Sabtu, 31 Ogos 2019

Mahathir Atau Anwar Bercakap Bohong?

Para petugas media online dan media cetak telah berpuluh kali malah beratus kali menyoal Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, apakah dia akan menyerahkan jawatannya pada Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Maka Tun juga telah menjawab berpuluh kali benda yang sama pada soalan yang hampir sama berulang-ulang.

Jawabannya tetap sama iaitu dia tidak akan mungkir janji dan akan serahkan jawatan PM pada Anwar pada masa yang belum dimuktamadkan lagi.

Saya ingin bertanya pada semua wakil media dan wartawan, kenapa mereka bertanya soalan yang sama dan menerima jawaban yang sama berkali-kali. Mereka masih lagi-lagi menyoal perkara yang sama juga?

Kenapa mereka tidak menyoal  Tun Mahathir soalan yang lebih penting dan relevan dalam konteks masa depan kepimpinan negara.

Misalnya, apakah Tun masih berpegang pada kenyataannya dahulu bahawa seorang peliwat tidak layak menjadi PM?

Sekiranya Anwar bukan peliwat dan dia difitnah, apakah Tun tidak akan memohon maaf di atas kenyataan Tun itu?

Dan jika Anwar benar difitnah, apakah selama ini Tun turut terlibat dalam kerja memfitnah itu??

Lebih penting lagi sekiranya Tun tetap berpegang pada kenyataannya itu, kenapa dia sanggup menyerahkan jawatan pada orang yang pernah dituduhnya?

Siapa sebenarnya yang berbohong?

Apakah Tun berbohong bila menuduh Anwar sebagai seorang peliwat?

Atau Anwar sendiri berbohong??

Tidak mungkin keduanya betul. Salah seorang tentu bercakap bohong.


Pada para wartawan, lain kali ada sidang media tanyalah soalan-soalan ini pada kedua tokoh tersebut.

Tidak perlulah terus berulang bertanya bila Tun hendak serahkan jawatan pada Anwar?  Buang masa sahaja dan ia tidak relevan.

Sama ada Tun atau Anwar yang bercakap benar. Itu yang penting kerana kedua tokoh ini banyak menyumbang dan mempengaruhi perpecahan bangsa melayu kira-kira lebih 20 tahun dahulu. 

Jumaat, 30 Ogos 2019

62 Tahun Satu Bangsa Satu Negara

Negara akan menyambut hari merdeka ke 62 tahun. Usia 62 adalah usia matang dan hampir pencen.

Memang benar dalam tempoh tersebut negara telah mencapai berbagai kejayaan dan perubahan. Perjalanan masih panjang dan berterusan untuk membangun sebagai satu bangsa dan satu negara.

Racun paling berbisa dalam konteks negara kita adalah isu kaum.

Itu kaum. Ini kaum. Ini melayu. Itu Cina dan India. Ini Kadazan, Sikh dan lain-lain lagi. Semuanya berasaskan kaum bila masing-masing kaum mempertahan dan memperjuang kepentingan kaum yang mereka wakili.

Kita kehilangan identiti sebagai satu bangsa. Kita jauh ketinggalan sekiranya dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

Seringkali bila timbul masalah kaum yang menjadi mangsa dan dipersalahkan adalah rakyat biasa. Rakyat bawahan yang menjadi punca dan dijadikan kambing hitam.

Namun yang sebenarnya yang menjadi barah dan perciknya api perkauman datangnya daripada orang-orang politik yang tidak bertanggungjawab yang mahu menangguk di air yang keruh semata demi kepentingan politik parti.

Merekalah syaitan berupa manusia.


Golongan ahli politik ini adalah dari yang paling bawah yang kerjanya hanya sembang di media sosial hinggalah politikus peringkat tinggi yang menerima gaji berpuluh ribu sebulan.

Mereka tidak ada kerja melainkan mengapi-apikan sekecil-kecil isu kerana hanya mahu mengaut laba demi kepentingan parti dan kedudukan.

Rakyat biasa di bawah sana tanpa mengira kaum baik-baik sahaja. Tidak ada konflik besar. Sekiranya ada ia tidaklah parah seperti yang cuba digambarkan oleh orang politik.

Jadi orang politik kenalah tunjuk teladan yang baik. Tak usahlah bermain dan memanipulasi isu kaum demi kepentingan parti dan kelompok.

Sudah 62 tahun kita masih lagi meracau isu bangsa. Cukuplah. Marilah kita berdiri dan bersuara sebagai satu bangsa dan satu negara.