Rabu, 12 Oktober 2011

Pengadil : Jangan jadi robot



BANYAK pihak tidak berpuashati dengan sikap pengadil yang
mengadili perlawanan bolasepak suku akhir antara Trengganu dan
Kelantan Isnin lalu yang menyaksikan lima kad merah dan 10 kad
kuning dikenakan pada para pemain.

Mungkin ini merupakan satu sejarah paling banyak kad dikeluarkan
dalam sesuatu perlawanan dalam Liga Malaysia.

Siapa yang bermain kasar atau pasukan mana yang mencetuskan
adegan panas ini tidak perlu diberi perhatian sangat. Kekasaran
dan sebagainya adalah satu kebiasaan dalam permainan bolasepak.

Pengadil sebagai orang penting di atas padang perlu bijak
menguasai suasana dan tidak terlalu "rigid" dalam membuat
sesuatu keputusan.

Dalam keadaan tertentu seorang pengadil perlu memberi
sedikit advantage pada para pemain dengan memberi teguran
lisan dan sebagainya. Pengadil mestilah cuba mengelak dari
sikap "gatal" mengeluarkan kad.

Kadang-kadang kekerapan tiupan wisel boleh mengganggu rentak
sesuatu perlawanan. Ia juga memberi kesan pada para penonton
yang ingin menyaksikan perlawanan berjalan lancar dan licin.

Ini bukannya bermakna pengadil itu perlu bertolak ansur
dengan pemain yang "robust". Tapi biarlah kad yang dikeluarkan
itu munasabah dengan apa yang berlaku.

Barangkali, FAM perlu mengambil langkah menanggani
masalah ini yang sering timbul dan mengecewakan banyak pihak.
Antaranya, badan itu boleh melancarkan kempen "Mesra Pengadil"
bila ia berada di atas padang.

Pengadil perlu lebih banyak berkomunikasi dengan 22 pemain
semasa perlawanan berlangsung. Dan tidak perlulah bertindak
seperti robot dan mesin.

Seseorang pengadil yang bijak dan berpengalaman mampu
mengawal suasana dan menjadi orang terpenting mengemudi
semua pemain ketika berada di padang. Dan bukannya menjadi
tukang pemanas hati pemain dan penonton.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan