Jumaat, 30 Ogos 2019

62 Tahun Satu Bangsa Satu Negara

Negara akan menyambut hari merdeka ke 62 tahun. Usia 62 adalah usia matang dan hampir pencen.

Memang benar dalam tempoh tersebut negara telah mencapai berbagai kejayaan dan perubahan. Perjalanan masih panjang dan berterusan untuk membangun sebagai satu bangsa dan satu negara.

Racun paling berbisa dalam konteks negara kita adalah isu kaum.

Itu kaum. Ini kaum. Ini melayu. Itu Cina dan India. Ini Kadazan, Sikh dan lain-lain lagi. Semuanya berasaskan kaum bila masing-masing kaum mempertahan dan memperjuang kepentingan kaum yang mereka wakili.

Kita kehilangan identiti sebagai satu bangsa. Kita jauh ketinggalan sekiranya dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

Seringkali bila timbul masalah kaum yang menjadi mangsa dan dipersalahkan adalah rakyat biasa. Rakyat bawahan yang menjadi punca dan dijadikan kambing hitam.

Namun yang sebenarnya yang menjadi barah dan perciknya api perkauman datangnya daripada orang-orang politik yang tidak bertanggungjawab yang mahu menangguk di air yang keruh semata demi kepentingan politik parti.

Merekalah syaitan berupa manusia.


Golongan ahli politik ini adalah dari yang paling bawah yang kerjanya hanya sembang di media sosial hinggalah politikus peringkat tinggi yang menerima gaji berpuluh ribu sebulan.

Mereka tidak ada kerja melainkan mengapi-apikan sekecil-kecil isu kerana hanya mahu mengaut laba demi kepentingan parti dan kedudukan.

Rakyat biasa di bawah sana tanpa mengira kaum baik-baik sahaja. Tidak ada konflik besar. Sekiranya ada ia tidaklah parah seperti yang cuba digambarkan oleh orang politik.

Jadi orang politik kenalah tunjuk teladan yang baik. Tak usahlah bermain dan memanipulasi isu kaum demi kepentingan parti dan kelompok.

Sudah 62 tahun kita masih lagi meracau isu bangsa. Cukuplah. Marilah kita berdiri dan bersuara sebagai satu bangsa dan satu negara.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan