Rabu, 3 Oktober 2012

Selepas PRU 13.....

CALON Perdana Menteri Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bayangkan bahawa beliau akan bersara dan kembali mengajar sekiranya pembangkang gagal menawan Putrajaya dalam PRU 13 ini.

Anwar adalah seorang guru sebelum dia aktif dalam politik di Yayasan Anda - sekolah swasta yang diasaskannya bersama rakan-rakannya.

Walaupun kini tersebar luas berita kononnya PKR sudah pun menyenaraikan kabinet bayangannya, Anwar telah pun merancang sekiranya dia gagal menjadi Perdana Menteri. Dia mungkin menjadi guru atau pensyarah sahaja. Kabinet bayangan akan tinggal bayang sahaja.

Dia cukup mengerti sekiranya pakatan pembangkang gagal dalam PRU 13 ini dunia politik dan cita-citanya akan berakhir dan sukar untuk bangkit kembali. Justeru itu PRU kali ini adalah medan hidup atau mati.

Manakala Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga telah pun ada rancangannya sendiri - beliau mahu kembali menjadi nelayan ke laut - suatu riadah yang diminatinya sejak kecil. Dan sesuatu yang beliau tidak dapat lakukan sekarang kerana sibuk dengan dunia politik.

Nampaknya, Anwar dan Ustaz Hadi telah pun berkira-kira kemungkinan yang akan terjadi. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Tetapi kita tidak pula mendengar apa-apa dari Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya mereka gagal mempertahankan Putrajaya. Tidak ada bayangan yang mereka akan rilek dan santai sesudah tidak lagi berkuasa. Bayangan mereka hanyalah terus bekerja dan berjuang untuk parti dan negara.

Semoga mereka akan terus bekerja. Seperti negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah pun hampir sembilan tahun bersara namun terus aktif memberi berbagai sumbangan pada bangsa dan negara. Beliau terus aktif bergerak dan tidak duduk diam. Dalam usia 87 tahun, Tun kelihatan seperti orang muda meneruskan tugas-tugasnya seperti biasa.

Sikap Dr. Mahathir dalam usianya begitu tentunya mencabar Anwar dan Ustaz Hadi yang jauh lebih muda darinya. Apa pun semoga hajat Anwar mahu kembali mengajar dan Ustaz Hadi teringin ke laut akan termakbul selepas PRU 13 nanti. Insya Allah.













Tiada ulasan:

Catat Ulasan