Saya baru menonton sebuah filem dokumentari bertajuk, " Man On The Run" di Netflix. Ia adalah sebuah filem yang baru diterbitkan dan ditayangkan sempena tahun baru 2024.
Filem ini mengisahkan modus operandi penyangak Jho Low yang menipu dan mencuri dana 1MDB lebih rm 2. 6 billion. Ianya telah mencatat sejarah sebagai salah satu skandal kewangan terbesar di dunia.
Skandal ini juga telah menjadi faktor utama jatuhnya bekas PM Najib Razak dan tumbangnya kerajaan Umno dan BN setelah enam dekad berkuasa.
Saya sudah mengikuti dan mengulas skandal 1MDB sejak 2013 lagi. Menonton filem ini hanya menambahkan lagi kefahaman menjadi lebih jelas sekitar Jho Low, Najib dan 1MDB.
Saya percaya ramai lagi rakyat negara ini tidak memahami sepenuhnya skandal 1MDB dan bagaimana Najib sebagai PM dimanipulasi oleh Jho Low.
Pada babak awal filem ini dimulakan dengan adegan sekumpulan anak-anak muda bangsa melayu yang diinterbiu tidak kenal dan tidak tahu siapa itu Jho Low.
Begitu juga seorang bangsa Cina dan India yang pernah dengar 1MDB namun tidak ada pengetahuan mengenainya.
Anak-anak muda tersebut terlalu muda dan tidak mengikuti perkembangan berita.
Manakala dua orang bangsa Cina dan India itu mengatakan mereka terlalu sibuk kerja mencari rezeki dan tidak mengambil tahu.
Filem ini yang mengambil masa sekitar satu jam boleh membantu kefahaman apa itu skandal 1MDB bagi mereka yang tidak mengikutinya secara dekat melalui pembacaan dan sebagainya.
Dalam filem ini Najib yang diinterbiu mengatakan beliau tidak tahu menahu apa yang dilakukan Jho Low dan orang-orang disekelilingnya sehingga berlakunya penyelewengan dan penipuan dana kewangan 1MDB.
Najib mengaku tidak bersalah dan menyalahkan orang-orang dibawahnya yang tidak jujur dan mempersoalkan kenapa dia seorang sahaja yang diheret ke mahkamah.
Interbiu Najib dalam filem ini diadakan empat bulan sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh mahkamah.
Najib dipenjarakan bersabit kes SRC yang melibatkan rm 42 juta. Kini beliau masih menghadapi beberapa kes lagi di mahkamah berkait dengan 1MDB.
Dalam masa yang sama ada usaha terus berjalan bagi mendapatkan pengampunan untuk Najib daripada Yang Di Pertuan Agong.
Namun berdasarkan Najib masih lagi menghadapi beberapa kes di mahkamah, usaha tersebut mungkin menghadapi jalan sukar.
Kes ini sekiranya diikuti ia agak panjang dan berjela-jela dengan segala fakta dan angka serta dokumen-dokumen di dalam dan luar negara.
Namun satu hakikat yang perlu diterima umum bahawa Najib ketika skandal 1MDB ini berlaku dari 2009 sehingga 2018, beliau adalah Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat Lembaga Pengarah 1MDB.
Ertinya, beliau adalah orang yang berkuasa penuh di atas segala apa yang berlaku. Tanda tangannya terdapat di merata-rata tempat dan dokumen.
Beliau mesti bertanggungjawab. Hujah dan alasan beliau tidak tahu dan dimanipulasi tidak berbangkit.
Apa yang menarik kenyataan Najib dalam interbiu filem ini, beliau menyatakan beliau tidaklah sebodoh itu dan mempunyai IQ yang rendah sehingga tidak mengetahui penipuan yang berlaku.
Tetapi kenyataan dan pandangan umum begitulah nampaknya.
Sayugia selain Najib dan Jho Low sebagai watak-watak penting dalam skandal ini - mereka adalah Rosmah Mansor dan Riza Aziz.
Rosmah dan Riza adalah dua watak penting yang membuka laluan buat Jho Low menghampiri Najib sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan.
Riza Aziz adalah kenalan Jho Low dan anak tiri Najib.
Pada yang berminat mengetahui lebih lanjut skandal 1MDB bolehlah menonton siri Netflix, " Man On The Run " .