Sabtu, 22 Julai 2017

Dr Mahathir Lawan Najib Di Pekan?

TEMPOH PRU14 semakin hampir. Masa semakin suntuk dan mandat kerajaan di Parlimen akan tamat pada Jun 2018. Dengan ini memberi laluan pilihan raya umum bagi membentuk kerajaan baru.

Apakah kerajaan BN pimpinan Najib Razak akan terus mengekalkan kuasa atau akan tertubuhnya kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan?

Najib sendiri tidak banyak pilihan sama ada mengadakan Pru14 tahun ini juga atau menunggu sehingga tamatnya tempoh mandat kerajaan ini sehingga Jun 2018.

Dr Mahathir

Pada PRU13 Najib membubarkan parlimen disaat akhir iaitu satu atau dua bulan sebelum tamat tempoh kerajaan yang dikuasainya.

Jangkamasa setahun dari sekarang bukanlah satu masa yang lama.  Sekiranya masih ada masalah bocor sana sini, butang skru yang longgar dan mana-mana lubang yang masih perlu dikambus diperingkat bawah maka ia boleh timbul suasana panik dan menekan lampu merah.

Namun apa pun dalam PRU14 ini Najib tidak boleh kalah.  Dia mesti pastikan kerajaan Umno -BN terus kekal berkuasa. Sekiranya dia kalah, dia tahu apa akan berlaku terhadap dirinya.

Skandal 1MDB, isu Scorpene dan lain-lain akan menghantuinya.  Sekiranya benar dia ada melakukan kesalahan sudah pasti mahkamah akan memutuskannya.

Ada ramalan mengatakan kemungkinan Teori RAHMAN akan menjadi kenyataan iaitu Najib akan menjadi Presiden Umno terakhir menjadi Perdana Menteri.

Tetapi sekiranya Najib terus berkuasa yang pastinya ia adalah satu kemenangan dengan majoriti kecil.  Soal kemenangan majoriti dua pertiga adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

PM Najib Razak

Jumlah kerusi parlimen adalah 222 kerusi.  Adakah keputusannya 122 lawan 100 kerusi dengan kelebihan hanya 22 kerusi sahaja sama ada dipihak BN atau Pakatan Harapan?

Atau adakah Najib kekal berkuasa namun beberapa buah negeri selain Pulau Pinang dan Selangor jatuh ke tangan Pakatan Harapan?

Inilah suasana yang tidak mustahil akan berlaku. Dan PRU14 kali ini boleh dikira sebagai ibu segala PRU.

Yang paling menariknya Najib bakal berdepan dengan tokoh pemimpin Pakatan Harapan yang berpengalaman selama 22 tahun dan berjaya memimpin parti memenangi pilihan raya umum sebanyak lima kali dengan majoriti dua pertiga secara konsisten sejak 1981.

Dan pengalaman ini amatlah bernilai buat Pakatan Harapan. Dalam pilihan raya selain strategi sudut serangan psikologi juga memainkan peranan.

Ini terbukti bila Dr Mahathir telah mula melepaskan pelurunya yang pertama bila menyatakan kemungkinan dia akan bertanding melawan Najib di Pekan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan