Rabu, 16 April 2014

Kerusi Timbalan Presiden PKR : Parti akan berpecah

PERTANDINGAN jawatan dalam parti PKR yang dijangka bermula akhir bulan ini sehinga Mei depan boleh dianggap seperti pertunjukkan sarkis ! Apa tidaknya jawatan Presiden parti akan ditandingi oleh dua calon suami isteri yang telah sanggup sehidup semati.

Tetapi tentu ada kejutannya nanti disaat akhir kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mencongak akan menarik diri dan memberi laluan kepada isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Itu bagi jawatan Presiden. Untuk jawatan Timbalan Presiden, nampaknya lebih sengit dan mencabar kerana ia sekarang sudah wujud kem atau blok. Setakat ini empat calon bertanding. Mereka penyandang Timbalan Presiden, Azmin Ali, Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution, MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan calon tidak terkenal Datuk K. Ramachandran.

Namun perebutan kerusi Timbalan Presiden lebih tertumpu pada Azmin, Saifuddin dan Khalid yang mengekori dari belakang. Ramachandran boleh dikira tidak akan memberi saingan serius. Barangkali, calon keturunan India ini mengharapkan undi dari kaumnya yang kedua besar jumlah ahlinya selepas Melayu dalam parti itu.

Apa pun fokus hanyalah tertumpu pada Azmin dan Saifuddin kerana hingga kini keduanya telah mempunyai kem mereka sendiri. Yang menarik perhatian adalah kem Saifuddin yang terdiri dari calon-calon heavyweight. Mereka ialah Pengarah Strategi, Rafizi Ramli, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Speaker DUN Selangor yang juga calon Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dan ini ditambahkan lagi dengan Naib Presiden, Tian Chua yang menarik diri dari bertanding Timbalan Presiden yang telah secara terbuka berada di kem Saifuddin. Tokoh pemuda tahan lasak, Cikgu Bad juga menyokong Saifuddin.

Dari senarai tersebut kem Saifuddin terdiri dari mereka yang hebat dalam parti. Dan ini sebagai mesej dan signal mereka tidak mengikhtiraf Azmin sebagai orang nombor dua parti dan kepimpinannya. Kem Azmin pula tidak kelihatan gahnya hanya Ketua Wanita dan beberapa orang sahaja. Tan Sri Khalid langsung tidak ada kem dan dia bersendirian dengan mengharap para ahli memilihnya sebagai alternatif.

Sebagai orang yang bukan ahli PKR ini adalah satu perkembangan yang cukup bagus. Bagus kerana melihat pada saingan sengit ditambah lagi dengan wujudnya blok dan kem calon yang bertanding ia akan memberi kesan besar pada parti selepas pemilihan selesai nanti.

Kita kena ingat mereka semua adalah ex-Umno. Cara berpolitik, bergaya dan sebagainya adalah dari acuan Umno. Selepas pemilihan nanti yang menang ambil semua dan yang kalah akan hilang semua. Apa kita fikir orang seperti Azmin atau Saifuddin boleh menerima kekalahan dengan semangat kepartian dan hati terbuka ?

Calon yang kalah pasti tidak berpuas hati dan menjadi musuh dalam selimut dan duri dalam daging. Mereka mungkin bertindak keluar parti atau bergerak parti dalam parti. Bukti pada pemilihan dahulu calon yang kalah Datuk Zaid Ibrahim yang tewas pada Azmin dalam jawatan Timbalan Presiden telah bertindak keluar parti kerana membantah berlakunya penipuan dalam kiraan undi.

Tidak mengira siapa yang akan menang, PKR selepas pemilihan ini akan menjadi sebuah parti yang lemah dan berpecah dalam menghadapi PRU 14 yang dijangka tidak lewat 2018.

Azmin sudah terkenal dengan sikap ambisiusnya dalam kerjaya politik. Saifuddin pula bukan calang-calang sebagai seorang politikus dan pejuang. Dan Tan Sri Khalid yang tidak ada kem pun bukan mudah mahu meninggalkan kerusi empuknya sebagai MB negeri Selangor yang mempunyai aset ber billion-billion !

Selamat bersidang PKR dan selamatlah satu pertunjukkan politik sarkis !







Tiada ulasan:

Catat Ulasan