PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu meletakkan jawatannya sebagai Presiden parti ekoran keputusan partinya bertentangan dengan sikapnya sebelum ini dalam isu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Hari ini mesyuarat Ahli Majlis Kerja Pas Pusat telah sebulat suara bersetuju Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali dicalonkan sebagai MB Selangor yang baru menggantikan Tan Sri Khalid.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang |
Sebelum ini Abdul Hadi telah mempertahankan Tan Sri Khalid sebagai MB dan menolak cadangan PKR untuk meletakkan Dr Wan Azizah sebagai MB yang baru. Sikap dan pendirian Hadi itu juga telah mendapat sokongan Majlis Syura Ulama Pas yang mengambil pendirian yang sama seperti Hadi menolak Dr Wan Azizah.
Ertinya, pendirian Hadi dan Majlis Syura Ulama telah ditolak sebulat suara oleh Majlis Kerja Pusat parti. Sebab itu jugalah bila mesyuarat berakhir, Hadi sebagai Presiden tidak hadir dalam sesi sidang akhbar dan media. Ia digantikan dengan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu. Hadi tidak mungkin sanggup menghadapi para media ekoran sikapnya yang bertentangan seperti mana keputusan parti hari ini.
Keputusan Pas hari ini tidak lain sebagai jalan bagi menyelamatkan Pakatan Rakyat dari terus berpecah dan ingin memberi petunjuk bahawa Pas akan terus bersama PKR dan DAP.
Tidak ada parti dalam dunia seorang Presiden terpaksa tunduk dan mengalah pada kehendak ahli majlis tertinggi parti dalam menyelesaikan sesuatu isu dihadapinya. Apakah dia layak untuk terus memimpin parti setelah partinya sendiri menolak sikap dan pendiriannya?
Sekiranya Hadi seorang politikus yang bermaruah dia tidak punya pilihan melainkan melepaskan jawatannya sebagai pemimpin parti. Tiada guna dia kekal di situ. Dia harus pergi. Itu sajalah langkah paling bermaruah yang ada pada Hadi.
Tidak mungkin dia mampu terus memikul memimpin parti sedangkan majoriti pemimpin tertinggi parti tidak setia dan berada dibelakangnya.
Di manakah kesilapan Hadi dalam menangani isu MB Selangor ini? Apakah dia terlalu cepat mengambil pendirian secara terbuka? Tetapi itu adalah haknya sebagai pemimpin. Mungkin kelemahannya ialah dia tidak mampu untuk mempengaruhi sebahagian besar pemimpin tertinggi parti agar seiring dan senada dengannya dalam isu ini.
Hadi pernah menyuarakan hasratnya untuk kembali ke laut menjadi nelayan - satu hobi yang diminatinya jika sampai masa dia meninggalkan dunia politik. Setelah partinya membuat keputusan hari ini, dia perlu pertimbangkan hasratnya itu dengan serius!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan