Ahad, 16 Oktober 2011
Amerika : Ekonomi dan perang
HUBUNGAN Amerika-Iran kembali tegang setelah kuasa besar
itu menuduh Iran terlibat dalam komplot cuba membunuh Duta
Arab Saudi di Washington.
Iran menafikan sekerasnya tuduhan tersebut dan menganggapnya
sebagai permainan kotor Amerika untuk mengenakannya dalam
bentuk berbagai tindakan bagi memencilkan Iran dalam dunia
antarabangsa.
Amerika sememangnya tidak berpuas hati dengan Iran yang kini
dalam proses membangun senjata nuklearnya. Berbagai langkah
telah diambil termasuk sekatan antarabangsa melalui PBB; namun
setakat ini kedudukan Iran tidak terjejas.
Lebih membimbangkan lagi ialah Arab Saudi yang merupakan
sekutu kuat Amerika. Hubungan Arab Saudi-Iran pula tidak pernah
harmonis dan sering menimbulkan saling mencurigai antara kedua
pihak.
Keadaan ini bertambah buruk dengan perkembangan yang berlaku
di Yemen dan Bahrain. Arab Saudi mempunyai hubungan yang rapat
dengan Ali Abdullah Saleh di Yemen dan pemerintah keluarga Di Raja
Bahrain.
Arab Saudi menuduh Iran cuba campurtangan dalam konflik yang
sedang bergolak sekarang. Di Bahrain, majoriti rakyatnya adalah
bermazhab Syiah. Manakala Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh,
adalah sekutu kuat Arab Saudi.
Sekiranya kedua kerajaan ini tumbang ekoran kebangkitan rakyatnya
yang menuntut perubahan; pengaruh Iran mungkin akan bertapak
di kedua negara tersebut. Dan inilah yang menjadi kebimbangan
Arab Saudi.
Jika ini berlaku maka tidak dapat dielakkan lagi yang Arab Saudi
juga akan menerima tempiasnya; tumbangnya pemerintah keluarga
Di raja.
Arab Saudi melalui sekutu kuatnya Amerika kini sedang mengikuti
kebangkitan pengaruh Iran di Timur Tengah. Amerika juga bimbang
jika kerajaan Arab Saudi kini tergugat kepentingan Amerika dan Israel
di rantau itu turut terjejas.
Jadi tuduhan bahawa Iran merancang melakukan pembunuhan Duta
Saudi di Washington itu mungkin ada kaitan dengan strategi kuasa
besar itu melakukan tindakan lebih keras terhadap Iran dan memencilkannya
dalam hubungan antarabangsa.
Seperti kata pegawai tertinggi tentera Amerika, pilihan untuk
menggunakan tentera terhadap Iran "masih terbuka" dan akan
ditentukan bila tiba masanya.
Apa yang menjadi tanda tanya : apakah Amerika bersedia untuk
ke kancah peperangan sekali lagi ? Dengan seluruh Eropah kini
dilanda tunjuk perasaan akibat kemelesetan ekonomi dan kegagalan
sistem kewangan dan perbankan barat; mereka menuntut dipulihkan
sistem ekonomi seluruh Eropah yang menuju keruntuhan.
Kini tunjuk perasaan bermula di Wall Street, New York dan telah
pun menular ke Rome, Sepanyol, London, malah Australia akibat
tidak berpuashati dengan sistem kewangan barat sekarang yang
lebih melindungi pihak bank dan korporat dari rakyat kelas bawah
dan menengah.
Barangkali, Amerika sedang mencari mangsa untuk dikambinghitamkan
bagi menutupi segala kelemahan yang dihadapi barat dan sekutunya.
Iran adalah sasarannya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan