Selasa, 13 Disember 2022

Kes Zahid Hamidi Akan Digugurkan?

 Zahid Hamidi  setelah menjadi Timbalan Perdana Menteri kini menghadapi dua misi penting bagi menjamin masa depannya terus kekal sebagai pemimpin politik.

Pertama, mengekalkan kedudukkannya sebagai Presiden Umno sekiranya ada pertandingan merebut jawatan parti. Kedua, beliau mesti menang kes rasuahnya yang sedang berjalan sekarang.

Sekiranya Zahid berjaya mengatasi dua masalah besar ini kedudukkannya sebagai TPM dan masa depan politiknya akan semakin kukuh.

Umno akan mengadakan pemilihan jawatan parti dalam masa enam bulan dari sekarang setelah ditangguh dua kali.


Ahmad Zahid Hamidi


Kini sudah ada gerakkan dari bawah agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ada pertandingan. Ertinya kedua penyandang jawatan tersebut dikekalkan.

Jika pelan pro Zahid berjalan lancar maka ini adalah satu perkara baru yang tidak pernah berlaku. Kerana sesuatu yang aneh bila parti kalah teruk dalam pilihanraya pemimpinnya terus kekal dan tidak meletakkan jawatan.

Umno dibawah pimpinan Zahid hanya menang 26 kerusi dari 222 kerusi parlimen dalam Pru 15. Ini adalah prestasi dan pencapaian paling buruk dalam sejarah pilihanraya Umno.

Bukan sedikit suara-suara ahli parti menggesa Zahid supaya melepaskan jawatannya.

Namun begitu apa yang berlaku adalah sebaliknya. Zahid telah bertindak dengan tegas menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 10 dengan membawa Umno menjadi sebahagian dari kerajaan. Dan sebagai imbalannya beliau dilantik TPM.

Jadi prestasi Zahid bukan diukur pada pencapaian Umno dalam Pru 15 tetapi peranannya yang besar yang memungkinkan Umno menjadi kerajaan bukan pembangkang.

Dan pencapaian peribadinya yang terbesar adalah dilantik sebagai TPM walaupun partinya Umno ditolak para pengundi.

Inilah istimewa dan uniknya Zahid Hamidi dalam konteks situasi politik negara selepas Pru 15.

Apalagi dengan jawatan TPM merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, kuku Zahid semakin tajam bagi menguasai Umno dan terus kekal sebagai Presidennya

Anwar Ibrahim telah memainkan peranannya bagi memastikan kedudukan Zahid dalam Umno tidak tergugat. Kerana Umno kini adalah kerabat paling kuat dalam kerajaan selain DAP.

Tetapi bagaimana pula kes mahkamah Zahid Hamidi? Apakah akan ada representasi agar kes itu digugurkan??

Atau Zahid akan berusaha keras agar beliau menang dalam kes tersebut. Justeru membersihkan namanya dan memulihkan kembali imejnya di mata umum. 

Walau apapun yang berlaku sekiranya Mahkamah memutuskan Zahid bersalah diatas pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, Anwar sebagai PM perlu tegas memecatnya sebagai TPM. 

Jelas kini Zahid mampu mengatasi cabaran dan tentangan dalam Umno. 

Tetapi apakah beliau akan berjaya menghadapi kesnya di mahkamah? 

Kita tunggu dan lihat. 


Jumaat, 2 Disember 2022

Kabinet : Anwar Ibrahim Perkuatkan Kedudukkannya

 Anwar Ibrahim sudah pun mengumumkan kabinetnya yang mengambil masa lebih seminggu dari hari dia dilantik sebagai PM ke 10.

Seperti yang diramal umum Zahid Hamidi dilantik Timbalan Perdana Menteri bersama Fadilah Yusof wakil dari GPS.

Bagi saya secara umumnya kabinet Anwar ini lebih baik jika dibandingkan dengan kabinet Muhyiddin dan Ismail Sabri sebelum ini.


Anwar Ibrahim


Namun begitu saya rumuskan kabinet Anwar ini lebih terarah pada memperkuat kedudukannya dalam partinya PKR dan jawatannya sebagai PM dari sabotaj dan ancaman dari musuh-musuh politiknya yang sukar diramal.

Sebagai contoh Anwar sendiri memegang porfolio Kewangan -  suatu perkara yang bercanggah dengan beliau ucapkan sebelum ini bahawa beliau tidak akan menjawat Menteri Kewangan.

Bahkan banyak pandangan umum tidak bersetuju beliau menguasai kementerian Kewangan. Kerana beliau adalah PM. Ini membuatkan beliau kelihatan terlalu berkuasa.

Apa yang berlaku pada Najib Razak sebagai PM merangkap Menteri Kewangan tidak berulang. Perlu ada pengasingan tugas dan kuasa. Tidaklah kelihatan PM terlampau berkuasa.

Namun keputusan Anwar ini boleh difahami dari konteks politik semasa. Betul Anwar bukan Najib. Portfolio Kewangan penting disudut strategi politiknya baik dalam dan luar parti bagi menjamin kedudukannya tidak diganggu gugat mana-mana pihak. 

Begitu juga langkah Anwar melantik Saifuddin Nasution sebagai Menteri Dalam Negeri. Kementerian ini sungguh "power". Dan Anwar serahkan pada orang yang beliau percaya dan yakin. 

Saifuddin adalah Setiausaha Agung PKR. Beliau tewas pada Rafizi dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR. Saifuddin juga tewas di parlimen Kulim Bandar Baharu dalam Pru 15 baru baru ini. Namun Anwar mengangkat Saifuddin seperti dia mengangkat Zahid Hamidi. Tidak siapa boleh nafi Saifuddin adalah orang paling kanan Anwar bukan Rafizi!! 

Tetapi Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR dilantik Menteri Ekonomi. Ekonomi penting namun Menteri Dalam Negeri sangat berpengaruh. 

Kalau dikira sejarah dahulu Menteri Dalam  Negeri dipegang oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Apalagi Saifuddin sekarang bukan ahli parlimen. Dia akan dilantik Senator. 

Saya tidak mahu ramalkan hubungan Anwar dan Rafizi pada masa hadapan. Tetapi yang jelas Anwar lebih selesa dengan Saifuddin. 

Lain-lain lantikkan boleh dikira keseluruhannya kabinet Anwar ditunjangi oleh para pemimpin PKR. Kewangan, Ekonomi, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi diterajui semua Menteri PKR. Khalas! Anwar sudah kontrol situasi. 

Mulai hari ini selain tugas berat Anwar memulihkan ekonomi dan mengangkat martabat bangsa beliau harus bersedia menghadapi golongan anti Zahid Hamidi dalam Umno dan partinya sendiri PKR. 

Kerana dalam PKR benih itu sudah ada iaitu  antara Anwar/Saifuddin vs blok pro Rafizi Ramli. 

 


Khamis, 1 Disember 2022

Zahid Hamidi Dari Seorang Yang Dicemuh Kini Menjadi Wira

 Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pru 15 adalah seorang pemimpin yang dianggap liabiliti pada parti kerana kesnya di mahkamah dan stail kepimpinannya yang memecahbelahkan Umno menjadi beberapa puak.

Sebelum Pru 15 lagi ada suara mahukan dia meletakkan jawatan Presiden Umno. Umumnya menganggap Zahid adalah seorang pemimpin yang lemah. 

Tanggapan dan persepsi umum terhadap Zahid sebelum ini tidak silap malah tepat sekali bila keputusan Pru 15 diketahui. 

Umno dan BN dibawah pimpinannya mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihanraya umum sejak merdeka. 

Tidak pernah berlaku dalam sejarah - Umno hanya menang 26 kerusi parlimen. Campur dengan empat lagi kerusi parti komponen BN berjumlah 30.

Bayangkan selepas sahaja keputusan Pru 15 diketahui desakan dan tekanan begitu memuncak agar Zahid letak jawatan. 

Ketika itu suasana tidak memihak pada Zahid. Umumnya mengira kali ini Zahid tidak ada pilihan melainkan berundur. 

Pada Pru 2018 Najib Razak terpaksa meletakkan jawatan Presiden Umno setelah tewas mengejut pada Pakatan Harapan. Sedangkan ketika itu Umno menang lebih 50 kerusi. Inikan Zahid hanya menang 26 kerusi untuk Umno. Ertinya pencapaian Zahid lebih teruk daripada Najib. Namun Najib letak jawatan. 

Kini Zahid tidak letak jawatan malah kelihatan semakin kembali kuat kedudukannya. Ini sesuatu yang diluar jangkaan para pemerhati politik. 

Ini semua berpunca dari mainan politiknya yang licik sehingga meletakkan Umno sebagai king maker dalam menentukan siapa PM ke 10 diantara Anwar dan Muhyiddin. 

Justeru tindakan cepatnya dengan menarik balik SD 10 wakil rakyat BN dari menyokong Muhyiddin - tercetusnya idea kerajaan perpaduan. 

Muhyiddin menolak idea kerajaan perpaduan. Dan kerana 10 SD wakil BN itu Muhyiddin kecundang disaat akhir. 

Dan yang paling terkesan adalah Umno walaupun hanya menang 26 kerusi dan dikira ditolak oleh rakyat namun berjaya menjadi sebahagian dari kerajaan pusat. Umno tidak jadi pembangkang. 

Anwar Ibrahim sebagai PM ke 10 tidak dapat menafikan peranan dan tindakan Zahid sebagai faktor utama beliau terpilih sebagai PM. 

Sehingga saat ini begitu kuat andaian bahawa Zahid akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar tidak punya pilihan yang banyak. 

Kerana Zahid dengan jawatan TPM akan memperkuat kedudukannya sebagai Presiden Umno yang akan menghadapi pemilihan parti enam bulan lagi. 

Tanpa jawatan kabinet Zahid sukar mempertahankan jawatannya. Anwar sudah tentu menghargai peranan Zahid dan ingin terus mendapat sokongan daripada Zahid sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN. 

Sekiranya Zahid gagal pertahankan jawatan Presiden dan diganti dengan calon yang pro Muhyiddin, maka ini akan menyusahkan Anwar kemudian hari. 

Nampaknya Zahid yang sebelum ini ditohmah berbagai gelaran seperti Zahid Komedi, Zahid Ponorogo dan sebagainya namun kini dia kelihatan hebat dan dicemburui musuh-musuh politiknya. 

Apa yang pasti sekarang Zahid Hamidi tidak akan letak jawatan sehingga pada hari pemilihan parti enam bulan lagi. 




Isnin, 28 November 2022

Zahid Hamidi Dilantik Timbalan Perdana Menteri??

 Nampaknya PM ke 10 Anwar Ibrahim, tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa melantik Presiden Umno Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun Zahid masih berdepan dengan kes mahkamah namun peranan dan tindakan cepatnya telah membantu Anwar dipilih sebagai PM. Dan sekaligus sekali lagi Zahid berjaya menyekat peluang Muhyiddin. Dia juga dahulu yang menjatuhkan Muhyiddin sebagai PM ke 8 dengan menarik balik sokongan. 

Tindakannya disaat- saat akhir baru-baru ini dengan menarik balik SD 10 wakil BN dari menyokong Muhyiddin menyebabkan Agong menyarankan agar  ditubuhkan kerajaan perpaduan kerana antara Anwar dan Muhyiddin tidak ada majoriti.

Sekiranya tanpa tindakan Zahid tentunya Muhyiddin sudah pun terpilih menjadi PM ke 10. Namun dengan penarikkan balik 10 SD itu Muhyiddin tidak cukup majoriti. 

Sudah ramai memberi pandangan agar Anwar tidak mengambil mereka yang menghadapi kes di mahkamah berada dalam kabinet. 

Tetapi Anwar sudah pun memberi bayangan bahawa selagi mahkamah tidak memutuskan seseorang itu bersalah maka hal itu masih boleh dipertimbangkan. Kecuali mahkamah telah menjatuhkan hukuman. 

Dengan ini peluang Zahid menjadi TPM adalah besar. Apa lagi peranannya yang besar membantu Anwar terpilih sebagai PM. 

Anwar tentunya memerlukan sokongan Zahid dan BN secara konsisten pada jangka masa yang lebih panjang. Dan ini memerlukan sesuatu yang boleh memperkuat kedudukan Zahid sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN. 

Umno akan menghadapi pemilihan parti dalam masa enam bulan lagi. Apakah Zahid dapat mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden parti?? 

Sekiranya Zahid gagal dan tokoh lain mengambil alih pimpinan parti: adakah Umno/BN akan terus menyokong Anwar?? Inilah persoalan yang mesti  diambil kira oleh Anwar dalam memilih wakil Umno sebagai TPM. 

Jika Zahid dipilih sebagai TPM sudah tentu ianya dapat memperkuat kedudukan dan pengaruhnya dalam parti. Sekiranya dia tidak ada jawatan dalam kabinet ini menyukarkannya bergerak dan mempengaruhi para perwakilan parti. 

Justeru Zahid sebagai TPM merangkap Presiden Umno tentunya lebih memperteguh kedudukan Anwar sebagai PM. Kerana keputusan Pru 15 lalu jelas BN dengan 30 kerusi telah menjadi "King Maker" dalam menentukan parti mana menguasai Putrajaya. 

Dengan senario begitu saya tidak jangka Mohamad Hasan atau Tok Mat, Timbalan Presiden Umno akan dilantik sebagai TPM. Banyak desas desus mengatakan Tok Mat akan dipilih. 

Namun apa pun boleh berlaku. Lebih-lebih lagi adanya kautim antara Anwar, Zahid dan Tok Mat dalam mencari jalan terbaik bagi mempertahankan kerjasama PKR-BN. 




Ahad, 6 November 2022

Tengku Razaleigh Masih Berimpian Jadi PM

 Tengku Razaleigh Hamzah 85 tahun,  orang lama dalam Umno masih terus bertanding dalam Pru 15 ini dengan mempertahankan kerusinya di Gua Musang. Kerusi parlimen itu ditandinginya hampir lima dekad. 

Pada era 80 an semasa Umno diharamkan, Ku Li terus kekal dan menang di Gua Musang di atas tiket Parti Semangat 46.

Begitu lah kuatnya pengaruh Ku Li di Gua Musang. Dia menang walau pun menentang calon Umno ketika itu. 

Dan pada Pru 15 ini, Ku Li tetap akan menang dengan mudah walau pun terdapat tiga lagi calon lain yang bertanding . Gua Musang dan Ku Li sudah sinonim dan sebati. 

Sebelum ini Ku Li telah menyatakan beliau tidak akan bertanding lagi dalam Pru15. Alasannya dia sudah terlalu lama di Parlimen dan ingin memberi peluang pada orang baru menjadi calon. 

Nampaknya Ku Li telah mengubah fikirannya. Kenapa? Apa alasannya? 


Ku Li


Seperti yang diketahui umum Ku Li mempunyai cita-cita terpendam yang tidak kesampaian sejak 1980 an untuk menjadi Perdana Menteri. Sejak zaman Tun Hussein Onn lagi. 

Namun Dr Mahathir menjadi pilihan Tun Hussein Onn sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Ku Li tewas pada Tun Musa Hitam sebanyak dua kali dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno. 

Ku Li juga tewas pada Dr Mahathir bagi jawatan Presiden Umno. 

Ku Li cuba lagi pada era Abdullah Badawi, tetapi gagal kerana tidak mendapat cukup pencalonan bagi membolehkannya bertanding menentang Badawi. 

Akhir sekali Ku Li tewas pada Zahid Hamidi dalam jawatan Presiden Umno yang ditandingi tiga penjuru - calon ketiga adalah Khairy Jamaluddin. Ku Li mendapat undi paling sedikit daripada tiga calon tersebut. 

Pada ketika kerajaan Muhyiddin tumbang Ku Li mencalonkan dirinya sebagai pengganti. Namun beliau tidak mendapat sokongan dari partinya sendiri - Umno. 

Begitulah Ku Li yang masih menyimpan cita-cita menjadi Perdana Menteri. Tetapi ini sukar berlaku kerana Ku Li tidak mempunyai jawatan tertinggi dalam parti. 

Kecuali berlaku insiden parlimen tergantung dan tidak ada parti yang mempunyai kerusi majoriti di parlimen. Justeru SPB Agong boleh menggunakan budi  bicaranya memilih seorang calon yang disokong majoriti ahli parlimen untuk mengisi jawatan PM. 

Apa pun ini mungkin tidak berlaku kerana setiap parti akan berpakat menyokong calon pilihan parti mereka masing-masing. 

Keputusan Ku Li untuk terus mempertahankan kerusinya tidak lain hanya mengharap tuah akan menyebelahinya bagi memenuhi impiannya yang begitu lama. 

Baginya kalau Dr Mahathir boleh menjadi PM kali kedua dalam usia 90 an - kenapa tidak dia. 

 

Jumaat, 4 November 2022

Dr Mahathir Sudah Sampai Masa Bersara

 Dr Mahathir Mohamad, 97 tahun tidak patut dan tidak perlu bertanding lagi dalam Pru 15 ini.  Negarawan itu telah menyatakan akan mempertahankan kerusinya di Langkawi.

Dari seorang negarawan yang disegani dan dihormati ketika menjadi PM selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 - kini imejnya semakin  tercalar teruk terutamanya kesan dari tempoh 22 bulan beliau menjadi PM kerajaan Pakatan Harapan. 

Banyak kesilapan dan kelemahan terlihat sepanjang tempoh 22 bulan tersebut. Salah satunya projek kereta terbang yang membazir dan tidak masuk akal. Dan banyak lagi tindakan dan keputusannya sebagai PM telah mengecewakan rakyat yang telah memberi mandat pada Pru 14, 2018.

Kesilapan terbesarnya adalah tindakannya meletakkan jawatan sebagai PM secara mengejut dengan tidak berbincang dengan rakan-rakan sekutu dalam PH. Dan ini merupakan satu pengkhianatan pada kerajaan PH yang disertai PKR, Amanah dan DAP. 


Dr Mahathir


Dr Mahathir sepatutnya berbincang dan membantu dalam proses peralihan mencari pengganti.

Namun tindakannya secara mengejut telah membuka ruang pada pihak lawan mengambil kesempatan mengisi ruang yang telah terbuka hasil pengunduran diri beliau sebagai PM. 

Hingga kini tidak ada pemimpin pun yang mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi menghadapi Pru 15.

Ini kerana kredibilitinya sebagai pemimpin telah terjejas teruk kesan sikap dan tindakannya dari mula hinggalah masa beliau meletakkan jawatan sebagai PM kali kedua. 

Dr Mahathir kini mengetuai Gerakan Tanah Air seperti seorang pengemis meminta kerjasama dengan Anwar (PKR) dan Muhyiddin (Bersatu) bagi menumbangkan Umno dalam Pru 15. Namun Anwar dan Muhyiddin menolak secara terang tidak akan bekerjasama lagi. Sungguh sedih dan memalukan. 

Begitulah teruknya defisit keyakinan orang pada Dr Mahathir. 

Apakah Dr Mahathir dengan partinya Pejuang dalam GTA akan memberi impak dalam Pru15 nanti? 

Saya lebih cenderung merasakan negarawan itu bersama parti gagasannya akan gagal total. Rakyat tidak akan tertarik untuk memberi sokongan. 

Apatah lagi dalam usia 97 tahun ia adalah suatu khayalan dan tidak berpijak pada realiti semasa. 

Adalah lebih baik dan terhormat Dr Mahathir tidak lagi terlibat dalam Pru15 ini dan berundur secara terhormat. Agar imejnya sebagai negarawan tidak semakin buruk dan tercalar kesan dari penglibatannya dalam kemelut politik semasa. Cukuplah. Berilah peluang pada generasi muda mengisi kekosongan. 





Rabu, 5 Oktober 2022

Selepas Pru 15 : Kerajaan Majoriti Kecil

 Dr Mahathir berjaya menjadi teraju memimpin Pakatan Harapan menumbangkan Umno/BN pada Pru 14, 2018.

Apakah kali ini pada Pru 15, Dr Mahathir dapat mengulangi kejayaan tersebut sekali lagi? 

 Pada 2018 Dr Mahathir berjaya menyatukan semua parti pembangkang bawah satu simbol terdiri dari parti Bersatu, PKR, Amanah dan DAP. Tetapi kali ini ianya tidak akan berlaku. 

Dr Mahathir,partinya Pejuang melalui Gerakan Tanah Air (GTA)  bekerjasama dengan parti Putra, Berjasa dan badan NGO bagi menghadapi pru 15.

Bersatu pula dalam Perikatan Nasional. Masing-masing mempunyai haluan sendiri. 

Satu pihak lagi adalah PKR, DAP dan Amanah. 

Ertinya, pada Pru 14 mereka semua dalam satu pakatan sehingga berjaya menewaskan Umno/BN . Namun kini mereka berpecah.

 Justeru sejarah 2018 tidak akan berulang. Mereka pasti tidak dapat menumbangkan Umno kali ini. 

Pengaruh Dr Mahathir terhadap para pengundi juga merosot kesan dari tindakannya yang meletakkan jawatan PM secara mengejut yang mengakibatkan kerajaan PH tumbang. 

Para pengundi sudah tidak yakin dengan Dr Mahathir setelah beliau tidak berbincang dengan sekutunya dalam PH sebelum meletakkan jawatan. 

Jadi pengaruh Dr Mahathir bagi menghadapi Pru 15 ini boleh dijangka. Ia tidak akan memberi impak besar seperti mana pada Pru 14 dulu. 

Begitu juga dengan Muhyiddin pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional. Muhyiddin akan hanyut dalam Pru 15 ini. Dia langsung tidak akan beri sebarang impak pada para pengundi lantaran tindakannya mengkhianati PH. 

Cuma tinggal PKR, DAP dan Amanah sebagai alternatif pada Umno/BN. Namun ketiga parti tersebut mempunyai bebanan yang besar bagi menarik sokongan orang melayu. Dan ini bukan mudah. 

Namun begitu ini tidak bererti Umno akan menang besar pada Pru 15 ini. Belum tentu! Kerana sebahagian besar rakyat sudah fedap dengan politik cash is king dan rasuah melibatkan para pemimpin Umno. 

Justeru itu senarionya pada Pru 15 tidak ada sebuah parti pun yang akan menang kerusi secara majoriti. 

Kemungkinan parlimen akan tergantung selepas keputusan Pru 15. Masing-masing parti akan berunding, berpakat dan berbincang untuk bekerjasama bagi menubuhkan kerajaan. 

Umno kini walau pun begitu yakin akan kembali berkuasa belum tentu lagi dapat memenangi lebih 60 kerusi dari 222 kerusi parlimen. Ertinya Umno terpaksa berkongsi kuasa dengan bantuan parti lain. 

Lebih meresahkan lagi kerajaan yang dibentuk bakal memempunyai majoriti kecil yang tentunya tidak kuat dan stabil. 

Sebuah kerajaan yang diimpikan adalah kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga. Dan ini mustahil akan berlaku dalam masa terdekat ini. 


Isnin, 3 Oktober 2022

Rakyat Akan Hukum Umno

 Umno terutama Presidennya Zahid Hamidi, begitu bernafsu mahukan Pru 15 diadakan juga tahun ini. Ini bererti Pru akan diadakan pada musim banjir. Dari Oktober hingga November biasanya musim tengkujuh. Dan Disember adalah masa kritikal. Ertinya dari sekarang hingga Disember musibah banjir tidak dapat dijangka.

Sekiranya pru 15 diadakan juga sudah tentu ianya akan menyusahkan semua orang.  Suasananya tidak kondusif. Sedangkan parlimen hanya tamat tempoh matang pada Jun tahun hadapan. 

Kedudukan kerajaan kini pula stabil. Tidak ada percubaan mana-mana pihak mahu menjatuhkan kerajaan. Malah kerajaan mendapat dukungan dari parti pembangkang bagi memastikan politik stabil. 

Namun sekiranya Umno bertegas mahukan Pru 15 segera maka rakyat akan menjadi hakim di atas keputusan tersebut. 

Pada Pru 14 , 2018 rakyat telah menghukum Umno sehingga tumbang kerana skandal 1MDB. Walaupun Pakatan Harapan hanya bertahan selama 22 bulan sebagai Kerajaan namun ianya bukanlah sia-sia begitu sahaja. 

Justeru Umno tumbang maka kes 1MDB telah berjaya dilondehkan sehingga dibawa ke mahkamah. 

Sekiranya Umno masih berkuasa sudah tentu skandal 1MDB akan ditutup dan disapu ke bawah permaidani. Itu lah yang dilakukan Umno sebelum Pru 14, mereka menghalang, menutup, menyembunyikan segala maklumat atau perbahasan berkaitan 1MDB.

Bukan sedikit pemimpin dalam Umno sendiri dikena tindakan pecat dan diugut serta dihalang dari menimbulkan soalan berkenaan skandal kewangan terbesar di dunia itu. 

Tetapi bila selepas Pru 14, Umno tumbang semua yang terlibat dibawa ke mahkamah. Ini sesuatu yang mustahil berlaku jika Umno masih berkuasa. 

Jadi kerajaan PH selama 22 bulan tidak sia-sia. Walaupun singkat namun mereka telah memenuhi mandat rakyat pada Pru 14, 2018.

Dan kini datang pula Pru 15. Rakyat tidak akan lupa mereka telah pun menghukum Umno kerana skandal 1MDB lima tahun dahulu. 

Kali ini mereka akan menghukum Umno sekali lagi pada Pru 15 gara-gara para pemimpin Umno begitu gatal mahu Pru diadakan musim banjir. 

Masalah dan kesan dari banjir pada tahun lepas belum lagi pulih sepenuhnya sehingga rakyat terpaksa bergelut menghadapi kehidupan seterusnya.

Tetapi itu semua bukan menjadi pertimbangan Umno. Yang penting adalah kuasa. Tamak berkuasa mengatasi segalanya.

Jadi,  ayuh mari kita ajar dan hukum Umno, terutamanya top five kononnya - yang gila kuasa agar bala 2018 menimpa mereka buat kali kedua. 







Jumaat, 30 September 2022

Pru 15 Jangan Salah Pilih

Apakah Pru 15 akan diadakan sebulan dua ini atau tahun hadapan ? Sebenarnya rakyat tidak perlu ambil pot mainan teka teki orang-orang politik yang rakus dan gila kuasa. Mereka sebenarnya hanya mementingkan kedudukan, jawatan dan perut mereka sahaja.

Percayalah selepas diadakan Pru 15, muka-muka lama, muka-muka recycle , muka-muka sampah inilah yang akan berkuasa menjadi menteri, pengerusi itu ini dan sebagainya.

Realitinya majoriti mereka tidak ada kualiti dan tidak layak pun jadi menteri. Sebahagian besar dari menteri-menteri sekarang layak sahaja sebagai pak lawak komedi. Bila muka mulut bercakap terserlah betapa kurang cerdik dan tidak matang. Kita berharap menteri-menteri seperti ini tidak kembali diberikan jawatan.

Itu kategori menteri seperti badut. Ini pula tokoh-tokoh recycle yang masih bernafsu besar untuk kembali berkuasa. Muhyiddin Yassin masih tidak puas menjadi Perdana Menteri selama 18 bulan dan mahu buat kali kedua. Atok Mahathir 96 tahun pun mahu menjadi PM kali ketiga !!!

Zahid Ponorogo pun kepingin sangat-sangat. Bossku yang menginap di Kajang juga mahu kembali ada kuasa, kalau pun tidak boleh jadi PM kali kedua.

Inilah nasib negara yang ku cin tahx bakal mendapat para pemimpin bakul sampah menjadi pengemudi negara. Bahaya !!

Yang pastinya selepas Pru 15 tidak ada parti yang akan menang majoriti. Masing-masing akan bergantung antara satu sama lain untuk survive.  Bukan untuk survival rakyat. Tetapi demi survival perut mereka sendiri. Itu realiti. Parti pak lebai pun tidak perlu ber Al Quran  dan ber al Hadis. Mereka semua sama - pembohong, penunggang agama demi parti.

Apa pilihan rakyat dalam Pru 15 nanti ? Senang sahaja - pangkah dan undi calon yang bersih, cerdik dan amanah tanpa mengira bangsa dan parti. Pilih calon yang bekerja untuk rakyat. 

Jangan lihat rupa bentuk. Contoh janggut, jubah, songkok, kopiah. Ini semua kosmetik.  Pilih calon yang berkualiti. Bukan calon yang mahu jadi badut dan pak lawak komedi.

Sekiranya kita tersalah pilih maka mampuih lah kita untuk lima tahun lagi.

Ahad, 28 Ogos 2022

Bossku Najib Razak Empat Kali Ampun !!

 Saya tidak faham lah mentaliti dan cara berfikir para pemimpin dan ahli Umno.  Mereka sekarang sedang sibuk berusaha memohon pengampunan untuk bossku Najib Razak yang dipenjarakan selama 12 tahun di atas kesalahan dalam kes SRC. 

Belum pun sampai 24 jam bossku masuk penjara mereka sudah berusaha mendapatkan pengampunan. Adoi ...bengong betul lah. 

Depa fikir proses pengampunan daripada Yang Di Pertuan Agong seperti beli pisang goreng di gerai. 

Kalau ya pun biar lah bossku duduk dalam penjara barang dua tiga tahun dahulu. Kemudian baru lah berlaku proses pengampunan dan dibebaskan. 

Namun yang lebih tidak masuk akal lagi ialah bossku masih ada lagi empat kes di mahkamah bersabit tuduhan rasuah sedang berjalan sekarang. 

Macam mana tu proses hendak minta ampun? Kes yang selesai adalah kes 42 juta SRC. Baki empat kes lagi macam mana? 

Apakah kena minta ampun empat kali ke? Atau satu kali minta ampun untuk semua kes? 

Tetapi empat kes lagi itu belum muktamad lagi. So, macam mana? 

Aduh...  bengong betul lah orang orang  Umno. Tak dak common sense. 

Orang Umno kena baca balik buku Revolusi Mental yang ditulis oleh bekas Setiausaha Agung Umno, Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman. 

Saya rasa ahli ahli Umno perlu perbaiki mentaliti mereka kerana cara mereka berfikir teruk sangat. 

Ahad, 21 Ogos 2022

Ismail Sabri Yaakob Calon Presiden Umno

 PM Ismail Sabri Yaakob dengan tegas menolak tuntutan Parti Bersatu bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri. Keputusan itu wajar berdasarkan kedudukan sekarang negara telah hampir menghadapi Pru 15.

Apa perlunya dilantik seorang TPM  dalam suasana sekarang?  Jumlah menteri kanan dan menteri kabinet pun melebihi dari keperluan sepatutnya. Saiz kabinet besar namun keberkesanan prestasi setiap menteri dipersoalkan. Sebahagian besarnya hanya  seperti penumpang. Membazir duit rakyat pembayar cukai. 


PM Ismail Sabri Yaakob


Parti Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin pula seperti tidak ada maruah begitu beria mahukan jawatan TPM. Walaupun Bersatu menuntut jawatan tersebut kerana ia adalah satu perjanjian namun ia perlu mengambil kira suasana politik dan kedudukan ekonomi negara. Prioriti dan kepentingan umum perlu diutamakan. 

Dalam konteks ini boleh difahami Bersatu sebenarnya berada dalam keadaan semakin lemah. Sudah ramai para pemimpinnya yang telah keluar parti. Seperti menteri kabinet Zuraida Kamaruddin dan ramai lagi. 

Keahlian parti semakin merosot dan orang sudah tidak berminat lagi dengan parti Bersatu. Saya percaya Bersatu akan hilang begitu sahaja selepas Pru 15. Ia tidak mungkin menang banyak kerusi. Malah kerusi yang dipegang sekarang pun kemungkinan besar tidak mampu dipertahankan. 

Sikap tegas Ismail Sabri menolak tekanan parti Bersatu dalam isu jawatan TPM itu adalah tepat sekali. 

Cuma saya berharap PM Ismail juga akan tegas dalam menghadapi Mat Sakau dan Mat Ponorogo yang begitu bernafsu mahu Pru 15 diadakan segera.  Kalau dikira kedua mamat itu mahu Pru 15 diadakan kelmarin. 

Kenapa keduanya mahu parlimen dibubar semalam lagi sudah menjadi rahsia umum. Kerana mereka berdua sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. 

Mat Sakau sudah sebelah kaki di Sungai Buloh. Tunggu sebelah kaki lagi. 

Mat Ponorogo belum lagi diputuskan. Namun nampak tidak ada harapan boleh terlepas. 

Bagi keduanya jika parlimen bubar dan kes mereka belum muktamad maka ada harapan boleh terlepas dari terpaksa ke Sungai Buloh. 

Tetapi sekiranya kes muktamad dan Mahkamah menjatuhkan hukuman dan pilihanraya lambat lagi maka musnah lah harapan. 

Itu senarionya sekarang. 

Jadi Ismail tidak boleh tunduk dengan tekanan. Dia mesti tegas sepertimana dia menghadapi Muhyiddin parti Bersatu. 

Walaupun Mat Ponorogo adalah Presiden parti tetapi Perdana Menteri adalah Ismail. Yang membuat keputusan bila Pru15 boleh diadakan adalah Perdana Menteri bukan Presiden Umno. Ingat tu Pak Mail...!! 

Justeru itu sekiranya Pak Mail tegas tidak tunduk pada Mat Sakau dan Mat Ponorogo, maka harapan besar Pak Mail boleh terus jadi Perdana Menteri selepas Pru 15 nanti. 

Pak Mail bukan sahaja terus jadi PM malah akan mengambil alih jawatan Presiden Umno. 

Selamat berjuang dan selamat berkhidmat Pak Mail. 

Khamis, 28 Julai 2022

Najib Razak Mungkin Ke Sungai Buloh

 Nasib Najib Razak akan diketahui Ogos ini bila Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes SRC . Najib telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda rm210 juta oleh mahkamah Tinggi. Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman tersebut. 

Ada percubaan pihak Najib melambat-lambatkan kes ini dengan tektik penangguhan dari masa ke semasa. Termasuk cuba membawa masuk peguam Queen Counsel dari England. Namun gagal. 

Kini Najib melantik barisan peguambela yang baru menggantikan Muhammad Shafee Abdullah. Dan peguambela yang baru dilantik telah memohon kes rayuan pada Ogos ini ditangguh lagi. 

Peguambela Shafee Abdullah adalah antara peguam yang terbaik di negara ini. Alasan penukaran peguam ini adalah pihak Najib mahukan "perspektif" baru dalam pembelaan rayuan kali ini. 

Dilaporkan Tetuan Zaid Ibrahim akan mengambilalih tugas Shafee. 




Apa pun kemungkinan besar Najib akan gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan nanti. Kes pendakwaraya cukup kuat dengan bukti dan data bagi mengekalkan keputusan hukuman sebelum ini.

Yang terbaru Najib secara umum mengaku menerima 2.6 billion namun telah memulangkannya kembali pada "penderma". Tetapi Najib tidak menafikan tentang rm42 juta duit SRC yang dimasukkan ke dalam akaunnya. 

Kes 2.6 billion dan kes SRC semuanya adalah dana 1MDB. Orang yang menipu, menyamun dan merompaknya adalah Jho Low kenalan rapat Najib Razak. 

Semua wang yang dimasukkan ke akaun Najib adalah daripada Jho Low. Jho Low telah permainkan Najib. Ertinya Najib telah ditipu Jho Low untuk kepentingannya. Bagaimanapun, dalam semua kes tersebut Najib juga memperolehi manfaatnya. 

Bagaimana seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh terpedaya dan mudah dimanipulasi oleh seorang korporat muda? Inilah pokok sebenarnya skandal 1MDB.

Kelemahan ini membuktikan Najib tidak layak memegang jawatan Perdana Menteri. 

Alasan 2.6 billion adalah derma dari kerabat Arab Saudi tidak boleh dipakai. Sehingga kini tidak ada pun pengakuan atau dokumen daripada kerabat tersebut secara terbuka atau di mahkamah. 

Sekiranya ada kerabat raja Saudi muncul di mahkamah menjadi saksi sudah pasti kes Najib akan gugur secara otomatis. 

Namun sehingga kini yilek... 

Berdasarkan proses perbicaraan dari mahkamah Tinggi dan mahkamah Rayuan serta pembabitan seramai empat orang hakim yang sebulat suara mensabitkan kesalahan terhadap Najib, besar kemungkinan Mahkamah Persekutuan akan mengekalkan hukuman penjara dan denda. 

Tindakan Najib menyerang hakim yang dikatakan berat sebelah dan menyerang Dr Mahathir, Muhyiddin dan lain-lain sebagai penerima rasuah juga tidak akan mempengaruhi keputusan para hakim mahkamah Persekutuan. 

Tuduhan-tuduhan Najib pada orang lain tidak mempunyai bukti dan belum di bawa ke mahkamah untuk dibicarakan. 

Namun kes beliau telah dibicarakan di dua mahkamah dan sudah diputuskan oleh para hakim. Itu perbandingan yang jelas. 

Itu pun baru kes SRC. Ada dua kes lagi sedang berjalan - kes 1MDB dan kes laporan audit 1MDB yang dipinda. 

Berdasarkan kes-kes tersebut termasuk kes SRC yang telah disabitkan kesalahan, kemungkinan Najib ke Sungai Buloh adalah besar. 

Tetapi apa pun semuanya boleh bertukar 360 darjah dalam sekelip mata sekiranya hasrat Najib mahukan Pru15 disegerakan. Kerana Najib yakin Umno akan kembali berkuasa penuh tanpa berkongsi kuasa dengan lain parti. 

Itu matlamat Najib. Dan ia tidak mustahil berlaku. 

Malaysia Boleh..!! 



Selasa, 28 Jun 2022

Pru15 : Pilih Calon Jangan Pilih Parti

 Ahli politik sibuk tidak sabar mahukan Pru15 diadakan segera. Ada yang mahu ditangguhkan dahulu. Tidak kiralah dalam parti mana pun. Masing-masing mempunyai agenda dan kepentingan sendiri. 

Yang susah menghadapi kehidupan seharian dan bergelut setiap hari adalah rakyat marhaen. Pru 15 segera atau ditangguhkan dahulu tidak memberi sebarang makna selagi negara diterajui manusia jenis makan rasuah, songlap, penipu dan penyangak. 

Zahid Hamidi dan Najib Razak adalah antara yang bernafsu mahukan pru 15 dipercepatkan.  Alasannya banyak - agar politik negara stabil, mahu membela nasib rakyat bla, bla.... 

Namun hakikat sebenarnya mereka berdua seperti ibarat rantai besi sedang melilit dibatang leher masing-masing. Mereka sedang menghadapi kes rasuah di mahkamah. 

Najib sudah dijatuhkan hukuman bersalah di dua peringkat mahkamah. Kini dalam proses menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan. Itu pun tiga empat kes lain terus berjalan sekarang. Sekiranya lepas bebas satu kes, ada tiga lagi kes. 

Melihat pada kes sedang berlangsung sekarang tidak nampak yang Najib boleh terlepas begitu mudah. Mesti ada yang tersangkut. 

Kes Zahid pula sedang dalam pertengahan jalan. Pun tidak nampak kes dia boleh terlepas begitu sahaja. Peratus besar Zahid tersangkut. 


Kartun Rossem


Jadi pelannya sekiranya Pru15 disegerakan dan mereka berdua begitu yakin Umno akan kembali berkuasa penuh tanpa perlu bergantung pada parti lain menubuhkan kerajaan pusat. 

Justeru itu kerajaan boleh mempengaruhi kedudukan kes mereka. Semua ini bukan mustahil. Ia telah berlaku dan akan berlaku. Seperti kes Lim Guan Eng semasa Pakatan Harapan berkuasa. Begitu juga kes pengampunan Anwar Ibrahim. 

Setiap kali kerajaan berubah, kes pun boleh berubah. Banyak lagi contoh-contoh lain yang berlaku bersabit dengan pendakwaan dan kes-kes di RoS. 

Putrajaya boleh mempengaruhi dan menentukan sesuatu kes. Buktinya perlantikkan Peguam Negara banyak dipengaruhi kerajaan yang berkuasa. Kes Tommy Thomas sebagai contoh. 

Kalau Zahid dan Najib mahu pru segera, kenapa pula Ismail Sabri mahu ia ditangguh dulu? 

Kenapa tidak kerana Ismail Sabri tahu dia belum tentu akan kembali sebagai PM selepas Pru15.

Jadi Ismail sekurang-kurangnya akan lega sekiranya kes Zahid dan Najib dapat dimuktamadkan sekitar Ogos dan September tahun ini. Oleh itu peluang Ismail Sabri sebagai calon Presiden Umno lebih jelas. 

Kes rayuan Najib di mahkamah Persekutuan pada Ogos. Kes Zahid pada September mungkin sudah diketahui keputusannya. 

Jadi inilah permainan politik paling mudah untuk difahami jalan ceritanya. Tetapi orang politik memberi seribu alasan dan jawaban yang berbelit-belit bagi menafikan niat hati mereka. 

Semuanya demi tembolok dan kepentingan diri masing-masing. Tidak kira siapa. 

Yang mulut ternganga dan merasai keperitan hidup adalah rakyat marhaen. Pru atau tidak kehidupan mereka belum tentu lebih baik dan selesa. 

Orang politik terus mewah dengan gaji dan elaun puluhan ribu sebulan walaupun sesetengah mereka berwatak macam badut dan berfikiran "half past six".

Tetapi rakyat juga yang bodoh kerana memilih mereka sebagai wakil rakyat. 

Rakyat boleh membetulkan kesilapan tersebut dengan menolak total mereka yang rasuah, tidak cekap, bercakap bodoh dan sebagainya pada pru 15 mendatang. 

Jangan ulangi kesilapan. Pilih lah calon yang bersih dari rasuah, cerdik dan bercakap menggunakan akal. Bukan seperti sekarang ada Menteri yang bercakap macam sampah!! Macam mana lah boleh jadi menteri?? Tidak tahu nak cakap apa. 

Masa Pru nanti pilih calon yang ada kualiti. Tidak perlu pilih calon berdasarkan parti. Kerana tidak akan ada parti yang akan menang dengan majoriti yang besar. 

Pilihlah calon yang bersih dan berjiwa rakyat sebagai wakil kita di Parlimen dan DUN. 

Cukuplah melihat wakil rakyat yang bercakap bodoh, tidak kompeten, dan tidak layak pun berada dalam dewan. Dan mereka pula menerima gaji elaun yang berlebihan. 

Isnin, 4 April 2022

Isu debat. Najib mahu mengelak

 Rafizi Ramli telah mencabar bossku Najib Razak berdebat isu Sapura Energy yang menghadapi tindakan bangkrapsi.

Kedua nya mempunyai pandangan berbeza dalam isu kewangan yang di hadapi Sapura. 

Najib sambut cabaran debat daripada Rafizi tetapi dengan bersyarat. Syarat tersebut adalah boss Rafizi,  Anwar Ibrahim mesti ikut serta dalam debat tersebut. Tambah Najib lagi, dia mahu berdebat dengan Anwar dan Rafizi boleh membantu bossnya dalam debat itu. 

Pelik juga Najib bossku ini. Rafizi cabar dia berdebat namun dia heret Anwar pula. Apa masalahnya? 

Tidakkah mudah sekiranya Najib terima sahaja cabaran Rafizi itu. Kenapa ada syarat pula? Kan mudah dan menyenangkan kedua pihak. Nampak sangat Najib buat alasan. 




Dalam Prn Johor tempoh hari sama juga plot ceritanya bila Azmin Ali mencabar Najib berdebat dengannya dalam isu Felda. 

Jawaban Najib, dia mahu Muhyiddin ikut serta debat tersebut.  Najib mahu berdebat dengan Muhyiddin dan mahu Azmin membantu bossnya itu masa berdebat. 

Hello Najib, what is wrong with you? What is your problem? Gila ke apa? 

Orang cabar debat dia jawab boleh tetapi boss kamu mesti ikut serta. 

Azmin telah jawab dengan tegas Najib boleh debat dengan dia tanpa mengheret Muhyiddin. Sebab Azmin sebagai menteri yang urus soal Felda. 

Kenapa Najib pusing-pusing cari alasan ? Sekiranya Azmin dan Rafizi cabar berdebat, jawab sahaja secara terus terang dan direct. 

Terima debat atau tidak.  Apa pasal heret nama orang lain yang tidak berkaitan. Nampak sangat Najib nak auta.... belit. 

Jawab sahaja boleh atau tidak? 

Kalau ini cara Najib, nampak sangat dia mahu mengelak dari berdebat. Cantikkk... 

Sekiranya saya berada ditempat Azmin dan Rafizi,  saya akan beri respons pada Najib bossku begini : Boleh bossku. Tetapi syarat bossku mesti bawa sekali Rosmah dalam debat tersebut supaya Kak Ros boleh, " Can i advise you? ".

Apa macam bossku Najib?  Boleh atau tidak?? 

P/S.

Dulu Najib dua kali lari tidak hadir program debat dengan Dr Mahathir dalam Forum Nothing To Hide. Pandai dia cari alasan macam-macam. 

Atok pun dia kelentong. Inikan Azmin dan Rafizi. 

Tepukkkkk..... 




Jumaat, 1 April 2022

Parti Sesat dan Parti Pelacur

 Muhyiddin Yassin pernah cakap parti Pas adalah parti sesat. Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah pula menuduh Pas adalah parti pelacur. 

Jangan marah saya bila kaitkan parti Pas dengan perkataan sesat dan pelacur. Ini bukan saya cakap. Yang cakapnya adalah Muhyiddin dan Tengku Razaleigh. 

Nak marah, marahlah pada Muhyiddin dan Ku Li. Jangan marah saya... 

Soal Pas parti sesat atau tidak itu kena tanya AbahCow. Sebab sekarang dia kawan rapat  dengan Presiden Pas, Hadi Awang. 




Soal Pas parti pelacur, sejarah politik negara boleh dijadikan dalil dan bukti. 

Pas pernah berpeluk cium dengan parti PKR dan DAP. Dan bergabung dalam satu pakatan barisan pembangkang melawan Umno. 

Lepas itu Pas bercerai talak tiga dengan PKR dan DAP. 

Kemudian Pas berdakap pula dengan Umno. Sehingga wujud Muafakat Nasional. Yang hingga kini entah tenggelam entah timbul muafakat yang menjadi geger dikalangan melayu isle. 

Yang menjadi geger Muafakat Nasional. Namun yang terhasil adalah Perikatan Nasional bersama parti Bersatu. 

Pas tinggalkan Umno kerana mahu bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional. 

Dan berita terbaru Hadi Awang merancang bertemu Dr Mahathir bagi merancang kerjasama Pas dan parti Pejuang dalam menghadapi Pru 15.

Nampaknya parti isle Pas lebih liberal dari parti-parti sekular yang lain. Masuk kandang kambing mengembek. Masuk kandang lembu mengebohhhh....Takbir 3x..!!

Saya kagum dengan firasat Ku Li yang seolah bertaraf  "kasyaf" dapat melihat kehadapan kelentong Pas sebagai parti isle. 

Apapun tahniah dan terima kasihlah Ku kerana menyedarkan kita yang tidak reti apa-apa tentang sepak terajang parti politik. Lebih-lebih lagi parti yang menunggang agama semata-mata demi undi bila sampai pilihanraya. 

Tuan-tuan tunggulah bila dekat pilihanraya geger pulok lah perkataan hudud, kerat kepala orang, kerat tangan orang dan sebagainya. 

Hmmm.... 


Khamis, 31 Mac 2022

Mahathir dan Muhyiddin perlu berundur

 Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir berbincang mengenai kemungkinan parti Bersatu dan Pejuang bekerjasama bagi menghadapi Pru 15.

Ini sesuatu yang tidak mengejutkan. Selepas Prn Melaka, Sarawak dan Johor pencapaian kedua parti tersebut amat mengecewakan. Bersatu kalah teruk di Melaka dan Johor. Manakala Pejuang kesemua calonnya hilang deposit .

Jelas Dr Mahathir dan Muhyiddin telah hilang kepercayaan dikalangan para pengundi. Mereka tidak memberi sebarang impak lagi seperti dalam Pru 14 dahulu. 



Tetapi itulah SOP para politikus mereka bermusuh pada satu masa dan dimasa yang lain mereka mencari jalan mendapatkan oksigen untuk terus hidup dan kekal relevan. 

Apa pun helah Dr Mahathir dan Muhyiddin bagi menyelamatkan parti masing-masing, mereka tidak akan berjaya. Rakyat sudah bosan dengan permainan dan janji-janji manis. 

Mahathir dan Muhyiddin telah pun mendapat peluang mendapat kuasa di Putrajaya, namun mereka berdua telah mensia-siakan peluang tersebut. 

Mahathir menjadi PM selama 22 bulan. Manakala Muhyiddin mencatat sejarah paling pendek selama 18 bulan. 

Sudah sampai masa kedua tokoh ini berundur  diri dari politik. 

Mahathir sudah pun  96 tahun. Mustahil masih mahu terus aktif. Manakala Muhyiddin tidak usah bermimpi bagi mencapai impian hati kecilnya untuk menjadi PM buat kali kedua. Tidak mungkin. Dan ia hampir mustahil. 




Kedua tokoh ini terpaksa menelan pahit dan menerima hakikat bahawa mereka tidak mampu mengatasi populariti Najib Razak yang digelar pencuri, penyamun dan penyangak. 

Begitulah sistem nilai di Malaysia. Semuanya terbalik dan tungang langang. Yang dituduh dan didapati bersalah di mahkamah dipuja dan begitu popular. 

Mahkamah seolah dipandang sepi dan tidak lagi dihormati. Yang menjadi hakim mahkamah adalah rakyat. 

Rakyat adalah hakim negara. 

Apa yang dibicarakan dan diputuskan dalam mahkamah seolah tidak relevan. 

Yang relevan adalah media sosial. 

Media sosial telah berjaya mengatasi supermasi mahkamah. 


Jumaat, 25 Februari 2022

Skandal 1MDB. Antara Najib Razak dan Jho Low

 Skandal dan kes 1MDB telah tersohor seluruh dunia dan ia memang satu kes yang telah memalukan negara. Ia adalah satu " Kemaluan Nasional" .

Apa malu bossku?? Malu apa kan?? 

Kini satu perbicaraan mahkamah di Amerika sedang berjalan melibatkan dua pegawai eksekutif bank Goldman Sachs iaitu Roger Ng sebagai orang dituduh. Manakala Tim Leissner menjadi saksi pendakwa. Leissner adalah bekas boss Ng di Goldman Sachs, bahagian operasi di Asia Tenggara. 

Kes ini melibatkan penyelewengan berbillion dollar yang diselewengkan dari dana 1MDB.

Kerja Goldman Sachs adalah membantu 1MDB memohon pinjaman bank. Kemudian setelah pinjaman diluluskan, wang tersebut telah disalurkan ke dalam akaun-akaun yang tidak ada kena mengena dengan bisnes dan operasi 1MDB.

Jumlah wang yang terlibat adalah amat besar melibatkan hampir US dollar 1.8 billion. Dan wang ini telah dibelanjakan untuk bermewah-mewah, berjoli, perempuan dan sebagainya. 

Semua duit ini adalah duit rakyat Malaysia. Bukan duit bapak mereka yang menjadi pengkhianat, penyamun dan penyangak. 

Yang paling jelas dari seluruh perbicaraan tersebut kita boleh membuat kesimpulan manusia yang menjadi God Father atau perancang segalanya adalah Low Taek Lho atau Jho Lo. 

Dia lah pelesit yang telah melibatkan semua orang dari tokoh politik, banker, pelakon dan siapa sahaja dengan sogokkan rasuah demi kepentingan diri dia sendiri. Yang akhirnya menghancurkan 1MDB, serta memalukan negara diseluruh dunia. 

Malu apa bossku? Malu apa kan? 


Jho Low bersama Najib  dan keluarga di atas sebuah kapal mewah


Najib Razak adalah bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Penasihat Lembaga Pengarah 1MDB. Dia juga adalah pengasas syarikat dana IMDB. 

Jho Low adalah kenalan Najib Razak. Walaupun diperingkat awal Najib berbohong mengatakan dia tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan Jho Low. Ertinya, Najib telah menipu!! 

Isteri Najib, Rosmah Mansor adalah kenalan Jho Low melalui anaknya Riza Aziz, anak tiri Najib. Riza tersohor dengan bisnesnya menghasilkan beberapa filem di Hollywood.

Jelas dari perbicaraan di mahkamah Jho Low telah berjaya mempergunakan Riza Aziz untuk berkenalan dengan ibunya Rosmah seterusnya dapat berhubung dan membuka jalan berkomunikasi dengan Najib. Begitulah  modus operandinya sehingga berjaya memanipulasi segalanya untuk kepentingan dirinya. 

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah pun membuat keputusan majoriti bahawa Najib Razak bersalah dalam kes SRC atas semua pertuduhan melibatkan salahguna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.

Najib mempunyai satu lagi peluang di Mahkamah Persekutuan bagi menentukan nasibnya. Tetap bersalah atau tidak. 

Namun satu persoalan menjadi tandatanya bagaimanakah seorang Perdana Menteri boleh diperdaya oleh seorang pemuda berusia 30 an sehingga mencemar nama parti dan memalukan negara.  Lebih trajis duit rakyat berbillion billion seperti mengalir ke dalam longkang !!

Namun, malu apa bossku?  Malu apakan? 





Isnin, 31 Januari 2022

Muhyiddin dan Bersatu Seperti Telur di Hujung Tanduk

 Nasib Muhyiddin Yassin ibarat seperti telur dihujung tanduk.  Kedudukannya sebagai Presiden parti Bersatu dan masa depannya sebagai ahli politik serta partinya Bersatu semakin terhimpit. 

Prn Johor akan berlangsung tidak lama lagi. Dia pula membuat kenyataan tidak akan bertanding mempertahankan kerusinya di Gambir. 

Keputusannya itu sebenarnya memberi tamparan besar pada seluruh ahli Bersatu. Bagaimana seorang ketua tidak akan turun ke medan perang. Tentunya ini melemahkan semangat dan moral para ahli parti. 

Sekiranya Muhyiddin yakin dengan kekuatan parti Bersatu, dia seharusnya mempertahankan kerusinya. Kerana itu adalah tindakan yang sepatutnya sebagai Presiden parti. 



Apa sahaja alasan yang diberikan Muhyiddin untuk tidak bertanding tidak boleh diterima sama sekali.  Dia perlu berada di hadapan dan berani menghadapi pilihan rakyat di peti undi. 

Alasannya hanya akan turun berkempen dalam Prn Johor adalah tidak munasabah. Nampak kelemahan dia disitu dan partinya Bersatu. 

Saya jangka nasib Muhyiddin dan Bersatu akan hanyut dan ibarat kubur tidak bernisan selepas Prn Johor. 

Dalam Prn Melaka baru baru ini, parti Bersatu hanya menang dua kerusi. Satu tamparan hebat pada Muhyiddin, Bersatu serta Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin. 

Walaupun Bersatu akan bekerjasama dengan parti Pas, saya jangka ia tidak akan banyak membantu. Sama ada untuk Bersatu atau Pas. Keduanya tidak akan berjaya di Johor. 

Ironinya, Johor adalah kubu Muhyiddin dan parti Bersatu sejak Pru 2018.

Tambahan lagi sayugia, Muhyiddin tidak berpengaruh dan berkarismatik seperti Dr Mahathir dalam memikat hati para pengundi.