Rabu, 29 Ogos 2012

Isu Nasharudin Mat Isa

Ulama lawan Anwarinas
MASALAH parti Pas kini yang berkait dengan bekas Timbalan Presidennya yang secara terbuka mempunyai sikap dan pandangan berbeza dengan pucuk pimpinan parti - bukanlah baru.

Ia bermula sejak 2010 bila Nasharudin Mat Isa ketika itu sebagai orang nombor dua parti telah berusaha untuk mengadakan kerjasama dengan Umno. Ia disebut sebagai kerajaan perpaduan.

Dua orang tokoh lagi yang terlibat dalam usaha ini ialah Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Dr. Hasan Ali. Diberitakan telah berlaku pertemuan sulit antara dua pihak.

Menurut Nasharudin usaha ini dijalankan setelah mendapat izin dari Majlis Syura. Pada peringkat awal ia dikatakan mendapat restu dari Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Namun usaha ini mendapat tentangan dari kem Anwarinas, terutamanya Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Nasha pernah membuat kenyataan bahawa Nik Aziz tidak mengetahui hal ini ekoran Tok Guru itu sering tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Syura kerana sering uzur. Jadi Nik Aziz tidak mendapat gambaran jelas apa yang telah dipersetujui.

Justeru itu Nik Aziz menjadi orang yang paling kuat menentang kerjasama atau kerajaan perpaduan itu. Sehingga dia memberi amaran pada Nasha, Mustafa dan Dr. Hasan agar keluar Pas dan masuk Umno. Nik Aziz tidak keseorangan kerana ia disokong kuat kumpulan Anwarinas atau pro Anwar Ibrahim.

Pada Muktamar Pas 2011 telah berlaku pertandingan jawatan dalam parti yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden parti. Nasha sebagai penyandang jawatan ditentang dua calon lain; Mohamad Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelas Nasha dan Tuan Ibrahim adalah calon dari kumpulan pro ulama. Manakala Mat Sabu dari golongan Anwarinas. Sebelum pertandingan tidak ada siapa yang menjangka calon seperti Mat Sabu akan terpilih menjadi Timbalan Presiden. Tetapi itulah yang berlaku. Para ahli parti telah membuat keputusan dengan Mat Sabu menang dalam pertandingan tiga penjuru itu dengan majoriti yang tipis.

Apa yang menarik dua hari sebelum pertandingan itu, Timbalan Mursyidul Pas, Datuk Dr. Haron Din telah menggesa para perwakilan agar memilih calon Timbalan Presiden dari golongan ulama. Walaupun dia tidak menyebut nama secara khusus, namun jelas Nasha atau Tuan Ibrahim adalah calon yang dimaksudkannya kerana mereka berdua adalah bertaraf ulama.

Saranan Dr. Haron Din itu adalah munasabah. Tidak mungkin orang seperti beliau dan para pemimpin lain seperti Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, Hj. Ahmad Awang dan lain-lain ulama dalam parti dapat berketuakan pemimpin seperti Mat Sabu.

Tetapi oleh kerana para ahli telah membuat pilihan secara demokrasi, maka mereka terpaksa menerimanya untuk kepentingan parti. Sedangkan pada hakikatnya sebahagian besar ulama dalam parti tidak dapat menerima Mat Sabu sebagai orang nombor dua.

Dalam konteks ini Dr. Hasan Ali yang dipecat dari parti adalah mewakili suara senyap golongan ulama dalam parti yang tidak sanggup bersuara demi menjaga keutuhan parti. Ertinya, Dr. Hasan telah menjadi korban dalam pertembungan antara pro ulama dan pro Anwarinas.

Walaupun Dr. Hasan berada diluar parti, namun jelas Nasha berada dan bersama menyokongnya dalam isu-isu kepentingan Islam dan perpaduan umatnya. Kelebihan Nasha ialah ia tidak keluar parti dan berikrar akan bersama Pas dan tidak akan sertai Umno. Cuma pendiriannya terus konsisten dalam isu perpaduan  dan maslahat ummah.

Nasha bukan tokoh sebarangan. Dia adalah bekas Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden parti. Dan dia bertaraf ulama. Hubungan baik dan penampilannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan para pemimpin Umno lain dalam statusnya masih ahli Majlis Syura Pas adalah satu tamparan pada Pas dan Tok Guru Nik Aziz.

Nasha bukan tokoh sejenis Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir atau Tamrin Ghafar yang sudah tidak terpakai lagi dalam Umno. Sokongan terbuka Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan beberapa ulama lain terhadap Nasha dalam isu terbaru mengesahan adanya pertembungan antara dua golongan itu dan betapa pentingnya Nasha sebagai pemimpin masa depan Pas.

 







 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan