Tidak ada suatu yang paling bernilai bagi seorang penulis selain dapat melontarkan segala isi hati dan fikiran secara bebas dan terus terang dalam bentuk tulisan. Tidak ada sekatan atau halangan dalam prosesnya menghasilkan sesuatu karya , baik rencana, cerpen, novel dan sebagainya.
Tetapi ini tidaklah bermakna bebas semahunya. Kebebasan dalam ertikata ia harus mengambil kira sensitiviti di sekelilingnya, budaya, agama dan sebagainya . Kebebasan tanpa had bukanlah kebebasan sebenarnya. Sekiranya di salahguna ia boleh memakan diri dan menghancurkan sesuatu bangsa.
Sebelum munculnya teknologi IT semua penulis bergantung pada media tradisi seperti akhbar dan majalah bagi menampung hasil tulisan atau karya mereka. Dan media di negara kita terbahagi pada dua iaitu; media arus perdana dan media alternatif.
Bagi media arus perdana, kebiasaannya dikuasai kerajaan . Maka segala bahan-bahan maklumat yang akan disiarkan mestilah mengambil kira dasar-dasar kerajaan. Sekiranya ada para penulis menulis sesuatu yang bertentangan, ianya tidak akan di siarkan.
Begitu juga dengan media alternatif. Sebahagiannya dimiliki oleh parti tertentu dan pemodal yang mempunyai kepentingan tertentu. Mereka semua mempunyai kepentingan. Segala bahan dan maklumat yang akan di terbitkan mestilah tidak bertentangan dengan kepentingan parti atau perniagaan.
Di sinilah masalah dan kekangan yang dihadapi oleh para karyawan. Seorang penulis atau karyawan tidak mungkin menulis dan berkarya mengikut selera pemodal. Kebebasan amatlah penting . Kebebasan dalam mengeluarkan pendapat dan idea dalam menangani segala permasalahan masyarakat , negara dan agama.
Terima kasih pada teknologi IT. Maka lahirlah para blogger dan laman blog. Seorang penulis blog ialah seorang pengarang, penyunting, penerbit dan pencetak sekaligus.
Dia bebas melontarkan apa saja yang difikirkannya dengan syarat ia bukan bahan fitnah, mencerca dan mengaibkan seseorang .
Penulis blog masih lagi tertakluk dengan undang-undang. Ertinya, penulis blog seorang yang bebas, tetapi ia mestilah menggunakan kebebasan itu dengan penuh tanggungjawab.
Tetapi tidak ada perkara yang paling bernilai bagi seorang penulis blog melainkan kepuasan dan kebebasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan