Saya mulai terkenang kira-kira lebih 35 tahun dahulu dari tahun 1985 hingga 1988, saya mengasah bakat menulis dengan menghantar beberapa tulisan pada akhbar harian untuk disiar dan diterbitkan.
Antara akhbar tersebut adalah Utusan Malaysia dan Berita Harian.
Saya mengambil jalan mudah bagi mencari bahan untuk ditulis dan membuat ulasan dengan mencari tajuk atau isu semasa yang saya faham sepenuhnya. Sekiranya kita tidak memahami sesuatu isu itu, bagaimana kita boleh menulis dan membuat ulasan ?
Justeru itu sukan bolasepak menjadi pilihan dan kegemaran saya. Lagi pun saya peminat bolasepak.
Saya ikuti perkembangan bolasepak tanahair dengan teliti dan penuh minat. Dan saya memahami sepenuhnya segala perkembangannya.
Saya perhati setiap Ahad, akhbar Mingguan Malaysia mempunyai halaman tetap - kolum sukan dalam naskah sisipannya iaitu Pancaindera yang mengandungi pelbagai halaman dan topik.
Lazimnya, setiap kolum ini ditulis oleh para wartawan di akhbar tersebut. Saya tidak pernah melihat dan membaca kolum-kolum tersebut ditulis oleh penulis-penulis luar atau para penyumbang.
Jadi saya mencuba nasib dengan menghantar beberapa tulisan yang berbentuk ulasan tentang sesuatu tajuk.
Saya ulas tentang isu sukan bolasepak tanahair secara mudah dan ringkas.
Dan agak terkejut dan tidak menyangka dalam masa seminggu atau dua minggu sahaja tulisan itu disiarkan.
Oleh kerana cubaan pertama itu berjaya, saya tulis dan hantar lagi sehingga empat tulisan yang berikut diterbitkan.
Ketika itu bahan tulisan ditaip langkau dua baris dan disertakan sepucuk surat pada Pengarang memohon pertimbangannya agar tulisan tersebut disiarkan.
Lebih kurang sebulan selepas tulisan diterbitkan saya ada menerima bayaran melalui cek secara pos.
Selepas itu saya mula cuba mengulas tajuk dan isu lain pula selain dari bidang sukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan