Sarjan Robert Bales diterbangkan ke AS
ASKAR Amerika yang terlibat dalam pembunuhan 16 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak di Kandahar, Afghanistan baru-baru telah diterbangkan secara sulit ke negaranya.
Sarjan Robert Bales akan dihadapkan di mahkamah tentera di atas tindakannya. Banyak pihak di Kabul menuntutnya dibicarakan di Afghanistan. Sekiranya ia dibicarakan di situ Bales bakal dihukum mati jika disabit bersalah.
Insiden pembunuhan orang awam ini telah menjejaskan hubungan tentera Amerika dan kerajaan Kabul. Rakyat Afghan pula mula mempersoalkan peranan dan kehadiran tentera Amerika di negara mereka.
Menurut sumber tentera AS, tindakan askar itu berpunca dari tekanan mental dan persekitaran kerana sebelum ini salah seorang rakan dalam pasukannya telah terkorban. Bales juga tertekan kerana sebelum ke Afghanistan beliau pernah berkhidmat di Iraq dan mengalami kecederaan.
Tindakan pihak AS menghantar pulang anggotanya untuk dibicarakan membuktikan pemerintah Afghanistan, terutama Presiden Hamid Karzai tidak mempunyai kuasa membicarakan orang yang telah meragut nyawa rakyat tempatan.
Peristiwa malang sebegini bukanlah pertama kali berlaku dan ia telah membangkitkan kemarahan dan ketidakpuasan hati majoriti rakyat Afghan. Dan ini telah menyukarkan lagi tugas dan peranan tentera AS dalam memerangi kumpulan Taliban.
Nyawa tentera AS juga semakin terdedah pada serangan-serangan balas dari Taliban sebagai tindakan balas ke atas kejadian yang berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan