Jumaat, 27 September 2024

Tubuh RCI Siasat Kes Liwat

 PMX Anwar Ibrahim kecewa kerana masih ada lagi pihak yang membangkitkan kes liwatnya puluh tahun dahulu. Beliau ulang bahawa tuduhan terhadapnya adalah keji dan zalim. 

Justeru itu PMX mengangkat beliau sebagai banduan terhormat. 

Saya secara peribadi mengikuti kes beliau di mahkamah sejak 1999 pada zaman Dr Mahathir sehingga kes liwat pada zaman Najib Razak sebagai Perdana Menteri - mendapati keputusan mahkamah tidak boleh disanggah. 

Sehingga hari ini setelah 25 tahun kes tersebut muktamad tidak ada sebarang bukti, dalil atau apa-apa siasatan pihak polis menerangkan bahawa tuduhan terhadap banduan terhormat itu adalah satu konspirasi atau satu pengkhianatan.

Tidak ada hitam putih mengesahkan atau membuktikan ada konspirasi jahat membuat pertuduhan keji tersebut terhadap banduan terhormat. 

Yang kita dengar hanyalah ucapan-ucapan retorik politik di atas pentas. Dan sanggahan daripada mereka yang terlalu taksub sehingga tidak dapat menerima kenyataan. Kesemuanya datang dari luar mahkamah dan undang-undang. 

Apakah kita perlu menerima retorik politik atau hakim mahkamah yang membuat keputusan? 

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed dalam hujah bertulisnya ada menegaskan kejadian liwat memang berlaku. 

Ini bukan kenyataan saya. Tetapi hujah bertulis Tun Hamid ketika membaca keputusan mahkamah rayuan. Sila pergi ke Encik Google untuk kepastian. Dan Tun Hamid masih hidup lagi. 

Kalau Tun Hamid menipu atau hakim-hakim lain berkonspirasi melakukan kerja keji maka banduan terhormat wajib mengambil tindakan segera bagi membersihkan namanya yang tercemar serta menegakkan keadilan. 


Bekas Ketua Hakim Negara (2007 - 2008) Tun Abdul Hamid Mohamad


Mereka yang berkonspirasi masih ramai yang belum mati lagi. Sila ambil tindakan. 

Saya ulang.... Berani kerana benar. Kenapa takut? 

Paling cantik jika kerajaan Madani menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi mencungkil apa sebenarnya yang berlaku dalam kes liwat yang dikatakan satu konspirasi. 

Saya percaya dan yakin masih ramai yang menolak teori konspirasi tersebut. Kalau ia benar satu konspirasi, mana buktinya? Tidak ada seorang pun ditangkap polis dan dihukum. 

Yang dikatakan bapa konspirasi itu adalah Atok tua saka. Tetapi dia masih hidup. Tangkaplah bawa ke mahkamah. 

Jangan asyik main politik dengan pidato yang berapi. 

Bagi mereka yang taksub ok lah. 

Namun bagi mereka yang mahu hujah dan fakta agak sukar sedikit untuk menerima naratif yang dibawa ahli politik. 

Hakim dan mahkamah adalah dua institusi tertinggi. Sekiranya kita menolak kredibiliti keduanya samalah seperti kita mengamalkan sistem anarki. Ertinya tidak payah ada hakim dan mahkamah. Khalas. 




Khamis, 11 Julai 2024

Speaker Parlimen Yang Tidak Kompeten

 Dalam sejarah parlimen di negara ini saya belum lihat seorang Tuan Speaker kelihatan seperti orang bodoh macam Pak Dogol. Sungguh memalukan. 

Bukan rakyat sahaja yang malu malah orang luar pun ketawakan. Ini standard Speaker Parlimen kita. Memang low class. 

Sebelum ini sudah banyak kali Speaker ini gagal mengawal dewan. Malah acap kali disekolahkan pula oleh para wakil pembangkang dalam perbahasan. 

Yang terbaru keputusannya mengenai status enam ahli Bersatu yang tidak perlu mengosongkan kerusi setelah gugur sebagai ahli. 




Inilah kemuncak sikap Speaker yang di luar tabii. Dia tidak menjalankan tugasnya dengan betul dan amanah.  Sedangkan undang-undang parti dan perlembagaan amat jelas. 

Speaker telah bertindak melampaui kuasanya dan bersifat songsang. 

Tugas Speaker adalah mengikut undang-undang dan perlembagaan bukannya mentafsir ikut selera parti yang dianutinya. 

Hanya Hakim mahkamah yang mentafsir undang-undang bukan Speaker. 

Tugas Speaker memastikan peraturan diikuti dan dilaksanakan. Bukannya mentafsir secara songsang kerana kepentingan sesuatu pihak. 

Apa pun tahniah lah PMX Anwar kerana melantik Speaker yang low class tersebut. Yang dilantik low class dan yang melantik adalah dua kali low class.

Pastinya lantikkan PMX ini bukan untuk kepentingan negara dan rakyat tetapi demi muslihat untuk mengekalkan kuasa dan kedudukan. 

Sekali lagi tahniah di atas segala janji-janji reformasi. Reformasi telah mati. 

Apa yang terus membara adalah nafsu serakah dan penipuan untuk terus kekalkan kuasa. 

Jangan lupa PMX, parti kamu tidak pernah diberi mandat oleh rakyat. Parti kamu hanya menang 31 kerusi dari 222 kerusi dalam parlimen. 

Kamu hanya diberi mandat oleh YDP Agong setelah parlimen tergantung. 

Jangan angkuh dan sombong. 

Beri khidmat pada rakyat bukan menyusahkan rakyat. Bertindak mengikut undang-undang bukan kerana kepentingan gerombolan kamu sahaja. 

Pada PMX jangan jadi seperti "Chameleons" - sejenis binatang yang akan bertukar warna kulitnya mengikut keadaan. 

Akhir sekali pesanan untuk PMX - tukar sahaja lah Speaker Parlimen sekarang dengan calon lain yang nampak lebih cerdik dan berwibawa. 

Isnin, 22 April 2024

Tun Musa Hitam Pemimpin Berprinsip

 PM Anwar Ibrahim meraikan hari ulang tahun Tun Musa Hitam ke 90 dalam satu majlis yang diadakan di Johor baru-baru ini. 

Tun Musa Hitam adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dari 1981 - 1986. Beliau diiktiraf sebagai negarawan dan seorang ahli politik yang berprinsip dan berintegriti. 


Tun Musa Hitam


Tun Musa adalah TPM pertama Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Beliau tidak dipecat dari jawatan TPM tetapi meletakkan jawatannya kerana tidak bersefahaman dengan Dr Mahathir dalam banyak perkara. 

Pada zaman Tun Razak ramai penganalisa meramalkan Tun Musa adalah antara calon berpotensi menjadi PM masa depan. Mereka mengira Tun Musa adalah seorang yang pintar.

Menurut Lim Kit Siang, Tun Musa adalah TPM yang terbaik dan negara terlepas peluang mempunyai seorang PM seperti Tun Musa. 




Tun Musa dilantik sebagai TPM pada 1981. Manakala Anwar Ibrahim masuk Umno dan menyertai kabinet kerajaan pada 1982. Sebelum itu Anwar adalah pemimpin belia yang popular dalam dan luar negeri. 

Dengan ikut sertanya Anwar dalam Umno dan kerajaan ia menimbulkan suasana seolah Anwar menjadi saingan Tun Musa sebagai pemimpin barisan depan negara. 

Tun Musa pada awalnya kelihatan tidak selesa dan melihat dari sudut politik - kemasukkan Anwar dalam Umno dan kerajaan sebagai satu ancaman dan saingan pada kedudukkanya sebagai TPM.

Bagi Dr Mahathir pula kehadiran Anwar penting bagi menghadapi pengaruh parti Pas kerana Anwar mempunyai imej pemimpin Islam yang popular melalui pertubuhan yang diasaskannya iaitu ABIM. 

Pernah satu ketika Anwar sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam kabinet Mahathir telah ditukar portfolio menjadi Menteri Pertanian dalam satu rombakan kabinet. 

Ramai penganalisa politik mengira ia satu keputusan turun pangkat terhadap Anwar. Kerana kementerian pertanian dianggap kurang berpengaruh jika dibandingkan dengan kementerian Belia dan Sukan. 

Anwar pula ketika itu begitu popular dikalangan para pemuda yang menjadi aset penting dalam dan luar parti. Ertinya ada langkah bagi menyekat pengaruh Anwar dari menjadi semakin kuat hingga ke akar umbi. 

Ada spekulasi ketika itu Dr Mahathir menerima tekanan daripada Tun Musa mengenai kedudukan Anwar dalam rombakan kabinet tersebut. 

Khabarnya Dr Mahathir terpaksa akur kerana Umno Johor lebih kuat jika dibandingkan dengan Umno Kedah. 


Tun Musa bersama Dr Mahathir pada era kemuncak kerajaan 2M


Tidak nampak jelas permusuhan Tun Musa dan Anwar ketika itu kerana Anwar adalah Ketua Pemuda Umno dan belum lagi Naib Presiden parti. Sedangkan Tun Musa adalah Timbalan Presiden. 

Cuma mungkin Tun Musa melihat potensi Anwar mara lebih jauh dalam hiraki parti. Dan ketika itu Anwar pula adalah penyokong kuat dan setia Dr Mahathir. Manakala hubungan Tun Musa dan Dr Mahathir mulai masam-masam manis. Ertinya hubungan itu sudah mulai retak. 

Sudah menjadi rahsia umum hubungan Tun Musa dan Dr Mahathir sehingga sekarang tidak pernah pulih. Mungkin Tun Musa masih berkecil hati dengan sikap Dr Mahathir terhadapnya dalam hal-hal politik. Sebenarnya perselisehan mereka berdua lebih pada tindakan-tindakan politik masa lampau yang mungkin payah untuk dilupakan begitu sahaja. Ia telah menjadi sejarah. 

Tun Musa pernah memberitahu sekiranya beliau tidak meletakkan jawatan sebagai TPM kemungkinan beliau akan menghadapi masalah yang sama yang menimpa Anwar Ibrahim pada 1998.

Ertinya Tun Musa sudah dapat membaca masa depan politiknya jika terus menghadapi Dr Mahathir dalam politik nasional dan Umno khususnya. Lebih baik beliau berundur diri. 

Sudah banyak kali Tun Musa berkata pada para media bahawa beliau tidak percaya pada Dr Mahathir. 

Namun kini selepas lebih 40 tahun berlalu Tun Musa diraikan dengan penuh hormat daripada Anwar Ibrahim yang ditakdirkan telah menjadi Perdana Menteri ke 10.

Anwar dahulu adalah orang kuat Dr Mahathir. Maknanya ketika berlaku krisis hubungan Mahathir - Musa, Anwar berdiri kukuh dibelakang Dr Mahathir. 

Tetapi kini ditakdirkan Tun Musa dan Anwar berada digaris yang sama dan menghadapi masalah yang sama ketika menjadi TPM pada Dr Mahathir. Mungkin cabaran dihadapi Anwar itu lebih perit lantaran beliau enggan letak jawatan. Berlainan dengan Tun Musa yang memilih jalan dengan mengundur diri. 

Seperti kata Lim Kit Siang, negara terlepas peluang untuk mempunyai seorang Perdana Menteri yang berkarismatik seperti Tun Musa Hitam. 

Majlis yang diraikan oleh PM Anwar sempena ulangtahunnya ke 90 menggambarkan pengiktirafan negara terhadap Tun Musa Hitam sebagai salah seorang negarawan terbilang. 








 



Isnin, 1 April 2024

Oh Melayu...

Nama Melayu

Cakap Melayu

Bangga dengan Melayu dan sejarah Melayu. 

Dalam politik bukan main lagi angkat Melayu.

Tapi... 

Budaya dah jadi Arab bukan Melayu. 

Pakaian dah jadi Arab bukan Melayu. 

Bahasa dah banyak Arab bukan Melayu. 

Ini jenis Melayu apa? Lupa asal usul. 

Kalau nak jadi Arab boleh pergi ke Tanah Arab. 


Isnin, 26 Februari 2024

Anwar dan Muhyiddin Cakap Tak Serupa Bikin

 Orang kata ahli politik suka cakap bohong. Umumnya percakapan mereka tidak boleh dipegang. Hari ini cakap lain, esok lusa lain pula. Bukan ahli politik sekiranya tidak berbohong. 


Tan Sri Muhyiddin Yassin bekas PM ke 8 telah membuat kenyataan dahulu bahawa PRU 15 adalah terakhir buat dirinya. Beliau tidak akan bertanding lagi. 


Tan Sri Muhyiddin Yassin



Namun kini beliau masih bercita-cita mahu menjadi calon PM buat kali kedua. Beliau masih kekal sebagai Presiden parti Bersatu dan Pengerusi PN. 


Kalau hendak dikira beliau sepatutnya berundur dan memberi peluang pada calon-calon baru yang lebih muda. Tidak cukup lagi kah dengan segala pengalaman dan berbagai jawatan selama lebih 40 tahun dalam parti dan kerajaan? 


Ahli politik sebenarnya tidak tahu bila masa yang tepat dia perlu berhenti. Jangan jadi seperti nasib yang menimpa dua tokoh politik veteran Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah yang ditolak pengundi dan tewas dalam pilihanraya. 


Dr Mahathir hilang deposit di Langkawi. Ku Li pula tumbang di kubu kuatnya Gua Musang, kawasan yang diwakilinya lebih 50 tahun. 


Muhyiddin hendak ikut jejak Dr Mahathir dan Ku Li kah? Lebih baik berfikir sebelum terlambat. Sebelum nasi jadi bubur. Kerana Mahathir dan Ku Li sudah jadi bubur sekarang. 


Lagi pun saya lihat Muhyiddin tidak ada potensi mampu menyaingi dan mengatasi Anwar Ibrahim dalam banyak aspek. 


Bukti paling mudah sekiranya Muhyiddin serius mahu menyaingi Anwar, beliau perlu menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen bukannya Hamzah Zainudin. 


Agak ganjil mahu jawatan PM namun tidak sanggup pikul jawatan Ketua Pembangkang. Jawatan Ketua Pembangkang adalah penting, serius dan berat. 


Kenapa Muhyiddin memberi laluan pada Hamzah?  Sedangkan Hamzah tidak layak pun bertanding jawatan Presiden Bersatu kerana tidak cukup syarat parti iaitu menjadi ahli majlis tertinggi selama dua penggal. 


Itu cerita Muhyiddin. 


Apakah PMX Anwar Ibrahim juga suka cakap bohong? Dengan kata lain, cakap tak leh pakai ?


Sekiranya hendak dikutip percakapan Anwar dari dahulu sehingga sekarang memang banyak dia cakap tak serupa bikin.


Contoh kenyataannya sebelum ini bahawa beliau tidak akan memegang jawatan Menteri Kewangan namun ia tidak tunai apa yang diucapkannya. Dia langgar kata-katanya sendiri sambil senyum-senyum sahaja. 


PMX Anwar Ibrahim



Itu belum dikira segala reformasi yang diretorikkan selama ini antaranya tentang kedudukan SPRM diletakkan di bawah kuasa Parlimen, bukannya dijadikan perkakas parti politik mendakwa musuh-musuhnya. Dan lain-lain seperti pemansuhan Akta Hasutan dan memberi kebebasan rakyat untuk bersuara dan mengkritik. 


Namun begitu kita bagi beliau masa sekurang-kurangnya sampai habis penggal sehingga Pru 16. Lepas itu rakyat boleh menilai apakah boleh dipertahankan kedudukkannya atau tolak beliau kembali menjadi Ketua Pembangkang. 



















Ahad, 7 Januari 2024

" Man On The Run "

 Saya baru menonton sebuah filem dokumentari bertajuk, " Man On The Run" di Netflix. Ia adalah sebuah filem yang baru diterbitkan dan ditayangkan sempena tahun baru 2024.

Filem ini mengisahkan modus operandi penyangak Jho Low yang menipu dan mencuri dana 1MDB lebih rm 2. 6 billion. Ianya telah mencatat sejarah sebagai salah satu skandal kewangan terbesar di dunia. 




Skandal ini juga telah menjadi faktor utama jatuhnya bekas PM Najib Razak dan tumbangnya kerajaan Umno dan BN setelah enam dekad berkuasa.

Saya sudah mengikuti dan mengulas skandal 1MDB sejak 2013 lagi. Menonton filem ini hanya menambahkan lagi kefahaman  menjadi lebih jelas sekitar Jho Low, Najib dan 1MDB.

Saya percaya ramai lagi rakyat negara ini tidak memahami sepenuhnya skandal 1MDB dan bagaimana Najib sebagai PM dimanipulasi oleh Jho Low. 

Pada babak awal filem ini dimulakan dengan adegan sekumpulan anak-anak muda bangsa melayu yang diinterbiu tidak kenal dan tidak tahu siapa itu Jho Low.

Begitu juga seorang bangsa Cina dan India yang pernah dengar 1MDB namun tidak ada pengetahuan mengenainya. 

Anak-anak muda tersebut terlalu muda dan tidak mengikuti perkembangan berita. 

Manakala dua orang bangsa Cina dan India itu mengatakan mereka terlalu sibuk kerja mencari rezeki dan tidak mengambil tahu. 

Filem ini yang mengambil masa sekitar satu jam boleh membantu kefahaman apa itu skandal 1MDB bagi mereka yang tidak mengikutinya secara dekat melalui pembacaan dan sebagainya.

Dalam filem ini  Najib yang diinterbiu mengatakan beliau tidak tahu menahu apa yang dilakukan Jho Low dan orang-orang disekelilingnya sehingga berlakunya penyelewengan dan penipuan  dana kewangan 1MDB.

Najib mengaku tidak bersalah dan menyalahkan orang-orang dibawahnya yang tidak jujur dan mempersoalkan kenapa dia seorang sahaja yang diheret ke mahkamah. 

Interbiu Najib dalam filem ini diadakan empat bulan sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh mahkamah. 

Najib dipenjarakan bersabit kes SRC yang melibatkan rm 42 juta. Kini beliau masih menghadapi beberapa kes lagi di mahkamah berkait dengan 1MDB.

Dalam masa yang sama ada usaha terus berjalan bagi mendapatkan pengampunan untuk Najib daripada Yang Di Pertuan Agong. 

Namun berdasarkan Najib masih lagi menghadapi beberapa kes di mahkamah, usaha tersebut mungkin menghadapi jalan sukar. 

Kes ini sekiranya diikuti ia agak panjang dan berjela-jela dengan segala fakta dan angka serta dokumen-dokumen di dalam dan luar negara. 

Namun satu hakikat yang perlu diterima umum bahawa Najib ketika skandal 1MDB ini berlaku dari 2009 sehingga 2018, beliau adalah Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat Lembaga Pengarah 1MDB.

Ertinya, beliau adalah orang yang berkuasa penuh di atas segala apa yang berlaku. Tanda tangannya terdapat di merata-rata tempat dan dokumen. 

Beliau mesti bertanggungjawab. Hujah dan alasan beliau tidak tahu dan dimanipulasi tidak berbangkit. 

Apa yang menarik kenyataan Najib dalam interbiu filem ini, beliau menyatakan beliau tidaklah sebodoh itu dan mempunyai IQ yang rendah sehingga tidak mengetahui penipuan yang berlaku. 

Tetapi kenyataan dan pandangan umum begitulah nampaknya. 

Sayugia selain Najib dan Jho Low sebagai watak-watak penting dalam skandal ini - mereka adalah Rosmah Mansor dan Riza Aziz. 

Rosmah dan Riza adalah dua watak penting yang membuka laluan buat Jho Low menghampiri Najib sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan. 

Riza Aziz adalah kenalan Jho Low dan anak tiri Najib. 

Pada yang berminat mengetahui lebih lanjut skandal 1MDB bolehlah menonton siri Netflix, " Man On The Run " .






Isnin, 1 Januari 2024

Saya belajar buat ulasan dalam Mingguan Malaysia

 Saya mulai terkenang kira-kira lebih 35 tahun dahulu dari tahun 1985 hingga 1988, saya mengasah bakat menulis dengan menghantar beberapa tulisan pada akhbar harian untuk disiar dan diterbitkan.

Antara akhbar tersebut adalah Utusan Malaysia dan Berita Harian. 



Saya mengambil jalan mudah bagi mencari bahan untuk ditulis dan membuat ulasan dengan mencari tajuk atau isu semasa yang saya faham sepenuhnya. Sekiranya kita tidak memahami sesuatu isu itu, bagaimana kita boleh menulis dan membuat ulasan ?

Justeru itu sukan bolasepak menjadi pilihan dan kegemaran saya. Lagi pun saya peminat bolasepak.

Saya ikuti perkembangan bolasepak tanahair dengan teliti dan penuh minat. Dan saya memahami sepenuhnya segala perkembangannya. 



Saya perhati setiap Ahad, akhbar Mingguan Malaysia mempunyai halaman tetap - kolum sukan dalam naskah sisipannya iaitu Pancaindera yang mengandungi pelbagai halaman dan topik. 

Lazimnya, setiap kolum ini ditulis oleh para wartawan di akhbar tersebut. Saya tidak pernah melihat dan membaca kolum-kolum tersebut ditulis oleh penulis-penulis luar atau para penyumbang. 

Jadi saya mencuba nasib dengan menghantar beberapa tulisan yang berbentuk ulasan tentang sesuatu tajuk.

Saya ulas tentang isu sukan bolasepak tanahair secara mudah dan ringkas. 



Dan agak terkejut dan tidak menyangka dalam masa seminggu atau dua minggu sahaja tulisan itu disiarkan. 

Oleh kerana cubaan pertama itu berjaya, saya tulis dan hantar lagi sehingga empat tulisan yang berikut diterbitkan. 

Ketika itu bahan tulisan ditaip langkau dua baris dan disertakan sepucuk surat pada Pengarang memohon pertimbangannya agar tulisan tersebut disiarkan. 

Lebih kurang sebulan selepas tulisan diterbitkan saya ada menerima bayaran melalui cek secara pos.

Selepas itu saya mula cuba mengulas tajuk dan isu lain pula selain dari bidang sukan.