Tidak akan bertanding pilihanraya
TAN SRI RAFIDAH AZIZ menyatakan beliau tidak akan menjadi calon dalam PRU 13 ini. Sebaliknya beliau ingin memberi peluang kepada calon yang lebih muda.
Sebagai bekas Ketua Wanita UMNO dan bekas Menteri Perdagangan dan Industri, beliau akan terus membantu dan memberi sumbangan pada negara menerusi peranan yang diberikan diluar kerajaan.
Ketokohan dan kepetahannya berhujah di forum-forum antarabangsa memang cukup dikenali negara serantau dan dunia. Beliau pernah digelar sebagai "wanita besi" dari pengamal media antarabangsa.
Semasa menjadi anggota kabinet Dr.Mahathir Mohamad, Rafidah pernah bertikam lidah dengan bekas Setiausaha Negara Amerika, Madeleine Albright dalam satu forum antarabangsa di Kuala Lumpur. Hujah dan pidatonya sering mendapat perhatian lebih-lebih lagi caranya yang spontan dan tajam.
Tan Sri Rafidah boleh dianggap sebagai pemimpin wanita melayu pertama yang lebih menonjol karismatiknya berbanding pemimpin wanita sebelum dan selepasnya. Malah dalam bidang ekonomi, dalam keadaan tertentu beliau kelihatan lebih luas pengetahuannya berbanding menteri-menteri lelaki lain.
Dalam sejarah negara hanya beliau Ketua Wanita yang diberi tugas sebagai Menteri Perdagangan dan Industri - satu portfolio yang dianggap penting dan kanan dalam kabinet. Lain-lain pemimpin wanita sebelum dan selepasnya diberi peranan menjaga hal ehwal wanita dan kebajikan sahaja.
Sebagai bekas pensyarah ekonomi di Universiti Malaya - sebelum menceburi politik - pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah salah seorang pelajar yang mengikuti kuliahnya.
Bekas-bekas Ketua Wanita UMNO dari Tan Sri Fatimah, Tan Sri Aishah Ghani, Dr. Siti Zaharah Sulaiman, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; kesemuanya mempunyai sejarah dan sumbangannya yang tersendiri. Rafidah lebih menonjol.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan