Jumaat, 23 September 2011

Sikap "double standard" Amerika



PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama, semasa
berucap di PBB telah menolak hasrat Palestin mengisytiharkan
sebagai sebuah negara merdeka dan menjadi anggota
tetap badan dunia itu.

Obama menegaskan, Amerika akan menggunakan
kuasa vetonya untuk menghalang usaha Palestin itu.
Menurut Obama, tidak ada jalan pintas untuk
mencapai perdamaian bagi kedua pihak Israel-Palestin.

Justeru itu beliau mendesak agar Palestin menyambung
kembali rundingan dengan Israel yang telah terbantut
sejak 2010.

Bagi Amerika tidak akan ada sebuah negara
Palestin tanpa persetujuan dan perdamaian berkekalan
dengan negara Yahudi itu.

Soalnya, pada pihak Palestin setelah mengambil
masa selama lebih 20 tahun berunding dengan Israel,
rakyat Palestin tidak memperolehi apa-apa atau "nothing"
hasil dari perundingan tersebut untuk mencapai
kewujudan dua buah negara berjiran atau "two state solution."

Malah apa yang berlaku ialah Israel terus memperluaskan
penjajahannya dengan pembinaan penempatan haram Yahudi
tanpa henti.

Menurut Moustafha AL-Bouguthi, ahli majlis tertinggi Palestin,
dasar Israel yang terus memperluaskan penempatan
haram itu telah mewujudkan "one state solution" dan
bukannya "two states solution" sebagaimana dianjurkan
dunia antarabangsa.

Langkah yang diambil Palestin ke PBB kali ini
adalah berpunca dari sikap angkuh Israel yang tidak
mengendahkan pandangan antarabangsa bagi
menghentikan penempatan haram Yahudi di wilayah
Palestin dan sikap berat sebelah Amerika terhadap
sekutunya, Israel.

Obama sendiri dalam ucapannya di PBB telah
membuat pendirian yang kontradik dan "double standard"
bila sebelum ini beliau berkali-kali menyarankan agar
Israel menghentikan pembinaan penempatan haram semasa
proses rundingan berjalan dan kedua pihak harus
berunding bertitik-tolak dari perjanjian sempadan 1967.

Dan kelmarin semasa berucap di PBB, Obama tidak
menyentuh langsung dua isu yang dipertahankannya
sebelum ini. Malah beliau menyalahkan Palestin
membawa isu ini ke badan dunia itu dan memberi
amaran tidak akan ada perdamaian kekal tanpa
persetujuan kedua pihak.

Bagi Palestin, walaupun usahanya untuk menjadi
anggota PBB akan dihalang Amerika, namun langkah
ini adalah satu permulaan diplomatik bagi mencapai
matlamat sebuah negara Palestin merdeka.

Apa yang jelas Amerika tidak lagi layak untuk
menjadi orang tengah atau mediator dalam konflik
Arab-Israel di atas sikapnya yang sering tunduk
kehendak rejim Yahudi itu.

Barangkali, Kesatuan Eropah atau China atau Perancis
boleh memainkan peranan menggantikan Amerika
yang jelas gagal dalam menjayakan rundingan perdamaian
ini.

Tindakan Mahmoud Abbas mengisytiharkan Palestin
sebagai sebuah negara berdaulat merupakan langkah
pertama dari seribu langkah dan perlu diteruskan
pada masa hadapan.




























1 ulasan:


  1. arrayah.info
    - Kemerdekaan Hakiki dan Pembebasan Palestin Hanya Dengan Negara Islam Global iaitu Daulah Khilafah Islamiyah

    BalasPadam