Khamis, 28 Ogos 2014

Tun Musa Hitam dengan klon Dr Mahathir


TUN Musa Hitam exTimbalan Perdana Menteri ( 1981-1986) menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Tun Musa berkata, hanya klon Dr Mahathir sahaja yang layak menjadi PM dan berkuasa di Putrajaya.

Tun Musa adalah Timbalan Perdana Menteri (TPM) pertama di bawah Dr Mahathir yang ketika itu lebih popular dengan gelaran kerajaan 2M. Tetapi Tun Musa tidak lama dalam kerajaan kerana tidak sehaluan dan mempunyai banyak perbezaan pendapat dengan Dr Mahathir.

Akhirnya, Tun Musa meletakkan jawatannya sebagai TPM tetapi terus kekal sebagai Timbalan Presiden Umno.
Tun Musa Hitam

Tindakan Tun Musa itu sebenarnya lebih bersifat strategi politik. Dia berundur daripada kabinet dengan muslihat mendapat simpati para ahli Umno untuk menyokongnya dalam menghadapi Dr Mahathir.

Sekiranya Tun Musa benar-benar mahu berundur dan melepaskan jawatannya, seharusnya dia juga melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti sekali gus. Tetapi itu tidak berlaku.

Dan ini terbukti bila dia berpakat dengan Tengku Razaleigh Hamzah(Ku Li) menjadi regunya melawan pimpinan Dr Mahathir yang ketika itu mengambil Almarhum Tun Ghafar Baba sebagai timbalannya menggantikan Tun Musa.

Tetapi Tun Musa cerdik. Dia tidak menentang Dr Mahathir dan bertanding jawatan Presiden Umno. Tetapi dia berjaya mempengaruhi Ku Li agar bertanding menentang Dr Mahathir dan manakala dia terus mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno melawan Tun Ghafar.

Almarhum Tun Ghafar bersama Dr Mahathir


Tun Musa tahu yang dia tidak akan menang bertanding melawan Dr Mahathir. Sebab itu dia tolak Ku Li, kononnya yang sering diucapnya dalam kempen-kempen sebagai boss nya yang baru.

Strategi Tun Musa adalah " killing two birds with one stone ". Ertinya, dalam konteks pertandingan pucuk pimpinan Umno ketika itu - dia dan Dr Mahathir menang dan kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden. Manakala Ku Li dan Tun Ghafar akan tersingkir dari pucuk pimpinan parti. Dan ini sekali gus memberi petunjuk bahawa dia mendapat sokongan para ahli parti dan seterusnya bakal pengganti Dr Mahathir.

Namun itu tidak berlaku. Sebaliknya, dia dikalahkan oleh Tun Ghafar di jawatan Timbalan Presiden parti dengan majoriti 40 undi. Ku Li juga tewas dengan Dr Mahathir dengan majoriti yang sama.

Justeru itu sehingga kini perang dingin Tun Musa dengan Dr Mahathir belum reda. Seolahnya dendam politik masih belum terlunas. Pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa boleh dianggap sebagai Penasihat tidak rasmi pada pentadbiran Pak Lah di Putrajaya. Kendati Pak Lah sememangnya dari dulu dikira sebagai "orang Musa" berbanding "orang Mahathir".

Jadi semasa Dr Mahathir mengkritik dan menyerang pimpinan Pak Lah, Tun Musa penuh setia berada dibelakang Pak Lah. Dan ketika Dr Mahathir mengambil keputusan keluar dari Umno sebagai satu protes simbolik terhadap pimpinan Pak Lah - Tun Musa telah berkata, telah terkeluar duri dalam daging (maksudnya Dr Mahathir) dalam parti Umno.

Tetapi ternyata politik Dr Mahathir lebih menyengat dengan jatuhnya Pak Lah dan kembalinya semula sebagai ahli Umno dibawah pimpinan Najib. Tun Musa terus diam membisu dengan perkembangan itu.

Dan kali ini Tun Musa bidas lagi Dr Mahathir lantaran kritikannya terhadap Najib. Namun begitu Tun Musa tidak pun menjawab satu persatu fakta-fakta yang dilontarkan Dr Mahathir mengenai kelemahan Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri. Dia hanya kata hanya klon Dr Mahathir sahaja yang dapat menjawab segala ketidakpuasan hati negarawan itu sebagai penggantinya.

Sebagai seorang peminat terhadap kedua tokoh besar Umno ini, saya lebih melihat Tun Musa sebagai seorang opporcunis politik yang mengamalkan politik kura-kura. Manakala Dr Mahathir sebagai seorang politikus yang konsisten dengan pendirian kritikal dan ketegasannya sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan