Selasa, 10 Mac 2020

Azmin Ali Dan Hamzah Zainuddin Pemimpin Kanan Muhyiddin

Dua orang arkitek atau perancang yang menghimpun semua wakil rakyat dari parti Bersatu, Umno, Pas, MCA dan MIC di hotel Sheraton - tujuan menubuhkan Perikatan Nasional, telah pun dilantik jawatan kanan dan penting dalam kabinet Muhyiddin.

Mereka berdua ialah Hamzah Zainuddin (Bersatu) dan Azmin Ali (ex PKR kini ahli Bersatu).

Azmin dilantik sebagai Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Hamzah sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN)  - satu jawatan berpengaruh dan power dalam kabinet.

Menteri KDN...Hamzah Zainuddin

Dari PM pertama hingga PM ke 7, jawatan Menteri KDN hanya diberikan pada pemimpin kanan dalam parti. Setiap PM tidak melantik sebarangan. Sama ada PM sendiri memegang jawatan tersebut atau diserahkan pada orang yang dipercayainya.

Misalnya, pada era Najib, dia pilih Zahid Hamidi. Masa PH bawah Mahathir, dia pilih Muhyiddin. Kerana Muhyiddin adalah
Presiden Bersatu.  Manakala Mahathir adalah Pengerusinya.

Zaman Tun Hussein Onn PM ke 3, dia memilih Tan Sri Ghazali Shafie.

Ertinya setiap PM akan melantik orang kepercayaannya sebagai Menteri KDN. Jabatan KDN amat penting kerana ia melibatkan soal keselamatan dan ketenteraman negara.

Dr Mahathir sebagai PM ke 4 pernah memegang jawatan tersebut setelah timbalannya Musa Hitam meletakkan jawatan pada 1986.

Dalam konteks sekarang ini, Datuk Hamzah Zainuddin adalah orang kanan Muhyiddin selain daripada Azmin Ali sebagai Menteri Kanan.

Azmin Ali... Menteri Kanan

Kalau hendak dikira, Hamzah adalah bekas ahli Umno yang melompat masuk Bersatu. Dan dia tidak mempunyai apa-apa jawatan penting dalam parti Umno dan parti barunya, Bersatu.

Namun kini dia adalah orang penting dalam kabinet Muhyiddin. Dan dia adalah penggerak dan perancang utama bersama Azmin dalam langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH dibawah Dr Mahathir.

Ironinya, Hamzah dan Azmin merupakan penyokong tegar Dr Mahathir dan mahu PM ke 4 dan ke 7 itu meneruskan tugasnya sebagai PM sehingga habis penggal. Mereka berdua adalah musuh ketat Anwar Ibrahim dan tidak rela Mahathir menyerahkan kuasa pada Anwar.

Sebab itu setelah Mahathir hilang sokongan dari Umno dan Pas, mereka menyokong Muhyiddin sebagai PM ke 8 sebagai langkah menghalang laluan Anwar.

Hamzah mempunyai kes peribadi dengan Anwar di mahkamah lama dahulu. Kes tersebut telah pun diselesaikan diluar mahkamah.

Azmin pula tidak perlu dicerita lagi. Dia merupakan bekas orang kanan Anwar semasa era reformasi. Dan antara pengasas parti Keadilan.

Namun kini Hamzah dan Azmin merupakan tulang belakang PM ke 8.

Politik terus bergerak dan akan berubah setiap saat dan minit. Hari, minggu, bulan ia terus aktif.

Tiada siapa dapat menjangka perubahan dan apa perkembangan pada masa hadapan.

Dalam politik tiada musuh yang kekal dan sahabat yang abadi...






Tiada ulasan:

Catat Ulasan