Sabtu, 5 Julai 2014

Tan Sri Abdul Khalid tidak akan berundur

TAN Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah jangka dia tidak akan kekal lama sebagai Menteri Besar Selangor. Dalam partinya sendiri PKR kini sedang berusaha menggantikannya dengan calon lain. Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Adun Kajang, dikatakan akan mengambil alih jawatan MB itu.

Walau pun Khalid tahu dalam kalangan pemimpin PKR tidak lagi perlukan khidmatnya dan giat menekannya agar meletakkan jawatan sebagai MB namun dia buat seperti pekak badak.
Sorry Tan Sri, gambar hiasan aje..

Nampak, Khalid berkeras tidak akan berundur sebagai MB begitu sahaja melainkan dia dipecat oleh parti. Orang tidak boleh salahkan Khalid jika dia enggan berundur.

Sebab dia mungkin ingin ambil teladan dari boss nya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di dalam kerajaan dulu yang berkeras enggan berundur dan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah isu moral nya timbul di khalayak ramai.

Semasa itu Anwar tidak berganjak dan mahu terus kekal sebagai TPM walau pun dia didesak dalam parti ekoran tercetusnya isu peribadinya. Tetapi akhirnya Anwar dipecat juga dari kabinet dan sebagai ahli Umno.

Apakah Khalid mahu dia dipecat ? Tidakkah dengan dipecat itu lebih bermaruah berbanding berundur tanda mengalah ? Yang tentunya Khalid tentu terguris dan sedih dengan sikap para pemimpin dalam partinya yang meremehkan dan ingin menjatuhkannya.

Kata pepatah, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Khalid juga seorang politikus. Dan dia boleh melakukan sesuatu diluar jangkaan ramai orang. Kalau parti terus menekannya hingga rapat ke tembok bukan mustahil dia akan bertindak sesuatu yang mengejutkan.

Antara pilihan yang ada pada Khalid ialah dia mungkin menggunakan kuasanya bagi membubarkan DUN Selangor untuk memberi laluan diadakan satu lagi pilihan raya negeri dan seterusnya menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang baru.

Apakah dia akan terus jadi MB atau tidak adalah tidak penting lagi. Dari dipecat dan dipaksa berundur dari jawatan MB, adalah lebih baik diserahkan segalanya pada rakyat Selangor menentukannya.

Masa depan Khalid dalam PKR tidak memberi sebarang harapan apatah lagi musuh ketatnya, Azmin Ali masih gagah sebagai orang nombor dua parti. Bukan juga mustahil Khalid bakal akan keluar dari PKR dan menjadi ahli Bebas atau pun menyertai mana-mana parti. Semua pilihan adalah terbuka.

Sekiranya terus ada tekanan politik terhadap Khalid, bukan mustahil dia akan bertindak di luar ramalan para pemerhati politik.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan