Isnin, 4 Ogos 2014

Umat Islam terus dirundung malang


KEADAAN umat Islam dikebanyakan negara semakin lama semakin tenat. Tidak kelihatan sebarang kemajuan atau pemulihan malah semakin hari semakin bertambah teruk.

Rakyat Palestin di Gaza sekarang ini bagaikan disembelih secara beramai-ramai oleh regim Zionis tanpa rasa perikemanusiaan. Jumlah terkorban mencecah 1,900 orang dan yang tercedera sahaja meningkat sehingga 8,000 orang termasuk kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua.

Seluruh dunia, terutama dari negara-negara Islam seperti bisu, kaku dan kelu tanpa berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat kerakusan zionis Israel terus bermaharajalela.

Apa dah terjadi ? Apa yang tidak kena ? Apakah seluruh negara Islam di dunia kini telah menempuh jalan-jalan yang "sesat" ?
Kanak-kanak Palestin jadi mangsa

Lebih memilukan kalau di Palestin, Yahudi terus membunuh orang-orang Islam secara kejam namun di tempat-tempat lain orang muslim membunuh orang muslim. Bahkan kemungkinan orang muslim membunuh sesama muslim lebih besar jumlahnya jika dibandingan dengan orang Yahudi membunuh orang muslim.

Kes muslim bunuh muslim berlaku di Libya, Iraq, Syria, Afghanistan dan Pakistan.

Di Iraq, tentera ISIS membunuh secara kejam laki-laki muda yang dianggap musuh tanpa belas kasihan. Mereka dibawa dengan lori beramai-ramai ke satu tempat. Selepas ditembak di kepala; mayat-mayat mereka dibuang ke dalam sungai dan sebahagiannya dihumbankan ke dalam satu lubang besar.

Di Syria, regim Bassar Al Assad terus mencengkam dengan meneruskan serangan demi serangan di bandar-bandar yang dikuasai para pemberontak.
Tentera ISIS menembak tawanan mereka

Di Libya pula seolah sudah tidak ada kerajaan lagi. Masing-masing puak bertelagah terus berperang dan mahu menguasai Lapangan Terbang Tripoli.

Demikianlah nasib malang umat Islam, khasnya di kawasan Timur Tengah. Sudahlah rakyat Palestin tidak terbela ia ditambah lagi dengan musibah orang muslim berbunuhan sesama sendiri.

Sudah tiba masa orang Islam mencari dan mengkaji sebab-sebab serta punca-punca kenapa nasib malang dan bala bencana terus menerus menimpa mereka. Selagi orang Islam tidak mendapat jawaban yang sebenar tentang punca malang nasib mereka selagi itulah keadaan ini akan berterusan tanpa ada apa-apa perubahan.

Dalam Quran; Allah memberi ingatan, tidak akan berubah nasib sesuatu kaum itu sekiranya ia sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan