Sedangkan beliau mampu berbuat demikian.
Hosni Mubarak, barangkali, begitu mencintai tanahairnya Mesir sehingga dia tidak sanggup meninggalkan tanahairnya, walaupun dia tahu nyawa terancam bila dia sudah tidak berkuasa lagi.
Episod ini harus menjadi teladan pada semua bahawa kehidupan ini kita tidak boleh terlalu berada di zon selesa senantiasa. Semua yang berkuasa dan berkedudukan mesti keluar dari zon selesa sebelum bala menjelma.
Hosni telah pergi. Kini yang menunggu penuh debaran ialah Ali Abdullah Salleh di Yemen, Gaddafi di Libya, Assad di Syria dan sekitar rantau Timur Tengah.
Masih adakah lagi rejim yang masih tidur?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan