Rabu, 22 April 2015

Tun Musa Hitam tidak pertahankan Najib ?

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang diketahui umum tidak pernah ngam dengan bekas bosnya, Tun Dr Mahathir sehingga sekarang belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu kritikan terhadap kepimpinan Najib Razak.

Tidak berapa lama dahulu Tun Musa ada membuat kenyataan menyindir Dr Mahathir dengan berkata hanya klon Dr Mahathir sahaja dapat menyelesaikan ketidakpuasan hatinya terhadap pimpinan Najib.

Kenyataan Musa itu dibuat setelah Dr M menarik balik secara terbuka sokongan pada Najib.
Tun Musa Hitam

Itu telah berlalu beberapa bulan dahulu. Dan kini serangan Dr M terhadap Najib semakin meningkat dan lebih terbuka. Setakat perkembangan terbaru kini, Tun Musa belum memberikan sebarang kenyataan sama ada dia mempertahankan Najib atau bersama dengan Dr M.

Sekiranya tidak tersilap ingatan saya baru-baru ini, Tun Musa ada membuat kenyataan media berhubung kes hukum hudud yang mendapat sokongan dari wakil-wakil Umno dalam DUN Kelantan. Tun Musa menggesa Najib sebagai Presiden parti menyatakan sikap dan pendirian secara jelas tentang hudud. Sehingga kini Najib belum memberikan sebarang respons. Dia terus berdiam diri.

Ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa secara tidak rasmi menjadi antara penasihat Pak Lah di Putrajaya. Dan Tun Musa adalah antara pemimpin yang mempertahankan Pak Lah bila dia diserang hebat oleh Dr M.

Dalam kes Najib - Dr M, sikap Tun Musa tidak begitu jelas. Pada umumnya Pak Lah dan Najib boleh dianggap sebagai "orang Musa" berbanding "orang Mahathir". Semasa Tun Musa berada dalam kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri, Pak Lah dan Najib merupakan penyokong kuatnya.

Di sudut persepsi politik kini, Tun Musa tidak mungkin boleh bersama Dr M dalam usaha menjatuhkan Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Namun setakat ini Tun Musa tidak mempertahankan Najib atau bersetuju dengan segala kritikan Dr M terhadap Najib itu.

Apakah Tun Musa sendiri bersetuju dengan segala senarai yang diberikan Dr M tentang kelemahan Najib tetapi dia mengambil sikap berdiam diri ? Atau pun mungkin ada antara yang dia tidak bersetuju dan bersetuju tentang kelemahan-kelemahan Najib itu ?

Tun Musa adalah seorang yang cerdik. Barangkali dia tidak nampak dan yakin kedudukan Najib boleh dipertahankan.

Isnin, 20 April 2015

Selamat panjang umur Dr Mahathir

SAYA angkat tabik pada negarawan ulung Tun Dr Mahathir Mohamad di atas sikap dan pendiriannya yang berani dan cekal dalam menyatakan pandangannya berkait isu-isu kepentingan bangsa dan negara.

Dalam usia 90 tahun beliau masih mampu berfikir dan bertindak seolah beliau masih dalam lingkungan 50 dan 60an. Orang lain seusia dengannya lazimnya hanya duduk di rumah atau berkerusi roda.
Tun Dr Mahathir Mohamad

Tetapi tidak bagi orang seperti Dr Mahathir, terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan dan beliau senantiasa mengejar masa. Bukan sesetengah pemimpin yang banyak tidur dan lembab dalam tindakan dan membuat keputusan.

Inilah kualiti yang ada pada negarawan ulung ini tidak dimiliki oleh kebanyakan pemimpin dan ahli politik di negara ini.

Dalam beliau mengkritik hebat cara pimpinan Datuk Seri Najib Razak, beliau secara tegas menolak sebarang kerjasama dengan pihak pembangkang. Itulah hakikat yang sebenarnya, Dr Mahathir tidak perlu sebarang bantuan dari sesiapa terutamanya dari pihak parti pembangkang.

Beliau mampu bergerak sendirian dan membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Dalam pada itu sudah pastilah sokongan rakyat dan ahli-ahli Umno amat penting dalam matlamatnya agar Najib berundur dan digantikan dengan pemimpin Umno lain bagi meneruskan penguasaan BN pada PRU 14.

Kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim yang kini berehat di Sungai Buloh dan Lim Kit Siang, sori lah Dr Mahathir bukanlah tokoh yang sebaris dengan kamu ! Sekiranya, Dr Mahathir menerima cadangan atau pelawaan untuk bekerjasama dengan mereka dalam agenda menjatuhkan Najib bererti ia akan menjatuhkan maruah beliau sebagai seorang negarawan ulung.

Kepada pembangkang sori lah, lain kali lah !

Dari Pak Lah hingga Najib serta Anwar dan Lim Kit Siang tidak akan terlepas dari kritikan Dr Mahathir. Sekiranya ditakdirkan bekas Mursyidul Am PAS masih hidup dia juga tidak akan terlepas dari kritikan Dr Mahathir jika ia merasakan ada benda yang tidak betul.

Inilah kelebihan negarawan ini yang akan bercakap terus terang dan membetulkan kesilapan dalam apa sahaja isu tanpa memilih kawan dan lawan.

Kepada Dr Mahathir, selamat panjang umur dan diberkati dengan kesihatan yang baik.



Selasa, 14 April 2015

Ustaz Ahmad Awang paling layak lawan Hadi

TOKOH ulama Ustaz Hj. Ahmad Awang dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa  adalah dua calon yang jelas setakat ini sebagai calon pilihan bertanding jawatan Presiden parti menentang penyandang jawatan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar Jun ini.

Husam telah menyatakan dia berada dalam dilema antara kehendak ahli dan kedudukannya yang mungkin bertanding melawan Hadi. Manakala Ustaz Ahmad, bekas Naib Presiden parti semakin lantang dan secara terbuka mengkritik stail pimpinan Hadi.
Ustaz Hj Ahmad Awang

Secara jujur dan hakikatnya antara Ustaz Ahmad dan Husam, orang yang paling layak menentang Hadi tidak lain hanya Ustaz Ahmad. Husam sebagai pemimpin masih muda perlu menumpu hanya jawatan Naib Presiden yang disandangnya sekarang.

Tambahan dari segi imej, ilmu dan perwatakan, Ustaz Ahmad lebih seimbang jika dibandingkan dengan imej yang ada pada Hadi.

Lagi pula Ustaz Ahmad kelihatan lantang dan lebih berani secara terbuka mengkritik Hadi. Husam pula lebih pada berkiasan dan berdiplomasi dalam menzahirkan apa yang berlaku dalam parti.

Justeru langkah sepatutnya yang perlu diambil Husam demi kebaikan parti dan para ahli agar tidak konpius ialah dengan menyatakan pendiriannya tidak akan bertanding jawatan Presiden. Ini lebih baik bagi memudahkan jentera Ustaz Ahmad bergerak dan menumpukan pertandingan pada Jun ini.

Ustaz Ahmad pula jangan hanya lantang bersuara tetapi bila sampai masa menarik diri enggan bertanding dengan memberi berbagai alasan. Yang jelas dia telah pun mengkritik secara terbuka terhadap Presiden dan Mursyidul Am, Datuk Haron Din.

Peluang Ustaz Ahmad untuk menang mengatasi calon-calon lain bagi jawatan Presiden. Begitu pun ini tidak bermakna dia boleh menang dengan mudah. Kedudukan Hadi dikatakan masih kukuh diperingkat akar umbi.

Walau apa pun keadaan, Ahmad Awang tidak mempunyai banyak pilihan dalam membuat keputusan sebelum Jun ini. Dia tidak boleh hanya bersuara lantang tetapi tidak sanggup berdepan demi kebaikan masa depan parti seperti mana yang disuarakannya dalam tulisan dan ucapannya sebelum ini.

Kepada Husam pula tidak perlulah berada dalam dilema. Dia hanya perlu buat keputusan sama ada isytihar secara terbuka menyokong Hadi atau Ahmad Awang. Itu sahaja. Dan satu lagi buat pendirian nak bertanding jawatan Naib Presiden atau tidak ? Tak payah bermimpi nak bertanding Presiden.

Ahad, 12 April 2015

Kritikan Dr M tidak gugat Najib

NEGARAWAN TUN DR MAHATHIR MOHAMAD kini menjadi pengkritik nombor wahid Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri merangkap Presiden Umno. Serangan Dr M tidak kendur malah semakin bertali arus. Secara berterus terang beliau mahu Najib berundur sekiranya mahu melihat Umno dan BN terus berkuasa di Putrajaya selepas PRU 14.

Dr M telah menyentuh hampir semua isu utama yang menjadi persoalan dan perhatian semua pihak dan lapisan masyarakat. Isu-isu tersebut;

 
Dr Mahathir
                                   a- 1MDB
                                   b- Kes Altantuya
                                   c- GST
                                   d- Hudud
                                   e- isu-isu lain berkaitan dengan kepimpinan
                                       Najib sebagai PM
Bagi Dr M, semua isu-isu tersebut tidak diberi jawaban dan penjelasan yang boleh memuaskan semua pihak terutama rakyat bawahan. Dalam keadaan tertentu ia kelihatan tidak ada jawaban langsung terhadap semua persoalan yang ditimbulkan.

Pun begitu kedudukan Najib sebagai PM dan Presiden Umno tidak tergugat malah terus dipertahankan sebahagian besar para pemimpin dan ahli parti.

Semua isu-isu yang dibangkitkan kelihatan belum cukup kuat bagi mendorong dan menekan agar Najib segera berundur dari tampuk kekuasaan. Kerana isu-isu tersebut boleh dianggap masih dalam "kawalan" Umno dan kerajaan.

Tetapi bagaimana sekiranya andaian Dr M melepaskan bom atom mengatakan bahawa kes liwat Anwar Ibrahim adalah satu konspirasi politik ??

Semua maklum sehingga kini Dr M tetap konsisten dan tidak berganjak dengan keyakinannya bahawa Anwar tetap bersalah.

Namun apa kata andainya Dr M melepaskan ibu segala peluru yang mampu menggugat kedudukan Najib ? Ini hanya andaian kerana Dr M telah menegaskan beliau tidak bermusuh dengan Umno tetapi hanya mengkritik pimpinannya sahaja.

Isu-isu seperti 1MDB, Altantuya dsbnya kelihatan belum ampuh dan berkesan buat Najib berundur. Kenapa Dr M tidak timbulkan kes Anwar sebagaimana beliau timbulkan kes Sirul yang kononnya teraniaya ?

Dr M adalah seorang yang berterus terang tanpa selindung dan bersikap "direct to the point" dalam isu apa sahaja. Beliau tidak gemar bersembunyi di sebalik belukar.

Kenapa beliau tidak kaitkan sama kes Anwar ??

Kes liwat I adalah semasa pemerintahannya. Kes liwat II adalah masa Najib !