Rabu, 10 Jun 2015

PM Najib Razak tidak akan pecat Muhyiddin

BERITA spekulasi tentang kemungkinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan disingkirkan dari kabinet pasti tidak akan berlaku. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mengambil langkah begitu mudah. Banyak risiko yang akan dihadapinya sekiranya itu berlaku.

Lagi pun apa justifikasi tindakannya untuk memecat Muhyiddin sebagai TPM dan anggota kabinet ? Muhyiddin setakat ini belum lagi membakar jambatan dengan mengisytiharkan sokongan secara terbuka menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menyerang pimpinan Najib.


Kalau setakat Muhyiddin memberi pandangannya secara terbuka tentang isu 1MDB yang tidak selari dengan Najib itu belum cukup bagi Najib mengambil tindakan terhadapnya. Nanti orang akan melihat Najib tidak boleh menerima pandangan kedua dan teguran daripada Timbalannya.

Setakat ini Muhyiddin belum berada satu pentas bersama Dr Mahathir dalam majlis atau program mengkritik cara Najib menguruskan skandal 1MDB itu.

Tetapi lainlah jika Muhyiddin mengambil langkah terlebih dahulu dengan bergerak secara terbuka untuk menjatuhkan kedudukan Najib. Bagi pihak Dr Mahathir dan para pengkritik Najib sendiri sehingga kini masih menunggu langkah Muhyiddin dalam usaha memberi tekanan pada Najib agar meletakkan jawatan.

Mereka seolah tidak sabar menunggu langkah Muhyiddin yang seterusnya. Muhyiddin pula kelihatan lebih berhati-hati dalam mengatur langkah. Nampak seperti beliau belum bersedia dan sanggup berkonfrontasi secara terbuka dengan Najib.

Namun Najib sebenarnya menunggu Muhyiddin menunjukkan belangnya yang sebenar bagi memudahkannya mengambil tindakan. Kerana Najib tidak mahu ahli-ahli parti menuduhnya sebagai bertindak tidak adil terhadap Timbalannya.

Apa yang perlu dihitungkan ialah Muhyiddin adalah Timbalan Presiden Umno yang dipilih para perwakilan parti dalam Perhimpunan Umno. Sedangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah hak kuasa Perdana Menteri melantiknya.

Sekiranya Najib mahu singkirkan Muhyiddin, dia memerlukan alasan dan justifikasi yang kukuh. Jika tidak tindakannya itu boleh memakan dirinya sendiri.

Muhyiddin sudah pasti tidak akan melepaskan jawatan Timbalan Presiden parti dengan mudah. Sekiranya dia dipecat dari jawatan TPM ini tentunya akan meningkatkan lagi momentum penentangan terhadap Najib yang dikepalai Dr Mahathir.

Dan ini juga membuka ruang pada Muhyiddin menentang Najib dalam jawatan Presiden Umno dalam perhimpunan parti akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan