Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perasmiannya di Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama baru-baru ini telah memberi jaminan yang kerajaan tidak akan sekat atau menapis kandungan Internet.
Ini katanya selaras dengan janji Dr. Mahathir kepada dunia ketika beliau membangunkan Koridor Raya Multimedia.
Persidangan dua hari itu bertema "Blogging Mindfully and Responsibly" anjuran Blog House Malaysia. Dr. Mahathir ialah penaung Blog House itu.
Menurut Datuk Najib lagi, kerajaan tidak takut kehadiran penulis blog, malah ingin menjadi sebahagian daripada mereka dan mengetahui pandangan mereka termasuk yang bersifat positif.
"Mungkin kita tidak boleh mempunyai pendapat serupa sepanjang masa, tetapi kita tidak boleh bermusuhan", tambahnya.
Manakala Dr. Mahathir pula sebagai seorang blogger berpendapat media arus perdana harus sesekali menjadi pengkritik kerajaan. Kerana katanya ramai yang tidak bersedia untuk mengkritik kerajaan lantaran mereka beranggapan perlu menyokong kerajaan sentiasa.
"Jadi kerajaan kadang-kadang mendapat pandangan berat sebelah tentang apa yang dimahukan oleh rakyat", katanya.
Dengan kenyataan positif dari dua tokoh negara ini sudah tentu akan melegakan para blogger dalam menjalankan tugas mereka. Bagaimanapun, mereka seharusnya melakukannya dengan penuh tanggungjawab dan meletakkan kepentingan bangsa, negara dan agama di atas lain-lain kepentingan.
Keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan negara tanggungjawab bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan