Rabu, 16 November 2011

Tengku Razaleigh calon Perdana Menteri ?



TIMBUL cerita bahawa Tengku Razaleigh Hamzah akan menjadi
calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat dapat memenangi
pilihanraya umum ke 13 ini dan menawan Putra Jaya.

Cadangan ini agak pelik juga kerana ianya datang dari parti pembangkang
sedangkan Tengku Razaleigh atau Ku Li adalah ahli UMNO.

Ku Li baru-baru ini menegaskan bahawa dia tetap bersama UMNO
dan tidak akan keluar parti.

Mungkin bagi Pakatan Rakyat, Ku Li masih bersama UMNO tetapi
tidak bersama Najib Razak. Dan kedudukan Ku Li dalam parti UMNO
seolah dipinggirkan.

Banyak isu menjadi perbezaan pendapat antara Ku Li dan pucuk pimpinan
UMNO sekarang. Seperti kes royalti minyak Kelantan, di mana pendirian
Ku Li adalah sama dengan pendirian parti PAS. PAS menuntut agar hak
royalti minyak dikembalikan pada rakyat Kelantan.

Ku Li mengambil pendirian yang sama dan bertentangan dengan sikap
pucuk pimpinan UMNO.

Apakah Pakatan Rakyat memilih Ku Li sebagai calon Perdana Menteri
kerana kemampuannya atau sekadar menjadi alat ?

Umum bersetuju seorang calon Perdana Menteri seharusnya mempunyai
ciri-ciri kepimpinan yang kuat dan berwibawa. Dan beliau semestinya
bukan seorang yang lemah.

Kalau seorang Perdana Menteri itu tidak mempunyai kualiti pimpinan
yang kuat, maka tunggulah pelbagai masalah akan timbul yang sukar
dikawal.

Negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah satu contoh mempunyai
kepimpinan yang kuat dan berwibawa. Manakala semasa era Tun Abdullah
Ahmad Badawi memperlihatkan kelemahan dan ketidakupayaannya
mengawal suasana.

Begitu juga di negara jiran, Indonesia melalui pengalaman yang sama.
Bekas Presiden Abdurrahman Wahid dan Megawati Sukarno Puteri
adalah contoh kepimpinan yang lemah dan telah merugikan Indonesia
sebagai sebuah negara besar.

Tetapi kini Susilo Bambang Yudoyono tampil gagah dan berwibawa
menaikkan kembali reputasi republik itu di persada dunia.

Pemimpin dan kepimpinan perlu kuat dan berwibawa. Jauh sekali
mempunyai sifat lemah dan tidak mempunyai ketegasan.

Apakah Ku Li memiliki ciri-ciri kepimpinan ini ?

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan