Najib sudah bersedia
PRU 13 semakin hampir dan jaraknya mungkin hanya beberapa rantai sahaja lagi.
Apakah BN mampu mendapatkan semula majoriti dua pertiga yang hilang pada 2008 ?
Sehingga kini banyak pemerhati dan peramal politik tidak dapat menjangka keputusannya sama ada berpihak pada BN atau Pakatan Rakyat.
Apa sahaja boleh berlaku sementelahan sebahagian besar rakyat kini bermaklumat dan bijak membuat perhitungan.
Bagi BN kali ini dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak kelihatan lebih bersedia jika dibandingkan semasa PRU 12 pada 2008. Ketika itu dibawah pimpinan Pak Lah Badawi, BN telah banyak melakukan kesilapan dan kelemahan. Ini termasuk Pak Lah sendiri yang menjangka beliau masih popular dengan mengadakan pilihanraya lebih awal.
Dengan saiz kabinet yang lebih besar dalam sejarah, ditambah dengan kelemahan Pak Lah sebagai pemimpin utama yang gagal sama sekali mengemudi dengan efisien; telah menjejaskan imej kerajaan dengan teruk. Suasana bertambah remuk dengan tindak tanduk menteri yang dipilihnya, Zaid Ibrahim yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah membuatkan UMNO tidak begitu popular.
Sepanjang Najib mengambilalih dari Pak Lah, beliau telah banyak melakukan perubahan dan pemulihan imej UMNO dan BN yang terjejas teruk dengan tsunami 2008. Setakat ini usaha itu berjaya dan mendapat respon baik di kalangan rakyat.
Seperti kata politikus veteran dan kolumnis Tan Sri Abdullah Ahmad dalam beberapa tulisannya, menjangkakan Najib mampu memperolehi majoriti dua pertiga dalam pilihanraya ini. Hujahnya ialah betapa semasa Pak Lah yang berdepan berbagai masalah dan kelemahan masih mampu mendirikan kerajaan dengan hanya kekurangan lapan kerusi untuk mendapatkan dua pertiga.
Inikan pula Najib dengan berbagai usaha transformasinya yang telah mendapat sambutan hangat dari rakyat. Justeru menurutnya, Najib boleh melakukan lebih baik dari apa yang dicapai Pak Lah pada 2008. Dan tambahnya lagi, PAS masih belum mampu mengambilalih peranan UMNO; setidak-tidaknya hingga PRU 13, 14 dan 15 mendatang !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan