Khamis, 1 Disember 2022

Zahid Hamidi Dari Seorang Yang Dicemuh Kini Menjadi Wira

 Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pru 15 adalah seorang pemimpin yang dianggap liabiliti pada parti kerana kesnya di mahkamah dan stail kepimpinannya yang memecahbelahkan Umno menjadi beberapa puak.

Sebelum Pru 15 lagi ada suara mahukan dia meletakkan jawatan Presiden Umno. Umumnya menganggap Zahid adalah seorang pemimpin yang lemah. 

Tanggapan dan persepsi umum terhadap Zahid sebelum ini tidak silap malah tepat sekali bila keputusan Pru 15 diketahui. 

Umno dan BN dibawah pimpinannya mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihanraya umum sejak merdeka. 

Tidak pernah berlaku dalam sejarah - Umno hanya menang 26 kerusi parlimen. Campur dengan empat lagi kerusi parti komponen BN berjumlah 30.

Bayangkan selepas sahaja keputusan Pru 15 diketahui desakan dan tekanan begitu memuncak agar Zahid letak jawatan. 

Ketika itu suasana tidak memihak pada Zahid. Umumnya mengira kali ini Zahid tidak ada pilihan melainkan berundur. 

Pada Pru 2018 Najib Razak terpaksa meletakkan jawatan Presiden Umno setelah tewas mengejut pada Pakatan Harapan. Sedangkan ketika itu Umno menang lebih 50 kerusi. Inikan Zahid hanya menang 26 kerusi untuk Umno. Ertinya pencapaian Zahid lebih teruk daripada Najib. Namun Najib letak jawatan. 

Kini Zahid tidak letak jawatan malah kelihatan semakin kembali kuat kedudukannya. Ini sesuatu yang diluar jangkaan para pemerhati politik. 

Ini semua berpunca dari mainan politiknya yang licik sehingga meletakkan Umno sebagai king maker dalam menentukan siapa PM ke 10 diantara Anwar dan Muhyiddin. 

Justeru tindakan cepatnya dengan menarik balik SD 10 wakil rakyat BN dari menyokong Muhyiddin - tercetusnya idea kerajaan perpaduan. 

Muhyiddin menolak idea kerajaan perpaduan. Dan kerana 10 SD wakil BN itu Muhyiddin kecundang disaat akhir. 

Dan yang paling terkesan adalah Umno walaupun hanya menang 26 kerusi dan dikira ditolak oleh rakyat namun berjaya menjadi sebahagian dari kerajaan pusat. Umno tidak jadi pembangkang. 

Anwar Ibrahim sebagai PM ke 10 tidak dapat menafikan peranan dan tindakan Zahid sebagai faktor utama beliau terpilih sebagai PM. 

Sehingga saat ini begitu kuat andaian bahawa Zahid akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar tidak punya pilihan yang banyak. 

Kerana Zahid dengan jawatan TPM akan memperkuat kedudukannya sebagai Presiden Umno yang akan menghadapi pemilihan parti enam bulan lagi. 

Tanpa jawatan kabinet Zahid sukar mempertahankan jawatannya. Anwar sudah tentu menghargai peranan Zahid dan ingin terus mendapat sokongan daripada Zahid sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN. 

Sekiranya Zahid gagal pertahankan jawatan Presiden dan diganti dengan calon yang pro Muhyiddin, maka ini akan menyusahkan Anwar kemudian hari. 

Nampaknya Zahid yang sebelum ini ditohmah berbagai gelaran seperti Zahid Komedi, Zahid Ponorogo dan sebagainya namun kini dia kelihatan hebat dan dicemburui musuh-musuh politiknya. 

Apa yang pasti sekarang Zahid Hamidi tidak akan letak jawatan sehingga pada hari pemilihan parti enam bulan lagi. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan