Ahad, 3 Jun 2012

Safee Sali - Norshahrul Idlan

Hilang sengat dan perlu masa
DALAM perlawanan persahabatan Malaysia dan Filipina yang berkesudahan seri tanpa jaringan mendedahkan betapa lemahnya jentera serangan pasukan negara. Banyak peluang untuk menghasilkan jaringan telah dipersiakan begitu sahaja.

Tetapi dalam bolasepak yang penting ialah kita tidak tewas. Datuk K. Rajagopal masih mempunyai tempoh enam bulan dari sekarang bagi memperbaiki segala kelemahan dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF pada November ini.

Malaysia sekali lagi akan turun ke Stadium Jalan Besar pada 8 Jun ini berdepan dengan Singapura dalam satu lagi siri perlawanan persahabatan.

Apa yang jelas bahagian serangan pasukan negara yang dibarisi Safee Sali dan Norshahrul Idlan perlu menajamkan lagi tendangan dan percubaan mereka didepan pintu gol.

Dalam perlawanan dengan Filipina jelas mereka kehilangan sengat dan bisa sebagaimana pernah mereka pamerkan semasa Piala AFF di Jakarta dulu. Persembahan hambar kedua penyerang ini mungkin disebabkan beberapa faktor. Seperti Norshahrul, ia baru sahaja pulih dari kecederaan dan berehat panjang dalam perlawanan Liga Super. Setakat ini beliau belum lagi menemui rentaknya yang sebenar. Manakala Safee Sali pula sejak beraksi di Liga Indonesia masih mencari keserasian dengan rakan-rakan lain dalam pasukan.

Pada pertemuan dengan Singapura minggu ini kedua penyerang ini perlu membuktikan sesuatu. Pertama; mereka perlu menjaringkan gol untuk pasukan negara. Dan kedua mereka mesti buktikan yang mereka masih lagi penyerang kembar yang disegani di rantau ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan