Rabu, 26 Oktober 2011

Masalah banjir di Thailand



KORBAN banjir di Thailand kini berjumlah 350 orang dan angka
ini dijangka terus meningkat. Belum pernah dalam sejarah negara
Gajah Putih ini masalah banjir menjadi begitu serius dan boleh
melumpuhkan kota Bangkok.

Sehingga kini Sungai Chao Phraya telah pun melimpah dan memasuki
kota Bangkok. Hampir semua kilang dan industri besar dimasuki air
dan hasil pengeluaran terjejas teruk, malah beribu orang hilang pekerjaan.

Perdana Menteri yang baru dilantik, Yingluck Shinawatra, menghadapi
ujian cukup getir dalam menangani krisis banjir ini yang telah pun
memberi kesan besar terhadap ekonomi negaranya.

Ramai pemerhati berpendapat kerajaan baru Yingluck tidak mempunyai
pengalaman dalam mengatasi krisis banjir ini. Musim hujan telah berlaku
di Thailand sejak Julai lalu. Hingga sampai bulan Oktober keadaan menjadi
semakin buruk.

Dalam tempoh tiga bulan itu tidak ada langkah persiapan dan persediaan
dalam menghadapi kemungkinan banjir melanda lebih besar. Keadaan ini
bertambah buruk dengan Perdana Menteri itu tidak mendapat kerjasama
baik dari kalangan musuh politiknya.

Diberitakan Gabenor Bangkok yang mempunyai fahaman politik berlainan
dengan Yingluck mempunyai cara berbeza dalam menangani isu banjir ini.
Malah ada dikalangan parti pembangkang ingin mengambil kesempatan
mendiskreditkan kerajaan baru ini.

Seorang Prof. di sebuah Universiti Chulalongkorn berpendapat Yingluck
seharusnya memberi kuasa dan peranan lebih besar pada pihak tentera
dalam menghadapi kemelut ini. Malah beliau mempersoalkan mengapa
Perdana Menteri itu tidak mengistiharkan "darurat" khasnya di Bangkok
yang teruk terancam.

Dalam konteks ini tentulah perhitungan politik menjadi keutamaan, lebih-
lebih lagi hubungan kerajaan Yingluck dan pihak tentera tidak begitu
sehaluan ekoran peristiwa membabitkan abang Yingluck dan bekas
Perdana Menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra.

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan