Jumaat, 15 Mei 2015

Husam Musa mungkin tidak berjawatan dalam parti

SUDAH sah Ustaz Hj Ahmad Awang akan mencabar Datuk Seri Hadi Awang dalam jawatan Presiden PAS di Muktamar parti itu Jun ini. Manakala jawatan Timbalan Presiden parti, Tuan Ibrahim Tuan Man akan menentang penyandang jawatan Mohamed Sabu.

Pada peringkat awal nama Naib Presiden parti, Datuk Husam Musa lebih popular dan menonjol sebagai calon Presiden. Tetapi ia kemudiannya menurun dan tumpuan lebih ke arah Ustaz Ahmad Awang yang kelihatan lebih layak kerana dia seorang bertaraf ulama.


Husam memang mempunyai cita-cita tinggi dalam merebut jawatan parti. Kerana pernah satu masa dulu ada dikalangan pemimpin PAS menganggapnya sebagai calon "material" Perdana Menteri.

Dalam PRU 13 dulu Husam bertanding di Putrajaya tetapi tewas. Semasa kempen sebagai calon di Putrajaya, pemimpin " Anugerah Tuhan" Anwar Ibrahim telah memberi gelaran pada Husam sebagai "Sultan Al Fateh" yang memegang kunci kota Putrajaya yang kononnya akan ditawan parti pembangkang.

Tetapi malang buat Husam, dia bukan sahaja tewas di Putrajaya malah kedudukannya di Kelantan seolah terpelanting. Dia tidak terpilih menjadi anggota exco negeri. Malahan bagi sesetengah pro Husam menganggap paling koman dia perlu diberi jawatan Timbalan Menteri Besar.

Begitu juga jawatan dalam parti peringkat negeri, Husam diberi jawatan Timbalan Pesuruhjaya III. Jawatan Timbalan Pesuruhjaya I dan II diberi pada Datuk Amar Nik Abdullah dan Senator Johari Mat.

Dalam isu perlantikkan ini, Husam pernah membuat kenyataan bahawa ia hanyalah satu sindiran terhadapnya.

Dengan Ustaz Ahmad Awang dan Tuan Ibrahim telah mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan; apakah jawatan pilihan Husam dalam Muktamar Jun ini ?

Apakah dia berhasrat menjadi calon ketiga dalam jawatan Presiden atau Timbalan Presiden ? Atau dia hanya mahu mempertahankan jawatan yang disandangnya sekarang sebagai Naib Presiden ?

Walau apa pun keputusannya peluangnya menang bagi jawatan Presiden dan Timbalan boleh dikatakan tidak ada sama sekali.

Justeru itu dia hanya ada pilihan bagi mempertahankan jawatan Naib Presiden yang dipegangnya sekarang.

Namun persoalannya apakah dia mampu mempertahankannya dalam Muktamar Jun ini ?

Sekiranya tersilap haribulan, kali ini Husam mungkin tidak akan memegang apa-apa jawatan dalam parti. Dengan itu gelaran "Sultan Al Fateh" dan sebagai calon material Perdana Menteri bakal hanyut bagai ditiup angin dan dilanda banjir lumpur seperti di Kuala Krai dan Gua Musang !


Tiada ulasan:

Catat Ulasan