Isnin, 3 Oktober 2011

Politik kebendaan dalam UMNO



HAMPIR semua akhbar harian hari ini melaporkan
kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad betapa ahli-ahli
UMNO kini berjuang bukan kerana agama, bangsa dan
negara, tetapi lebih pada mengejar kedudukan, kontrak,
permit dan sebagainya.

Mereka menjadi ahli UMNO untuk mencari kekayaan
dan bukannya berjuang demi kepentingan parti. Bila ada
yang tidak terpilih menjadi calon dalam pilihanraya, mereka
akan bersikap mencantas dan menikam dari belakang
ahli parti sendiri.

Sikap seperti inilah yang akan menjadi "duri dalam daging"
pada UMNO bagi menghadapi parti lawan dalam setiap
pilihanraya. Selagi sikap ini tidak dikikis, peluang UMNO
untuk mencapai kemenangan adalah tipis.

Dr. Mahathir memberi contoh betapa pada masa dahulu
ahli-ahli parti sanggup bergolok bergadai demi kejayaan
parti tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran dan
kepentingan diri, asalkan parti berjaya.

Sikap ahli parti yang terlalu kebendaan ini memang
sukar diubah lebih-lebih lagi sekiranya pemimpin
diperingkat tertinggi tidak menghentikan amalan politik
wang dalam mereka mencari pengaruh dan sokongan.

Dalam konteks politik wang ini ia perlu bermula
dari atas ke bawah dan bukan sebaliknya. Selagi ada
pemimpin tertinggi masih menggunakan wang untuk
melobi dan sebagainya, selagi itulah penyakit kronik
dalam parti tidak dapat dihapuskan.

Kes politik wang membabitkan Datuk Ali Rustam dan
Datuk Isa Samad yang dikenakan tindakan disiplin parti
satu masa dulu patut dijadikan iktibar.

Bila sebut politik wang tumpuan tidak seharusnya
ke arah ahli akar umbi sahaja malah pada para pemimpin
di atas kerana semuanya berpunca dari mereka.

Gejala politik wang ini bermula sejak 1981 lagi bila
Tun Musa Hitam bertanding melawan Tengku Razaleigh
Hamzah sebanyak dua kali bagi jawatan Timbalan Presiden
UMNO. Namun masalah politik wang pada masa itu tidaklah
seteruk hari ini.

Dipercayai amalan politik wang ini semakin kuat dan
rancak semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri
Kewangan merangkap Naib Presiden UMNO.

Kerana politik wanglah bekas Timbalan Presiden UMNO,
Tun Ghaffar Baba terpaksa akur dan menarik diri dari
mempertahankan jawatannya dengan memberi laluan pada
Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dan politik wanglah banyak Ketua-ketua Bahagian UMNO
yang satu kem dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya
menyingkirkan mereka yang dianggap dari kem berlainan.

Amalan politik wang dalam UMNO sukar untuk dibanteras
kerana ia sudah menjadi amalan dan darah daging para
pemimpin teratas sejak dahulu lagi.

Ia boleh dihapuskan dengan bermula dari pemimpin
di atas bukannya dari bawah; di akar umbi.


























Tiada ulasan:

Catat Ulasan