Selasa, 18 Oktober 2011

Di sebalik pembebasan Gilad Shalit



PROSES pertukaran tahanan Palestin seramai 1027 orang dengan
seorang tentera Israel, Gilad Shalit sedang berjalan.

Di Israel sebahagian rakyatnya yang tidak bersetuju dengan perundingan
pembebasan ini telah membuat petisyen di mahkamah untuk menghalangnya
dari berkuatkuasa. Bagaimanapun, mahkamah Israel telah menolak
permohonan tersebut.

Kebanyakan rakyat Israel menganggap pertukaran ini sebagai tidak
adil. Bagi mereka, adil ialah satu lawan satu dan bukannya seribu.

Tetapi inilah harga yang perlu dibayar oleh rejim Israel bagi
menyelamatkan nyawa seorang tenteranya yang menjadi tawanan
Hamas semenjak 2006.

Rundingan pertukaran antara seorang tentera Israel dengan tahanan
Palestin bukanlah baru. Ia telah berlaku banyak kali sejak tahun 80an.
Kini masih terdapat 11,000 orang warga Palestin yang ditahan di penjara
Israel.

Bagi pejuang Hamas ini adalah satu-satunya cara bagi membebaskan
rakan-rakan mereka yang masih ditahan rejim itu. Rundingan demi
rundingan yang lalu tidak mencapai apa-apa kejayaan. Mereka tidak
menolak akan menggunakan kaedah yang sama iaitu dengan menawan
tentera Zionis itu bagi membebaskan rakyat Palestin pada masa hadapan.

Bagi rakyat Palestin pula yang tinggal di Gaza, wilayah yang dikuasai
Hamas, terpaksa membayar harga yang mahal disebabkan Gilad Shalit.
Kerana Shalit, Gaza telah diserang dan dibom saban waktu, malah dikenakan
berbagai sekatan hingga kehidupan di wilayah itu begitu perit dan sengsara.

Ada rakyat Palestin merintih kehidupan mereka menjadi sengsara semata-mata
kerana Gilad Shalit. Semasa Shalit menjadi tebusan pejuang Hamas, Israel
dipimpin oleh Ehud Olmet - yang telah mengambil tindakan ketenteraan
terhadap Hamas di Gaza.

Ramai yang terkorban dari operasi tentera Yahudi itu bagi menekan Hamas
agar membebaskan Shalit. Namun semuanya gagal sehinggalah Ehud Olmet
meletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Israel.

Kejayaan rundingan Israel-Hamas di mana Mesir menjadi orang tengahnya
bagi melakukan pertukaran antara Shalit dan 1027 tahanan Palestin telah
mengembirakan kedua belah pihak terbabit.

Namun bagi setengah warga Israel yang mana anak dan keluarga mereka
menjadi mangsa serangan pejuang Hamas merasakan terancam dengan
bebasnya tahanan Palestin yang dikira terlibat dalam misi pejuang Hamas.

Begitu juga sebahagian rakyat Palestin di Gaza yang menjadi mangsa
tangkapan dan serangan dari operasi tentera rejim menyebabkan mereka
kehilangan ahli keluarga semata-mata kerana Gilad Shalit.

Apakah di masa hadapan akan ada lagi tentera Israel menjadi
tawanan pejuang Hamas dan seterusnya menjadi barang tawar
menawar bagi pembebasan tahanan Palestin di penjara Israel ?





















Tiada ulasan:

Catat Ulasan