Hadi kata media salah tafsir
SETELAH seminggu membuat kenyataan akhbar tentang kesediaan Pas bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno, Abdul Hadi Awang menjelaskan kenyataannya itu telah disalah tafsir pihak media.
Ya, seminggu. Hari ini beliau berkata maksudnya yang sebenar ialah Pas bersedia bermuzakarah dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) - tidak Umno - bagi menjelaskan kekeliruan tentang dasar-dasar parti itu yang dianggap sudah terpesong.
Suasana menjadi bertambah celaru bila Datuk Nik Aziz Nik Mat meletakkan beberapa syarat yang tidak munasabah. Antaranya, Umno mesti menerima semua anggota Pakatan Rakyat; DAP dan PKR sekali.
Dengan kenyataan bercanggah sesama pemimpin Pas ini, nampaknya Umno sudah tidak berselera melayan kerenah Pas sedangkan parti itu sendiri yang menimbulkannya terlebih dahulu. Namun pihak media telah dipersalahkan kerana salah petik.
Dari kenyataan Nik Aziz dari awal dengan beberapa syarat yang dikenakannya menunjukkan beliau tidak berhasrat mahu muzakarah ini menjadi kenyataan. Meletakkan berbagai syarat sebelum berjumpa ibarat seperti mengacu pistol di kepala.
Umno tidak perlu berdukacita. Biarkan saja Pas bermuzakarah dengan pihak lain yang masih keliru dengan segala dasarnya berkait dengan negara Islam. Dalam konteks ini Karpal Singh dan DAP adalah pihak yang sepatutnya bermuzakarah dengan Pas.
Apatah lagi Karpal sering kali membantah bila saja Pas menimbulkan soal hukum hudud. Jadinya, Pas dan Nik Aziz sepatutnya memberi kefahaman pada sekutunya DAP agar mereka faham dan tidak keliru sebagaimana hasrat dan kenyataan Abdul Hadi tadi.
Nik Aziz tentunya tidak perlu mengenakan apa-apa syarat pada Karpal dan DAP sebagaimana syarat yang dikenakan pada Umno. Dengan DAP semua beres !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan