Ahad, 21 Julai 2019

Anwar Ibrahim PM Ke 8

Anwar Ibrahim sudah cukup mempunyai pengalaman sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bekerja dibawah Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah dia dipecat dan meringkuk di Sungai Buloh.

Ketika itu Anwar bersikap melawan dan menentang arus pimpinan Dr Mahathir. Anwar akhirnya gagal mengatasi sepak terajang politik mentor dan pemimpin yang pernah dianggap sebagai bapanya.

Kini mereka kembali bertaut. Dan sanggup melupakan sejarah yang berlaku antara mereka.

Dan Tun sudah sering mengulangi bahawa Anwar adalah penggantinya.

Namun dalam politik serba mungkin ditambah lagi sikap Dr Mahathir yang kadang-kadang membuat kenyataan agak umum dan memberikan berbagai tafsiran mengenai calon penggantinya sebagai PM ke 8.

Sudah tentu ini meresahkan terutamanya para penyokong hard core Anwar Ibrahim. Mereka tidak ingin melihat pisang berbuah dua kali dengan Anwar dinafikan jawatan PM sebagaimana dijanjikan.

Tetapi Anwar yang kini lebih matang dan bersedia berbanding 20 tahun dahulu tidak cepat latah dengan segala mainan politik dan spekulasi terhadap masa depan politiknya.


Memang benar Tun acapkali nyatakan bahawa Anwar adalah PM selepasnya. Namun dalam suasana itu ada sekali sekala sepak, siku dan tendang dirusuk yang sekiranya tidak terkawal boleh mencetuskan "perang"  secara bersemuka dengan boss dan mentornya.

Ibarat kata,Tun cuba mengajak Anwar masuk ke tengah gelanggang untuk bertinju. Tetapi Anwar tidak memberi reaksi balas. Malah cuba lari dan mengelak.

Tun semahunya Anwar bertindak balas dan melawan. Tetapi itu tidak berlaku.

Sekiranya Anwar bertindak balas dan melawan bererti Anwar telah terkena perangkap. Bukan mustahil peristiwa 1998 bakal berulang.

Jadi Anwar kini mengikut arus. Tidak melatah dan tidak menentang. Sebab itu setiap kenyataan Anwar adalah sehaluan dan senada dengan Tun dalam semua isu.

Kalau ada pun berlainan sikap dan pendirian, Anwar mengambil sikap terbuka dan jalan tengah serta lebih berdiplomasi sehingga tidak berkonfrontasi dengan Tun secara terbuka.

Ini adalah sikap dan pendirian Anwar sekarang. Kerana dia tidak mahu lagi terlepas peluang sebagai PM ke 8.

Anwar tahu dan percaya, Tun tidak mudah melanggar janjinya seperti sering diucapkan bahawa dia (Anwar) adalah penggantinya.

Tun Mahathir juga tidak mahu sejarah mencatatnya sebagai pemimpin yang melanggar janjinya.

Justeru itu jawatan PM ke 8 masih tetap dalam jangkauan Anwar Ibrahim !!









Khamis, 18 Julai 2019

Tun Mahathir Tidak Serah Jawatan PM Pada Anwar Ibrahim??

Tidak terlintas dalam fikiran sesiapa, Anwar Ibrahim dan Azmin Ali - dua sekutu rapat dalam politik akhirnya menjadi musuh dan seteru. Benar seperti yang dikata,  dalam politik tiada kawan dan musuh yang kekal.

Kemuncak hubungan tegang antara Anwar dan Azmin berlaku ekoran tersebar video lucah melibatkan Azmin.

Terkeluar kenyataan dan sindiran antara satu sama lain.

Anwar adalah calon PM ke 8 selepas Tun Mahathir seperti yang dimaklumkan Pakatan Harapan pada umum .

Adalah jelas Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir sebagai PM.


Namun segalanya berubah bila Tun Mahathir membuat langkah politik bila dia melantik Azmin sebagai menteri kabinet. Sedangkan Azmin ketika itu menggalas sebagai Menteri Besar Selangor.

Yang menarik pula Azmin dilantik sebagai Menteri Ekonomi yang dianggap sebagai menteri kanan dalam kabinet.

Banyak analisis beranggapan Tun Mahathir mempunyai plan politik untuk Azmin sebagai salah seorang calon kerusi PM.

Di sinilah bermulanya bunga-bunga keretakan hubungan Anwar dan Azmin.
Sebenarnya, pada awalnya Anwar tidak pernah menganggap Azmin sebagai pesaingnya bagi kerusi PM.

Namun cara politik Tun Mahathir terlalu halus dan jauh ke hadapan.

Adalah jelas Tun mengamal politik pecah dan perintah - divide and rule. Ini adalah memastikan Anwar mempunyai saingan politik. Dan seterusnya Tun boleh mengekalkan jawatan PM sehingga penuh penggal dan tidak dua tahun seperti yang dimaklumkan pada umum.

Kenyataan kini parti PKR sedang bergolak dan berpecah menjadi dua blok. Blok Anwar dan blok Azmin.

Sekiranya Anwar sebagai Presiden PKR gagal mengawal dan menyatukan seluruh ahli parti - PKR akan lemah dan berpecah. Dan ini akan menutup peluang Anwar sebagai PM 8 pengganti Tun Mahathir.

Dengan isu terkini video lucah yang melibatkan Azmin, parti PKR sedang menghadapi gelombang besar sebagai ujian survival parti dari berpecah dua.

Tetapi bagi setengah analisis ini adalah langkah seperti pepatah Inggeris " killing two birds with one stone" - bagi Tun Mahathir mengekal jawatan PM atau sekurang-kurangnya menghalang Anwar menjadi PM 8.