SUASANA di Syria semakin tidak terkawal. Pertempuran diantara tentera kerajaan dan puak pemberontak bertambah sengit di bandar kedua terbesar, Aleppo.
Siri pembunuhan secara kejam berlaku antara kedua pihak ke atas tahanan masing-masing. Terbaru beberapa anggota setia pada rejim Bashar Al Assad dibunuh beramai-ramai di bandar Aleppo yang masih menjadi rebutan kedua pihak.
Semua perkembangan ini memperlihatkan puak pemberontak semakin bertapak dan kedudukan Presiden Bashar semakin tertekan. Beberapa letupan bom di ibu kota Damsyik yang mengorbankan beberapa pegawai kanan kerajaan dan penguasaan sebahagian bandar Aleppo oleh puak pemberontak bukti jelas rejim Assad akan mengalami nasib sama seperti Muammar Gaddafi di Libya.
Soalnya, bilakah ia akan berlaku sama ada cepat atau lambat. Tetapi jelas Bashar tidak akan mampu bertahan untuk jangka panjang. Ini ditambah lagi dengan adanya campurtangan asing melalui bantuan senjata pada puak pemberontak. Berita terbaru pula, Perdana Menteri Syria telah pun berpaling tadah dan melarikan diri ke Jordan.
Presiden Bashar kemungkinan tidak akan melarikan diri sebaliknya akan bertahan di ibu kota tersebut. Harapannya kini hanyalah pada Rusia, sekutu rapatnya yang masih memberi sokongan padanya. Rusia pula kelihatan tidak mahu melihat apa yang berlaku di Libya menimpa Syria.
Walau apa pun berlaku Syria akan menjadi benteng terakhir bagi menghadapi kuasa besar Amerika dan sekutunya Israel dalam mencorakkan politik di Timur Tengah. Bagi Israel musuhnya yang paling digeruni ialah Syria dan Iran.
Dan kini Syria berada dalam keadaan lemah dan menuju kehancuran. Sekiranya rejim Assad tumbang dan diganti dengan kerajaan yang lebih lunak dengan barat, maka tumpuan AS-Israel hanyalah pada Iran yang menjadi penghalang besar percaturan mereka di Timur Tengah.
Iran kini pun sedang menerima kesan dari berbagai sekatan dari AS dan sekutu barat. AS dan Israel tidak akan menyerang Iran sebaliknya menunggu dan lihat hasil sekatan yang mampu meresahkan rakyat Iran yang menghadapi berbagai kesulitan ekonomi dan sosial hasil sekatan tersebut.
Syria kini diambang kemusnahan. Tinggal Iran keseorangan dikepung. Mampukah Iran mempertahankan kedaulatannya ? Jika Iran juga mengalami nasib sama seperti Syria dan negara-negara Arab lain, maka AS-Israel akan menguasai sepenuhnya politik Asia Barat dan telaga minyaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan