Ahad, 30 Oktober 2011

Rajagopal patut panggil 'kuda tua'



NEGERI SEMBILAN akhirnya Juara Piala Malaysia 2011 setelah
menewaskan Terengganu 2-1 dalam satu perlawanan yang boleh
dikira seimbang. Cuma kelemahan dan kelalaian sahaja yang
memisahkan penentu kejuaraan.

Bolasepak adalah satu permainan 90 minit dan selagi masa
belum tamat; apa sahaja boleh berlaku. Kelantan sudah mengalaminya
dalam final Piala FA dengan mendahului Terengganu, tapi akhirnya
terpaksa akur diminit terakhir tewas di tangan Penyu.

Dan semalam Terengganu yang mendahului 1-0 dan kelihatan
menghampiri kejuaraan boleh tersungkur 1-2 akibat kelalaian
para pemain.

Mungkin ramai yang menuding jari pada kelemahan penjaga gol
Terengganu, Sharbini Alawee yang gagal menampan bola yang
dikira agak lemah hasil hantaran S. Kunalan. Gol penyamaan ini
telah membangkitkan semula semangat pemain Negeri Sembilan.

Inilah bolasepak dan pasukan yang cepat mengambil kesempatan
dan boleh menyesuaikan dengan suasana sahaja mampu bergelar
juara.

Dalam final semalam pemain-pemain yang bergelar 'kuda tua' memang
cukup menyerlah. Marzuki Yusof, Shukur Adan, Idris Karim dan Hairuddin
Omar telah membuktikan mereka masih lincah.

Jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagopal, seharusnya menimbang
agar memanggil mereka menyarung jersi kebangsaan, terutamanya
bagi mempertahankan Kejuaraan Piala AFF tahun depan. Setakat
ini hanya Norhafiz Zamani Misbah sahaja dipanggil.

Tidak salah memanggil dua atau tiga pemain 'tua' bagi menyeimbangkan
pasukan kebangsaan yang rata-rata dibarisi pemain muda. Lebih-lebih
lagi akhir-akhir ini benteng pertahanan Harimau Malaya mudah goyah.

Dengan kemasukkan Marzuki, Shukur dibenteng pertahanan dan Hai-O
di bahagian serangan sudah tentu akan menguatkan lagi pasukan Harimau
Malaya.














Tiada ulasan:

Catat Ulasan