TAMRIN Ghafar anak pejuang tulen Umno, Tun Ghafar Baba telah isytihar dirinya sebagai ahli Pas dan meninggalkan Umno - parti yang mempunyai sejarah tersendiri penglibatan bapanya sebagai pemimpin kanan.
Tetapi sebagai orang politik Tamrin tidaklah begitu menonjol dan berjaya jika dibandingkan dengan kejayaan bapanya, Tun Ghafar yang pernah menjadi Naib Presiden Umno paling lama dan seterusnya menjadi Timbalan Presiden.
Tamrin setakat pernah menjadi Exco Pemuda Umno dan Pengerusi MARA. Tidak ada jawatan atau peranan penting lain pernah beliau pegang sepanjang kariernya sebagai orang politik dan sebagai anak Tun Ghafar.
Hakikatnya beliau seolah terpinggir dan disisihkan dalam arus perdana parti. Mungkin dia kecewa dan kecil hati. Dan mungkin juga beliau seorang yang keliru.
Pada satu masa dahulu Tamrin pernah dikaitkan dengan pertubuhan Al Arqam yang diharamkan. Beliau dikatakan begitu kagum dengan pemimpin pertubuhan itu Ustaz Ashaari Muhammad dan mempunyai hubungan yang baik dengan para pemimpin pertubuhan yang diharamkan itu. Malah di satu ketika beliau hampir menyertainya sebagai ahli jemaah Arqam.
Tetapi setelah apa yang berlaku terhadap Ustaz Ashaari yang didakwa membawa ajaran salah, cerita Tamrin dengan Arqam hilang begitu sahaja. Hinggalah terakhir ini beliau dikaitkan dengan parti Pas pula. Boleh jadi Tamrin kini kekosongan dan keliru tentang platformnya dalam politik.
Oleh kerana Umno tidak memberi perhatian padanya, maka pilihannya hanya Pas. Tamrin tidak mungkin akan menyertai PKR kerana beliau tentu tidak akan lupa sepanjang hayatnya bagaimana nasib bapanya yang diaibkan dan diperbuat seperti kain buruk ketika cuba mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Umno.
Orang itu tidak lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu ghairah untuk bertanding jawatan nombor dua Umno. Anwar telah berjaya mempengaruhi perwakilan Umno dengan politik wang sehingga beliau berjaya menyingkirkan Tun Ghafar dari jawatan Timbalan Presiden Umno dan seterusnya jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Sedangkan sebelum itu Anwar telah berkali-kali menyatakan dia tidak akan menentang Tun Ghafar. Namun akhirnya Tun Ghafar terpedaya dan berada dalam keadaan tidak bersedia bila Anwar telah pun bergerak secara senyap bagi menjatuhkan orang tua itu.
Pada masa itu Tun Abdullah Badawi dan Tan Sri Sanusi Junid antara pemimpin yang menyokong Tun Ghafar dan menentang keras hasrat Anwar itu. Oleh kerana Anwar lebih licik dan mengamalkan politik wang nasib Tun Ghafar tidak dapat diselamatkan.
Tidak ada dalam sejarah Umno seorang pemimpin yang begitu setia dan berjasa pada parti diberi jalan keluar secara "biadab" sebagaimana yang telah dilakukan Anwar terhadap Tun Ghafar.
Kini Tamrin sebagai ahli Pas dan berada dalam Pakatan Rakyat seharusnya tidak lupa sejarah yang berlaku terhadap ayahandanya dan tokoh yang memainkan peranan penting dan bertanggungjawab menamatkan karier politik ayahnya yang juga seorang wira yang tidak didendangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan