Sabtu, 15 Oktober 2011
Malaysia mesti bertindak tegas
INSIDEN segelintir rakyat Indonesia melontar batu, kayu dan
sebagainya ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta
tidak boleh dipandang ringan begitu sahaja.
Mereka berdemonstrasi dan melempar kata-kata kesat kononnya
Malaysia telah mencerobohi sebuah wilayahnya di Kalimantan Barat.
Para penunjuk perasaan tidak ramai hanya sekitar 500 hingga 600 orang.
Apa yang jelas segala tuduhan itu tidak berasas dan tidak mempunyai
fakta. Mereka bertindak secara emosional dan tidak bertamaddun.
Sikap sedemikian lebih layak disamakan dengan orang yang tidak
mempunyai pendidikan asas yang cukup.
Para pemimpin Republik itu dan Menteri Pertahanannya sendiri
mengakui segala isu yang berbangkit tidak mempunyai asas dan
tidak benar.
Malah menurut Menteri Pertahanannya, laporan media tentang isu
ini telah memberi kesan psikologi terhadap Angkatan Bersenjata
Republik itu kerana mereka menjalani operasi bersama di sempadan
dengan Angkatan Tentera Malaysia di wilayah yang dipertikaikan.
Insiden sebegini kerap berlaku dan ini bukanlah kali pertama.
Dan seringkali Malaysia berada dipihak yang benar, manakala
Indonesia, terutamanya segelintir rakyatnya yang bersikap mengikut
perasaan dan bertindak sesuka hati.
Apakah punca sebenarnya ? Apakah ada anasir atau elemen yang
berniat jahat ingin merosakkan hubungan kedua negara serumpun ini ?
Namun apa pun Malaysia perlu bertindak tegas dalam soal ini; apa
yang sudah berlaku dan akan datang. Bukan mustahil kejadian seperti
ini akan berulang kali demi kali pada masa hadapan.
Ini adalah persoalan maruah negara dan kita bukan menjadi bahan
"buli" kepada sesetengah pihak di Republik itu. Pada dasarnya pihak
pemerintah Indonesia mempunyai hubungan akrab dengan kerajaan
Malaysia dan mereka tidak sama sekali menyokong tindakan tidak
bertamaddun segelintir rakyatnya.
Bagaimanapun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab pemerintah
Republik itu mesti bertindak dan menghukum mereka yang terlibat
dan bertanggungjawab terhadap insiden di Kedutaan Besar Malaysia
di Jakarta baru lalu.
Kerajaan Malaysia pula perlu mengambil tindakan politik terhadap
Indonesia sekiranya mereka yang terlibat tidak dibawa ke muka
pengadilan.
Malaysia tetap menghargai hubungan erat dengan jirannya yang
serumpun itu. Tetapi soal maruah tidak mungkin dikompromikan.
Titik.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan